#HerStory: Manifestasi Perlindungan, Ikatan Abadi Termewah
Sempena merai Hari Wanita Sedunia, GLAM mengungah isi hati figura berpengaruh Marion Caunter berkongsi kisah perjalanan hidup tentang keberanian, kekuatan dalam mencintai diri sendiri menerusi #HerStory, dan bagaimana jauhari menjadi simbol perlindungan dan kelestarian generasi akan datang.

Top: COS | Zalora
Setiap wanita melalui perjalanan hidup yang tersendiri sentiasa berubah, berkembang dan menemui dirinya semula di setiap fasa kehidupan. Perjalanan ini juga tidak terkecuali pada Marion. Hidupnya adalah satu kisah cinta terhadap diri sendiri, keberanian untuk berubah, dan keyakinan untuk melindungi apa yang benar-benar berharga. Dari seorang personaliti media yang dikenali ramai, kemudian menjadi seorang isteri, dan seterusnya seorang ibu dia telah melalui fasa-fasa berbeza yang mencabar dan memperkayakan kehidupannya.

Top: DIOR
Kini, dalam usia 40-an, Marion semakin selesa menjadi diri sendiri. Dia tidak lagi terikat dengan “bunyi-bunyi luar” dan lebih fokus kepada keaslian dirinya—sesuatu yang begitu penting untuk setiap wanita. Baginya meraikan wanita bukan sekadar tentang pencapaian, tetapi tentang mengenali nilai diri sendiri. Tentang menerima siapa kita, melindungi hati kita, dan membina ruang yang selamat untuk diri dan mereka yang kita cintai. “Saya rasa sekarang saya kembali kepada diri saya yang asal. Dulu, saya rasa perlu menjadi seseorang yang orang ramai mahukan. Saya fikir saya perlu memenuhi jangkaan orang sekeliling, berfikir tentang bagaimana saya akan dilihat, dan bertindak mengikut kehendak orang lain. Tetapi sebenarnya, semua itu sangat meletihkan.”
Jauhari Lebih Dari Sekadar Perhiasan
Setiap wanita mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikan perasaan, keyakinan, dan kisah hidup. Ada yang melakukannya melalui seni, ada yang memilih kata-kata, dan ada pula yang menggunakan barang kemas sebagai simbol kekuatan dan kenangan. Bagi Marion, barang kemas adalah sesuatu yang lebih bermakna dan bernilai emosi.
“Barang kemas bagi saya adalah segalanya. Ia benda terakhir yang saya pakai sebelum keluar rumah, tetapi ia memberi kesan paling besar. Apabila saya memakai perhiasan saya, saya rasa lebih kuat, saya rasa dilindungi. Saya rasa lebih yakin. Koleksi Tiffany & Co. Lock Collection, misalnya, bukan sekadar rekaan yang elegan, tetapi membawa maksud yang lebih mendalam kekuatan, keselamatan dan perlindungan terhadap perkara yang paling berharga dalam hidup kita.”

Top: COS | Zalora
“Saya seorang yang sangat melindungi. Saya tidak mudah menyayangi, tetapi bila saya sayang, saya benar-benar sayang. Saya ambil makna cinta itu dengan serius. Bila saya melindungi, saya lakukan dengan sepenuh hati, sama ada untuk keluarga, rakan atau sesiapa yang saya kasihi.”
Sebagaimana cinta dan perlindungan menjadi nilai yang penting dalam kehidupan Marion, begitu juga barang kemas yang dipakainya. Ia bukan hanya sekadar aksesori, tetapi menjadi lambang kekuatan dan kenangan yang tidak ternilai. Bagi Marion, barang kemas adalah satu peringatan tentang kekuatan dan ketahanan dirinya.
“Barang kemas bukan sekadar perhiasan. Ia adalah simbol perjalanan, refleksi siapa saya dan peringatan tentang segala yang saya pertahankan dalam hidup ini. Saya rasa lebih yakin apabila saya memakai barang kemas yang saya sayangi. Ia mengingatkan saya tentang semua bermakna.”
Sama ada memakai seutas rantai atau sebentuk cincin, ia bukan hanya sekadar melengkapkan penampilannya, tetapi juga membawa makna yang lebih mendalam—ia adalah lambang kenangan, simbol kekuatan dan tanda penghormatan kepada dirinya sendiri. Sama seperti Tiffany & Co. – Lock Collection yang melambangkan perlindungan dan kasih sayang, barang kemas juga boleh menjadi perkara paling peribadi yang kita simpan dekat di hati—bukan hanya untuk kecantikan, tetapi juga sebagai lambang identiti dan warisan.
Melestarikan Generasi Penerus
Perjalanan hidup seorang wanita bukan hanya tentang dirinya sendiri, tetapi juga tentang generasi yang akan datang. Sebagai seorang ibu kepada anak-anak perempuan, Marion berasa tanggungjawab untuk mengajar mereka tentang nilai diri dan keyakinan. Akui Marion, “Setiap kali saya menerima The Iconic Blue Box daripada Tiffanny & Co, ia senantiasa menerbitkan rasa kegembiraan luar biasa. Tetapi lebih daripada keindahannya, saya tahu setiap koleksi yang saya miliki adalah sesuatu yang akan saya wariskan kepada anak-anak saya suatu hari nanti.”

Top: DIOR
Sebagai seorang ibu, Marion sangat menitikberatkan nilai kehidupan yang sebenar kepada anak-anaknya. “Wanita, mahu atau tidak, kita perlu benar-benar mengenali nilai diri kita. Sebab bila kita tahu nilai kita, kita tahu apa yang kita sanggup terima dan apa yang tidak akan dibenarkan. Dalam dunia sekarang, di mana semua orang mudah terpengaruh dengan kecantikan yang dipaparkan di media sosial, bila kita tahu nilai kita, kita takkan mudah tunduk pada tekanan untuk menjadi seperti orang lain.”
Peranan seorang wanita dalam masyarakat sering kali berubah-ubah mengikut peredaran zaman. Dahulu, wanita sering dikaitkan dengan kelembutan dan pengorbanan, tetapi kini wanita bukan sahaja lembut, tetapi juga berani, kuat, dan mampu berdikari. Sebagai wanita moden, Marion memahami bahawa dunia hari ini memberikan lebih banyak cabaran kepada wanita muda, terutama dalam dunia digital di mana persepsi kecantikan sering dikawal oleh media sosial. Namun, bagi Marion, nilai diri yang sebenar datang dari dalam diri sendiri, bukan dari pandangan orang lain.
“Saya selalu ingatkan anak-anak saya bahawa kecantikan bukanlah tentang bagaimana orang lain melihat kita, tetapi bagaimana kita melihat diri kita sendiri. Jika kita tahu nilai diri, kita tidak akan mudah berubah hanya untuk memuaskan pandangan orang lain.”
Perkara ini bukan sahaja penting bagi generasi muda, tetapi juga untuk setiap wanita di luar sana yang sedang mencari identiti dan keyakinan diri. Pada Hari Wanita Sedunia, wanita diajak untuk menghargai diri sendiri, menerima keunikan kita, dan melindungi apa yang benar-benar bermakna dalam hidup.
Marion Caunter adalah bukti bahawa wanita boleh menjadi kuat, berani, dan pada masa yang sama tetap penuh dengan kasih sayang dan kelembutan. Sama seperti Tiffany & Co. Lock Collection, dia adalah lambang kekuatan, perlindungan, dan warisan yang tidak ternilai.
Artikel Berkaitan: Metafora Ultra-Mewah Lock Collection daripada Tiffany & Co.