GLAM Profil: Beauty & The Boys - Glam Malaysia
GLAM Profil, Beauty & The Boys 04

GLAM Profil: Beauty & The Boys

Diformulasikan dari bahan natural lantas diproduksi secara lokal; Sooi Botanicals dan Fa Faa Beauty mendasari permintaan rejim kecantikan masa kini. Sekali gus, melangkaui idea regresif tanpa mengenal batas jantina bagi memperkasakan kesihatan wajah, mental serta kesejahteraan fizikal.

pengarah kreatif NISA’ HALID pengarang rencana ZUHAIRIE SAHROM penata gaya & arahan seni
gambar MICKY WONG/NEW STORYBOARDS PRODUCTION solekan FENDI SANI dandanan JUNO KO

Pada dasarnya, setiap lelaki berusaha untuk kelihatan tampan, tegap lagi sukses. Paling utamanya, berupaya menarik perhatian mata wanita yang berlabuh kepadanya. Sama seperti wanita; standard kecantikan lelaki sudah wujud sejak dahulukala. Susuk gambaran dan figur ideal seorang lelaki yang dibayangi arca purba Yunani serta Romawi; menghargai keharmonian fizikal lelaki. Sama ada melewati pendandan rambut atau berpunya tukang cukur peribadi, kaum Adam pada zaman itu dirias berambut kerinting. Di samping, tampil kemas dengan mencukur jambang, kumis dan misai. Dilihat sama, susuk fizikal yang tegap dan berotot terbentuk pada abdomen, lengan dan kaki. Seperti yang diperlihatkan jelas pada arca Apollo Belvedere dan David. Zaman bersilih ganti, standard kecantikan lelaki juga berubah seiring perkembangan melengkapi gaya hidup semasa.

GLAM Profil, Beauty & The Boys 01
BEAUTY & THE BOYS, FADHLI, JUNO DAN CODY DALAM CERAIAN GUCCI

Tidak dinafikan, generasi hari ini semakin bijak menjaga penampilan. Demikian, kaum Adam hari ini tidak hanya tertumpu membeli syampu, gel mandi, deodoran dan krim pencukur. Malah, sudah ramai lelaki mengetepikan mitos produk tiga dalam satu kerana tidak ada jalan pintas untuk memelihara kesihatan wajah. Ada juga, mula mengoles mekap yang lebih bersifat neutral bagi menyembunyikan cacat-cela atau sekadar meratakan tona kulit. Make-up for men it’s not just a Korean thing anymore! Mengoles solekan nuetral ini semakin popular dan bukan hanya di kalangan influencer dan content creator. Bahkan, di kalangan para selebriti, penyanyi, pelakon juga atlet. Tambahan pula, ramai kaum lelaki hari ini sudah maklum akan power of skincare dan mekap. Demikian, rutin solekan harian ini mula menarik perhatian konsumer lelaki secara global. Terutamanya di bumi Eropah dan Amerika. Menonton rutin perawatan yang dikongsikan oleh Luka Sabbat, Pharrell Williams dan Troye Sivan di YouTube; sedikit sebanyak memberi gambaran betapa pentingnya untuk menjaga kesihatan kulit wajah agar kulit lebih sihat, mulus lagi berseri.

SOOI BOTANICALS

Sooi disebut swee dalam bahasa Hokkien membawa erti cantik. Diasaskan oleh dua sahabat yang berpunya minat yang sama bagi menimba ilmu mengenai produk penjagaan wajah; Fadhli Salleh, 31, dan Anwar Abdul Latip mengambil peluang untuk memperkenalkan produk tersendiri. Mendasari permintaan rejim kecantikan masa kini, Sooi menepati ritma pasaran semasa yang lebih bersifat gender-neutral dan bebas dari segala-galanya. “Dek kerana gemar melewati gedung kecantikan seperti KENS Apothecary dan Sephora, saya dan Anwar berpunya minat yang sama. Kami berdua gemar meluangkan masa dengan meneliti deskripsi produk-produk penjagaan wajah dan tubuh. Dari menyelidik bahan-bahan sehingga cara pemakaiannya. Tidak terhenti di situ, bila sudah pulang ke rumah; saya bakal mengkaji lebih lanjut akan keefektifan sesuatu produk itu memandangkan kulit wajah saya memerlukan penjagaan yang rapi,” terang Fadhli memulakan perkenalan jenamanya.

