GLAM Profil: Tyra Kamaruzzaman - Glam Malaysia
GLAM Profil, April 2022, Jane Chuck & Tyra Kamaruzzaman 01

GLAM Profil: Tyra Kamaruzzaman

Realiti, tidak semuanya indah. Blood, sweat & tears yang dicurah menjadi kunci kejayaan sebenar.

RATU CANTIK.

Tyra Kamaruzzaman mewakili anak muda hari ini, berani menempuh liku-liku cabaran dalam membina empayar bisnes kecantikan mereka sendiri

pengarang rencana & penata gaya ZUHAIRIE SAHROM penulis AMIRA AZMAN arahan seni AMIRUL ARIFIN gambar ROBIN/ONE3FOUR STUDIO solekan SHIYO JOO dandanan JUNO KO

Sementara menanti ketibaan Jane Chuck, saya sempat mengimbas kembali pertemuan pertama saya dengan wanita ini. Tahun 2016, masih segar diingatan. Waktu itu nama Jane Chuck sering menjadi bualan ramai dalam industri fesyen tanah air. Jane memulakan kerjaya sebagai penulis blog, kemudian beralih ke dunia celebrity influencer. Manakala, Tyra Kamaruzzaman pula kali terakhir saya bertemunya adalah pada tahun 2017 merupakan Insta famous yang kecil molek serta sopan-santun orangnya. Siapa sangka, hari ini mereka berdua telah memiliki empayar kukuh mereka sendiri. Jika difikirkan kembali, kagum sekali saya menyaksikan perjalanan hidup mereka ini. Jadi, saya ambil kesempatan ini untuk mengenali mereka dengan lebih dekat lagi sebagai usahawan muda berjaya masa kini.

GLAM Profil, April 2022, Jane Chuck & Tyra Kamaruzzaman 04

Tyra menggayakan persalinan musim bunga/panas 2022 kreasi Longchamp. Jaket dan celana rona ivory digayakan dengan top kait, skarf sutera dan clog kulit.

TYRA KAMARUZZAMAN

See also
Meraikan Keriangan Bersama GUESS Bella Vita Rosa

Sentiasa ceria dan cergas, itu yang bisa saya gambarkan keperibadian wanita ini. Tanya saya pada Tyra sewaktu dia tiba di studio, “Tyra datang dari mana?” jawab Tyra, “Oh, saya dari ofis tadi. Terus datang ke sini”. Tengoklah, cukup berdedikasi wanita muda berusia 23 tahun ini. Dia membina empayar BeauTyra sewaktu umurnya menginjak 18 tahun. Bayangkan! Jika saya di usia itu, mungkin saya masih lagi sedang terpinga-pinga mencari minat dalam diri. Itulah dia semangat anak muda hari ini.

Berlatarbelakangkan keluarga yang cukup hebat dalam dunia niaga, Tyra tidak terlepas daripada memasang cita-cita untuk menjadi seorang ahli perniagaan juga. “Ayah saya seorang businessman, jadi semenjak kecil, saya sudah tekad untuk menjadi seperti beliau. Lalu terciptalah BeauTyra,” kata Tyra sambil tersenyum lebar.

Semestinya usia muda, memberikan cabaran yang lebih buat mereka yang ingin memulakan bisnes, “Betul, memang ada cabaran. Tambahan lagi di usia 18 tahun, jujur saya cakap, saya tiada sebarang idea tentang dunia ini, baru tamat sekolah pula tu. Orang lain sambung belajar di universiti, saya pula pilih jalan ini. Ramai yang tidak memandang serius terhadap saya disebabkan umur muda saya.”

RAMAI YANG TIDAK MEMANDANG SERIUS TERHADAP SAYA DISEBABKAN UMUR MUDA SAYA — TYRA KAMARUZZAMAN

Dia memilih untuk tidak mengambil pusing kata-kata orang, Tyra pilih untuk mengikut kata hatinya, “Yang penting percaya dengan diri sendiri dan tahu apa yang saya inginkan, itu yang membuatkan saya langsung ke hadapan, tidak langsung pandang ke belakang. Dan daripada situ, akhirnya orang sekeliling mula nampak akan usaha dan kekuatan saya. Kepercayan itu sedikit demi sedikit mula terbentuk.”

GLAM Profil, April 2022, Jane Chuck & Tyra Kamaruzzaman 02

Jane menyarungkan sut sutera nada merah jambu pastel digayakan bersama kasut bergaya slingback pump dan anting-anting kristal. Kesemuanya ilham Gucci. Manakala Tyra tampil dalam dress labuh berkolar v material kapas dan tali pinggang kulit garapan Longchamp.

Tanya saya kepada Tyra, mengapa pilih bidang kecantikan? “Mungkin kerana saya seorang perempuan dan sukakan benda-benda cantik. Saya masih ingat sewaktu umur 15 tahun, saya didedahkan dengan YouTube. Pada waktu itu, beauty guru seperti Michelle Phan dan Zoella sedang menghangat. Kalau hendak tahu, sewaktu mendapat gaji pertama dahulu, saya terus ke Sephora KLCC. Di situ, saya ternampak palet mata Urban Decay, dan daripada situ terus tanam di dalam hati ini di mana suatu hari nanti saya juga ingin memiliki perusahaan kosmetik sendiri.”

See also
GLAM Profil: Jane Chuck

Baca lanjut dalam GLAM April 2022

Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Jane Chuck