Melangkah Anggun Di Hari Bahagia - Glam Malaysia

Melangkah Anggun Di Hari Bahagia

RizmanNEWGambar: Rizman Ruzaini

 
Seri pengantin tidak hanya pada wajah kerana GLAM yakin busana yang disarung mempelai cukup penting sekali. Trend hangat buat pengantin memilih rekaan idaman di majlis bersejarah mereka.
 
Debaran hari bahagia bermula dengan majlis merisik, diikuti dengan acara pertunangan. Jika tahun-tahun terdahulu majlis pertunangan dianggap satu acara ringkas bersifat kekeluargaan, namun kini sudah berubah jauh. Tidak lagi dilangsungkan secara tertutup buat kaum keluarga semata tetapi dalam suasana cukup meriah, sehingga boleh dilabel umpama majlis akad nikah. Ini semua kerana selera masyarakat semakin tinggi, maka, si juita yang bakal bertunang juga bersiap cantik di dalam busana potongan tradisional.
 
Selepas bertunang, majlis akad nikah pula berlangsung. Cantik pengantin perempuan bertudung litup dalam persalinan tradisional seperti kebaya hingga ke kurung moden. Variasi rekaan yang semakin moden ini memberi gaya up-to-date dan dirias dengan perincian lebih mewah. Pilihan fabrik tidak terhenti pada sutera sifon, kini lebih meriah dengan broked dan kembalinya material songket.
 
Acara paling ditunggu-tunggu adalah resepsi majlis persandingan. Mempelai dua sejoli diarak bagaikan raja, melangkah anggun ke pelamin dalam busana cukup cantik. Dahulu popular dengan dress moden yang diambil inspirasi dari Barat, lelaki bertuksedo dan perempuan bergaun kembang. Kini trend hangat di Malaysia adalah kembalinya persalinan tradisional. Kebaya songket ditambah renda, Baju Kurung Melayu Merlimau disarung bersama hiasan kepala dan kebarung mewah dengan kristal memeriahkan majlis hari bahagia.
 
IKATAN PERTUNANGAN
1. Kini hari bertunang pun semakin meriah. Maka jangan ambil mudah akan penampilan anda. Pilihan terbentang luas daripada Baju Kurung Pesak Pahang, kurung moden atau lebih glamor dalam kaftan sarat jemeki. Ini adalah momen pertama anda untuk ke gerbang perkahwinan. Apa salahnya berbelanja untuk nampak lebih anggun.

See also
Di Sebalik Tabir - Datin Sri Zahida Yusof

2. Cahaya cinta pasti akan lebih dirasai jika bergaya anggun di hari pertunangan. Cadang GLAM, dapatkan persalinan sutera dan renda yang nampak mewah. Serikan dengan tudung atau scarf menutup kepala. Namun, jangan sampai nampak anda mahu bernikah pula. Cukup berpada namun masih menang gaya.
 
IJAB KABUL CINTA
1. Paling hangat adalah rekaan baju kurung moden. Fizi Woo, sempat berkongsi bahawa penggunaan rona lembut seperti pastel atau krim adalah warna pilihan utama. “Selepas memilih warna, penting buat pengantin mencari fabrik sesuai. Cadang saya tentu sekali sifon sutera atau sutera krep. Hiaskan baju kurung moden dengan perincian jemeki yang ringkas,” ujar Fizi Woo, pereka fesyen.

2. Tip penting adalah tampil dalam wajah dan gaya klasik. “Lupakan untuk bereksperimen dengan gaya aneh. Cukup dalam stail timeless. Baju kurung berpesak diberi sentuhan mewah dengan penggunaan fabrik praktikal,” cadang Fizi buat pengantin di kala bernikah.
 
RESEPSI BAHAGIA
1. “Selalunya bakal pengantin mahukan dress seperti dilihat dalam internet atau majalah yang digayakan oleh peragawati tinggi lampai, sehinggakan tidak kena langsung dengan bentuk badan mereka. Penting untuk tahu jenis fabrik dan siluet yang sesuai di kala majlis persandingan. Rona busana perlu memberi glow pada kulit pengantin, bukan menampakkan mereka lebih gelap,” kata Rico Rinaldi, pereka fesyen.
 
2. “Jangan pakai rona sendondon dengan ahli keluarga. Buat hari penting ini, saya cadangkan bakal pengantin untuk cipta gaya tersendiri. Usah ikut trend yang ada kerana bimbang nampak sama dengan pengantin lain. Serikan busana dress potongan A dengan perincian jemeki pada satu sisi atau drape pada kain,” sambung Rico.
 
 

See also
Terokai dunia #iChanged