Menekuni bidang Multimedia di MSU dan kemudian melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Rekabentuk Iklan di Universiti Multimedia (MMU), di Cyberjaya; Fadhli juga pernah mewarnai lapangan fesyen lokal sebagai peragawan sambilan sebelum memasuki alam pekerjaan yang bermula di agensi Pengiklanan. “Sebelum merencanakan Sooi sepenuh masa, latar belakang kerjaya saya adalah dunia pengiklanan. Lebih spesifik lagi menguruskan strategi pemasaran dan biarpun tumpuan saya kala ini tertumpu pada Sooi sepenuh masa; saya masih membuat kandungan media sosial sebagai freelance. Anwar pula, merupakan pengasas bersama label Petra yang sudah dikendalikan sejak tahun 2016. Kami meminati skincare dan memasang impian untuk mengolahkan sesuatu yang baru bersama. Demikian, hadirlah Sooi yang dilancarkan tahun lalu pada bulan September.”

“Akan tetapi proses penyelidikan dan pengembangan produk serta jenama sudah bermula enam bulan sebelum itu. Semua ini direncanakan sebelum pandemik melanda, dan kami berdua tidak punya pilihan untuk meneruskan projek ini memandangkan sudah memulakan langkah. Juga kami sudah berusaha mencari pengilang yang boleh menghasilkan produk kami secara lokal. Saya menikmati setiap proses pembuatannya dan tidak keberatan untuk berbelanja kerana kami perlu mengetahui ramuan organik yang terbaik. Sekali gus, untuk memastikan produk ini efektif dan saya sendiri menjadi tikus makmal sewaktu proses penyelidikan. Bertujuan untuk mendapatkan impak yang sama kepada penggunanya kelak. Kami memegang enam asas prinsip jenama yakni diperbuat dari bahan natural, Cruelty Free, Bebas Sulfat, Bebas Paraben, Vegan dan diproduksi secara lokal. Sebagai salah satu produk yang dibuat dari bahan-bahan natural, saya perlu mengambil tahu setiap bahan yang digunakan. Juga, kami mahukan suntikan bahan-bahan yang berkuasa seperti Glycolic Acid, Niacinamide dan sebagainya. Namun, agak sukar untuk mencari pengilang yang punya akses pada bahan-bahan ini. Alhamdullilah kami menjumpainya dan mereka mendapat ramuan ini dari pelbagai negara, termasuk Taiwan dan ekstrak neem dari India. Misi kami adalah untuk menempatkan produk kami di kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan di seluruh negara. Bukan hanya untuk penjagaan kulit, kami juga merancang untuk mengeluarkan produk penjagaan badan yang lengkap.Senang kata, melengkapi gaya hidup masa kini,” terang panjang anak ketiga dari lapan beradik ini.

GLAM Profil, Beauty & The Boys 03
KOT FLORAL, JAKET BLOUSON, BAJU CETAK, SELUAR DAN KASUT MONOGRAM, SEMUANYA DARIPADA DIOR

“Harga permulaan pembersih muka kami serendah RM 55 untuk 80 ml. Toner pula berharga RM 69 untuk 100 ml, manakala serum RM 79 untuk 30 ml. Kami memasarkan produk kami dengan harga mampu milik. Jika anda mengambil tahu tentang penggunaan ramuan natural, harganya tidaklah semahal jenama-jenama natural yang lain untuk kualiti yang sama bakal anda perolehi. Ya, ia berbeza dengan selautan produk yang dipasarkan di rak drugstore kerana produk kami bebas kandungan bahan kimia berbahaya seperti paraben dan sebagainya. Jika anda rasa ragu-ragu, boleh mencuba kit esensial kami pada harga RM 50. Apa faedahnya? Saya yakin bahawa produk kami efektif kerana berpunya bahan berkuasa yang memerlukan masa untuk melihat hasilnya. Tapi ia berbaloi daripada mengambil jalan pintas. Nampak bagus di luaran tapi di dalam lapisan kulit kita tidak tahu. Saya percaya ambil masa pun tidak mengapa, as long as your skin is healthy! Saya sebenarnya agak terkejut dengan sambutan yang menggalakkan. The first batch sold out like hotcakes. Sekarang, kumpulan kedua pula semakin menyusut hari demi hari. Juga dalam pada masa yang sama kami menerima maklum balas yang cukup memberangsangkan.”

