Fenomena Baru Fesyen Mewah - Glam Malaysia

Fenomena Baru Fesyen Mewah

Pasaran mewah kini dimonopoli oleh golongan muda yang hebat berbelanja berbanding kelompok meningkat usia. Rumah fesyen juga sudah mula bertindak bagi memenuhi kepuasan pasaran baru ini.
 
VISI ORANG MUDA
 

NY: The Fashion Group International 30th Annual Night of Stars: GalaxyGambar: TPGVIP

 
Kini rumah fesyen mula mendapatkan pereka-pereka fesyen muda untuk mengemudi label mereka. Pereka muda hip dari New York, Alexander Wang menggantikan Nicolas Ghesquiere di Balenciaga lantas rumah fesyen itu diberikan nafas lebih muda agar dapat memenuhi permintaan golongan pasaran baru. Bukan sahaja Balenciaga, jenama mewah lain yang mendapat pereka fesyen muda sebagai orang penting adalah Saint Laurent yang kini diketuai oleh Hedi Slimane yang mahir meraikan dunia remaja.
 
LVMH dilihat sebagai satu induk yang berani untuk mencuba pasaran muda ini. Delphine Arnault dan Pierre-Yves Roussel dari LVMH adalah orang penting dalam mengikat kontrak bersama jenama-jenama muda. Di bawah usaha pasangan duo ini, LVMH kini megah dengan label seperti Altuzarra, Nicholas Kirkwood dan paling terbaru jenama JW Anderson. Paling menguntungkan apabila pereka asal Ireland ini turut diberi kepercayaan sebagai pengarah kreatif Loewe. Dia membawa visi kemewahan dalam versi lebih moden dan mampu memenuhi permintaan golongan muda kerana pernah berkolaborasi bersama jenama Topshop.
 
Syarikat gergasi fesyen, Kering juga tahu akan situasi baru ini lantas bijak mengikat kontrak bersama Christopher Kane. Pereka yang berusia 32 tahun itu mula mendirikan jenamanya dengan bantuan keluarga, sehinggalah Kering mengambil keputusan untuk membeli saham dan melabur dalam membina jenama ini kerana mereka tahu yang jenama ini punya visi moden dan berjiwa muda. Kini Kane sudah mempersembahkan lebih 15 pertunjukan fesyen termasuk himpunan buat koleksi lelaki yang diperkenalkan pada 2010. Momen paling berjayanya adalah apabila dia melancarkan koleksi baju-T bercorak muka gorila, terus mendapat tumpuan golongan muda.
 
ADIBUSANA BUAT SI MUDA
 

See also
Beyonce Berantai Berlian 128 Karat Buat Kempen Tiffany

Olivia Palermo Spotted Out In New YorkGambar: TPGVIP

 
Jika dahulu dunia adibusana khas buat sesetengah kelompok manusia, kini tidak lagi. Karl Lagerfeld hingga ke Jean Paul Gaultier faham dengan perubahan pasaran paling mewah dalam dunia fesyen. Klien mereka bukan lagi permaisuri dunia yang usia lingkungan 50 tahun ke atas atau para bangsawan, isteri perdana menteri atau wanita yang mewarisi berjuta ringgit kerana ada kelompok baru siap sedia untuk menggayakannya.
 
Melalui rencana keluaran majalah W, Karl Lagerfeld berkongsi yang sekarang banyak orang muda yang punya duit dan bersedia untuk berbelanja. “Kenapa beli adibusana yang look dated? Setiap pereka fesyen perlu tahu bagaimana untuk menakluki pasaran muda ini dan apa yang klien mahukan ialah melihat lebih muda,” kongsi Karl Lagerfeld yang selesa dengan klien-klien muda baru ini. Lihat sahaja bagaimana barisan hadapan di pertunjukan fesyen tidak lagi dihiasi oleh wanita yang perlukan botoks untuk menegang kulit agar kembali muda remaja, mereka ini diganti dengan personaliti muda seperti Rihanna dan Olivia Palermo.
 
‘Kami ada klien semuda usia 12 tahun,” kongsi Alexis Mabille. Mungkin cerita ini memberi kejutan baru dalam dunia pasaran mewah, namun itulah yang sedang berlaku sekarang. Situasi ini terjadi kerana ia sudah menjadi satu budaya buat keluarga kaya. Apabila anak muda melihat ibu dan nenek mereka bergaya cantik dalam busana paling eksklusif, mereka jua dambakan nikmat yang sama. Fokus Mabille sekarang adalah untuk menjadi pereka fesyen adibusana yang mampu melunaskan impian golongan muda. “Kami adalah jenama yang bernafas muda. Jike mereka mahukan hanya sepasang seluar, saya boleh siapkan dengan jahitan paling kemas dan ditambah perincian hebat,” kongsi Mabille tentang dunia pasaran mewah adibusana yang sudah dimonopoli golongan muda.
 
PLATFORM PASARAN BARU
 
Manrepller
 
Melihat situasi ini, para kelompok fesyen mula mengubah arah masing-masing. Tidak lagi berfikiran ortodoks dan tradisional. Teknologi terutamanya laman sosial dijadikan medium paling penting untuk menarik minat orang muda agar dekat dengan jenama mereka. Jenama mewah kini lengkap dengan akses di Facebook hingga ke Instagram. Sebut sahaja apa jenama yang ada di dunia pasti akan ada laman web rasmi untuk menyokong mereka. Lebih-lebih lagi, setiap golongan muda ini sudah punya gajet berteknologi tinggi yang punya aplikasi mudah untuk membeli-belah.
 
Antara yang berlari bersama golongan muda agar sama pemikirannya adalah Holt Renfrew, sebuah gedung beli belah mewah di Kanada. Pasukan pemasaran mereka melancarkan laman blog Holts Muse agar mudah buat golongan muda akses dengan apa yang ada di gedung itu. Demografi mudah ini adalah sasaran baru mereka, “Kami di Holt Renfrew mahu menjadi relevan kepada golongan kuasa baru ini, maka dengan platform baru ini ia mampu memenuhi sasaran target pasaran baru kami,” kongsi Brittany Barkwell, pengurus buat laman sosial Holt Renfrew kepada WWD.
 
Usaha Holt Renfrew berjaya apabila dengan memilih ikon-ikon yang hebat dan lebih dekat dengan hati golongan muda. Leandra Medine empunya blog fesyen terhangat Man Repeller, menjadi orang penting sewaktu pelancaran Holts Muse dan berjaya menarik 45,000 hit dan memberi keuntungan besar buat gedung beli belah yang mempunyai jenama mewah seperti Burberry Prorsum, Carven dan Erdem. Nama lain yang dijemput untuk memeriahkan kempen Holt Muse termasuklah Victoria Beckham dan Rachel Zoe.
 
 

See also
Alexander Wang x Adidas Kembali Dengan Drop 2