A Watch Born to Explore : Ekshibisi Eksklusif Rolex
Hotspot Menarik Untuk Berhujung Minggu Bersama Si Kecil
Sejenak – Trik Padanan Warna Kediaman
GLAM Deko Kediaman – Organik Industrial
Faktor Mengapa Anda Perlu Pereka Hiasan Dalaman
Home > GLAM Plus > Pesona Mahligai Cinta di Tanjong Jara Resort Untuk Bakal Pengantin

Pesona Mahligai Cinta di Tanjong Jara Resort Untuk Bakal Pengantin

Impikan perkahwinan ala istana diraja? Terokai keagungan Tanjong Jara Resort gabungan romansa pantai, irama gamelan live, dan penginapan VVIP eksklusif untuk majlis raja sehari yang gilang-gemilang 

Apabila berbicara tentang perkahwinan impian yang memancarkan aura kemewahan serba eksklusif, lokasi dan suasana memainkan peranan yang cukup penting. Di sebalik pepohonan kelapa yang menari ditiup bayu segar Laut China Selatan, berdiri keagungan Tanjong Jara Resort, sebuah mahakarya seni bina yang pernah dinobatkan dengan Anugerah Seni Bina Aga Khan. Mengambil inspirasi daripada kehalusan istana Melayu kuno abad ke-17, resort ini bukan sekadar destinasi percutian, malah sebuah kanvas magis bagi pasangan pengantin yang dahagakan perayaan cinta berkonsepkan royal glam dan penuh prestij. Suasana redup yang dibalut kehangatan seni bina kayu berukir halus serta bayangan istana silam langsung menyapa sanubari tatkala langkah pertama diayunkan ke dalam resort ini. 

Ini Pilihan Pakej Perkahwinan Utama 

  • Pakej The Teratai Wedding yang Berpaksikan Melodi Live Gamelan

Bagi pasangan yang mendambakan suasana perkahwinan berlatarkan deruan ombak dan pasir putih yang bersih, pakej The Teratai Wedding pada harga MYR 15,500++ hadir menterjemahkan suasana penuh romantis. Berjalan beriringan di atas hamparan pasir memutih menuju ke gerbang bunga eksklusif, upacara ikrar cinta diperindahkan lagi dengan alunan merdu irama gamelan live yang bergemersik di udara. Selepas detik bersejarah itu dimeterai, keraian diteruskan dengan majlis santapan intim di Teratai Terrace. Setiap perincian diatur indah, termasuk rawatan spa diraja Melayu Dandan Puteri Tujuh atau Panji Alam bagi memanjakan pengantin, upacara menanam pokok simbolik tanda penyatuan jiwa, serta penginapan dua malam di Anjung Room yang mewah.

  • Pakej The South China Sea Romance Lengkap Santapan Laut & Champagne

Bagi pasangan yang mahukan keraian yang lebih agung dan penuh glamor, The South China Sea Romance pada harga MYR 18,500++ menawarkan pengalaman yang begitu memukau. Laluan pengantin dihiasi keindahan bunga manggar tradisional serta taburan kelopak bunga segar yang mewangi menuju ke gazebo persisiran pantai. Majlis disusuli dengan santapan malam makanan laut mewah di Nelayan Restaurant, lengkap bersama kek perkahwinan dua tingkat dan kejutan botol champagne semasa layanan turndown di Anjung Room.

  • Pakej The Garden Wedding dan Simbolik Keabadian Circle of Love

Buat pencinta ketenangan alam hijau, pakej The Garden Wedding yang turut ditawarkan pada harga MYR 18,500++ membawakan keanggunan tersendiri di tengah-tengah taman tropika segar. Mengikat janji di bawah struktur ikonik Circle of Love, dua bulatan berangkut yang melambangkan keabadian ikatan perkahwinan. Majlis diserikan dengan gubahan bunga segar dan hiasan taman bertaraf dunia. Apa yang lebih memikat hati, ketiga-tiga pakej eksklusif ini turut menghadiahkan pakej penginapan bulan madu percuma selama dua malam di Gaya Island Resort, Sabah, sebagai pelengkap perjalanan cinta pasangan mempelai.

Sentuhan Kebudayaan Tradisional Pencak Silat dan Balas Pantun

Keagungan majlis perkahwinan di Tanjong Jara Resort semakin berseri dengan kehadiran persembahan kebudayaan Melayu yang tulen. Para tetamu jemputan akan terpesona dengan langkah gagah persembahan Pencak Silat dan alunan Balas Pantun yang menyambut ketibaan pasangan pengantin dengan penuh adat istiadat diraja. Setiap detik disulami dengan ritual kebudayaan klasik yang mengangkat nilai estetika warisan Melayu ke peringkat yang paling tinggi.

Penginapan Mewah House of Terengganu dan Anjung Room

Bagi memastikan keselesaan maksimum buat pasangan raja sehari dan para tetamu VVIP, pilihan penginapan di resort ini dipelihara dengan tahap kemewahan terbaik. Bintang utama penginapan di sini ialah House of Terengganu, sebuah villa persendirian satu bilik ala istana yang dilengkapi kolam renang peribadi pada kadar MYR 4,350++ semalam. Selain itu, terdapat juga Anjung Room pada kadar MYR 1,770++ semalam yang menawarkan tab mandi sunken serta bilik mandi berkonsepkan halaman terbuka yang sangat romantis, di samping Serambi dan Bumbung Rooms yang berharga antara MYR 1,050++ hingga MYR 1,250++ semalam.

Eksklusiviti Resort Buyout dengan Perkhidmatan Cef Peribadi

Buat pasangan yang inginkan privasi mutlak dan inginkan perayaan khas bersama keluarga serta insan tersayang sahaja, pilihan Resort Buyout turut disediakan. Menerusi pilihan ini, keseluruhan resort akan ditutup khas untuk majlis anda, lengkap dengan perkhidmatan cef peribadi dan pasukan layanan dedikasi yang sedia menterjemahkan setiap impian menjadi kenyataan. Perkahwinan di Tanjong Jara Resort bukan sekadar sebuah majlis keraian biasa, melainkan sebuah simfoni cinta yang diukir indah dalam suasana mewah, tenang, dan penuh keagungan warisan.

Artikel berkaitan: Audemars Piguet Buka Butik Konsep Baru di Kuala Lumpur