“Berbicara mengenai standard kecantikan lelaki atau secara amnya, putih itu tidak semestinya cantik. Ya, produk kami mendeskripsikan “brightening”, but it’s never whitening. Brightening merujuk pada kulit nampak lebih sihat dan segar ataupun radiant dengan membuang lapisan kulit mati lalu meninggalkan lapisan kulit yang lebih bersih. Manakala, whitening pula memberikan kesan pemutihan pada kulit dengan lebih drastik. Sesetengah produk whitening mengandungi agen peluntur seperti mercury yang kuat. Sebelum mendapat lulusan dari KKM, kami sudah menghantar produk kami terlebih dahulu ke makmal hanya untuk memastikan produk kami bebas daripada logam berisiko tinggi. Bagi saya untuk mendapat kulit putih macam tidak akan terjadi. Mustahil kerana kalau tidak, orang yang berkulit hitam yang mahu menjadi putih sudah lama menjadi putih. Beauty is about being comfortable in your own skin. All skin colours and tones are attractive in their own way. No such thing like white porcelain.

“Stigma lelaki mengenai kecantikan sekarang lebih terbuka. Tidak regresif atau konservatif seperti dulu. Mereka tahu, mereka perlu menjaga kulit mereka. Namun, saya harus mendidik mereka agar mereka tidak hanya memerlukan pembersih muka saja. Mereka masih perlu menggunakan pelembap dan paling utamanya, menggunakan pelindung matahari. Mereka juga perlu tahu bahawa ada beberapa produk tambahan untuk membuatkan kulit mereka sihat, bertenaga dan berseri. Sewajarnya produk tiga dalam satu yang dipasarkan untuk kaum lelaki, sebaiknya sudah diberhentikan. Nasihat saya tiga langkah vital penjagaan wajah perlu diterapkan oleh semua. My father taught me to treat my equipment right, use the right tool for the right job. Ibarat beli air untuk makan, adakah ia akan berfungsi dengan betul? Atau anda masih akan lapar dan bukannya dahaga?”

FA FAA BEAUTY

Fa Faa Beauty berpunya lima rakan kongsi, dua darinya merupakan artis pop mandarin tanah air. Juga, diasaskan bersama dua penata rambut selebriti terkenal, Cody Chua dan Juno Ko. Fa Faa memperihalkan idea kecantikan yang fokus kepada produk perawatan rambut dengan dua produk asas. Minimal, namun berpunya efek yang maksimum. Berbicara lebih lanjut mengenai kelahiran jenama itu, GLAM mewawancara Cody dan Juno bagi berkongsi kisah di sebalik Fa Faa. “Diperkenalkan hujung tahun lalu, ‘Fa’ membawa erti rambut dalam bahasa Mandarin atau Kantonis. Juga homofon kata yang boleh diinterpretasi sendiri seperti ‘FAntastic’ atau ‘FAbulous’. Bagi saya “Faa” atau disebut “Far” adalah rambut and beyond…,” terang Juno Ko, 30, memberi perkenalan Fa Faa.

“Fa Faa mempunyai lima rakan kongsi, dua darinya merupakan penyanyi genre pop Cina yakni Juztin Lan dan Sam CN. Saya dan Juno juga bersama seorang lagi teman rapat kami bernama Taro Choo. Sudah menjadi asas buat pekerjaan kami, rambut adalah identiti kami. Saya dan Juno sudah banyak mendandan rambut, dan sering diajukan persoalan mengenai cara merawat kulit kepala. Tambahan pula yang berpunya kulit sensitif. Duduk di rumah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan pertama, kami mengutarakan idea bagi mencuba sesuatu yang baru. Langsung, mengisi saat berkurung di rumah dari terus bimbang akan masa depan kami dengan tidak melakukan apa-apa aktiviti. Memandangkan kami semua agak terjejas kerananya. Bayangkan mempunyai selebriti sebagai teman rapat, kemudian bertukar rakan perniagaan. Kecantikan adalah satu perkara yang menghubungkan kami semua. Bukankah kita mahu dikelilingi dengan perkara-perkara yang indah pada saat ini? ,” kongsi Cody, 30, yang merupakan graduan akademi rambut berprestij di Malaysia, Miko Galère.

“Saya dan Cody mencadangkan idea untuk membuat produk sendiri kerana kami sudah berada dalam lapangan dandanan rambut agak lama. Kami tahu apa bahan dalam produk yang berfungsi dengan baik, dan segala pembikinan bahan-bahan di belakangnya. Misalnya, silikon menyebabkan kotoran menumpuk di kepala dan hasilnya folikel rambut tersumbat. Kami percaya adalah tanggungjawab kami untuk menyampaikan mesej penting ini kepada orang ramai, dan setelah berbincang bersama Cody, kami bersetuju untuk memperkenalkan jenama ini bersama. Konsep kami sekarang adalah untuk memfokuskan pada rambut yang juga akan memberi anda pengalaman spa kesihatan holistik dengan penerapan minyak aromatik. Fa Faa menggunakan bahan tumbuhan semula jadi organik dan lestari dalam produk penjagaan rambutnya, tanpa menambahkan bahan kimia berbahaya kepada rambut dan alam sekitar. Fa Faa bukan sahaja memelihara badan tetapi turut sama menyembuhkan jiwa. Anggaplah ia sebagai rawatan spa yang menenangkan dalam keselesaan rumah anda sendiri. Rambut adalah identiti kami, dan saya boleh kata kami memahami apa yang orang di luar mahukan untuk produk rambut mereka,” tambah Juno panjang.

GLAM Profil, Beauty & The Boys 02
JUNO: JAKET MOTIF LOGO, LOUIS VUITTON DAN CODY: JAKET DENIM, LOUIS VUITTON

“Sekiranya saya mahu mengubah idea mengenai perawatan rambut ialah kurang buih adalah lebih baik. Ramai orang beranggapan apabila membasuh rambut dengan lebih banyak buih di kepala anda bermaksud ia bersih. Sebenarnya konsep itu adalah salah. Fa Faa mempromosikan lebih sedikit buih kerana semua buih itu sebenarnya disebabkan formulasi bahan kimia yang banyak. Saya mahu mengubah corak pemikiran ini. Sehubungan itu, lelaki jangan malas untuk menjaga kulit wajah atau rambut mereka. Anda hanya memerlukan tiga langkah atau empat maksimum, untuk rutin wajah dan hanya dua untuk rambut. Mudah dan ringkas. Basuh rambut anda setiap hari jika anda mempunyai rambut pendek dan jika berambut panjang basuh selang sehari agar liang pori rambut tidak tersumbat dan punca rambut gugur dengan banyak adalah kerana minyak berlebihan pada akar,” terang Juno.

“Ramai lelaki berasa seperti memakai alat solek akan mengikis sifat maskulin mereka kerana kosmetik biasanya digunakan sebagai medium untuk meningkatkan sifat kewanitaan. Bagi saya, solekan yang tidak keterlaluan seperti teknik ‘No Makeup-Look’ yang diperlihatkan oleh Alicia Keys dapat meningkatkan keyakinan seseorang. Hanya, sekadar untuk menutupi cacat cela yang ada di wajah seperti parut, jerawat, tona tidak sekata dan juga jeragat. Jadi Ya, lelaki juga boleh memakai alat solek. Ini kerana ia berpunya tujuan praktikal bagi menyembunyikan masalah kulit supaya penggunanya berasa lebih selesa dengan penampilan diri,” jelas Cody mengenai stigma kecantikan lelaki yang perlu dibaiki.

“Apa yang menarik mengenai Fa Faa adalah nota harumannya yang diolah menawan lagi mewah. Tidak seperti syampu-syampu yang terjual di drugstore. Kami merumuskan aroma dengan bergamot, lavender, ylang-ylang dan pepermin. Tidak terlalu feminin atau terlampau maskulin. Gambarkan nada aromatik yang menenangkan lagi santai. Ia lebih kepada aroma atau haruman masa kini yang dapat dihargai oleh semua individu tanpa mengira usia atau jantina. Sesuai untuk semua kulit kepala yang tidak sensitif mendakap formulasi yang menenangkan. Fa Faa dirumuskan dari bahan semula jadi yakni tumbuh-tumbuhan. Bahan-bahan ini lembut dan berkesan, untuk menjanjikan pengalaman sensori yang menakjubkan semasa menggunakannya. Set Duo berharga RM 238 dan kami juga menjualnya secara berasingan,” tambah Juno yang menekuni bidang dandanan rambut di Akademi Snips.

Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Ekspresi Flora Caramella

POST A COMMENT