Musim ini menyaksikan pelbagai pelancaran menarik, daripada wangian baharu yang bakal menjadi tanda tangan seterusnya hinggalah produk solekan yang menjadikan rutin harian terasa lebih menyeronokkan.
Ini enam produk baharu yang sedang mencuri perhatian kami sekarang.
Hourglass Phantom Blur Balm
Tidak semua gincu mampu membuatkan bibir kelihatan lebih cantik tanpa kelihatan seperti memakai terlalu banyak produk. Itulah yang menjadikan Phantom Blur Balm begitu menarik. Formula terbaharu daripada Hourglass ini memberikan warna yang lembut dengan kemasanblur yang membuatkan bibir kelihatan lebih sihat secara semula jadi.
Teksturnya ringan, lembut dan cukup menghidratkan untuk dipakai sepanjang hari tanpa rasa kering atau tidak selesa. Jika anda mencari rona harian yang mudah dipakai, Echo menawarkan warna merah jambu neutral yang sesuai untuk hampir semua tona kulit. Bagi kulit sawo matang, Mirage dan Enigma pula memberikan sentuhan warna yang lebih menyerlah.
Amouage Love Hibiscus
Bunga raya mungkin bukan nota pertama yang terlintas apabila memikirkan wangian mewah, tetapi Amouage berjaya mengubah persepsi itu melalui Love Hibiscus. Wangian ini dibuka dengan karakter hibiscus yang sedikit masam dan berbuah sebelum berkembang kepada akord pastri bermentega yang manis dan lazat.
Di tengah komposisi, passion fruit dan frankincense membawa dimensi yang lebih menarik, menghubungkan elemen segar dan manis dengan begitu harmoni. Apabila ia mula mengering pada kulit, sandalwood, papirus India dan vanila memberikan kedalaman yang hangat serta sensual. Hasilnya bukan sekadar floral gourmand biasa, tetapi sebuah wangian yang terasa berani, misteri dan penuh karakter.
Huda Beauty Easy Bake Intense Eau De Parfum
Peminat Easy Bake Loose Powder pasti mengenali aroma ikonik yang menjadi sebahagian daripada pengalaman menggunakan produk tersebut. Kini, Huda Beauty membawa aroma itu ke dalam bentuk wangian menerusi Easy Bake Intense Eau De Parfum.
Dicipta oleh perfumer Hamid Merati-Kashani, wangian ini membuka langkah dengan nota ceri liar yang berjus sebelum berkembang kepada bunga putih, kayu manis dan susu karamel yang berkrim. Vanila bourbon di bahagian asas melengkapkan keseluruhan komposisi dengan kemanisan yang hangat dan ketagih.
Apa yang menjadikannya menarik adalah cara ia mengekalkan identiti gourmand yang sinonim dengan Easy Bake, tetapi dalam versi yang lebih matang, lebih kaya dan jauh lebih sensual.
Guerlain KissKiss Bee Glow Plump
Produk bibir kini bukan lagi sekadar soal warna. KissKiss Bee Glow Plump daripada Guerlain menggabungkan penjagaan, kilauan dan efek volume dalam satu formula mewah.
Diperkaya dengan madu dan cyclopeptides, formula ini membantu memberikan hidrasi berpanjangan sambil menjadikan bibir kelihatan lebih penuh dan berseri. Teksturnya turut memberikan sensasi sejuk yang menyegarkan ketika aplikasi. Pilihan rona seperti Warm Glow dan Cool Glow direka untuk meningkatkan warna semula jadi bibir, menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang menggemari penampilan segar dan bersahaja.
Guerlain Météorites Compact
Météorites mungkin terkenal sebagai salah satu produk paling ikonik dalam dunia solekan, tetapi Guerlain membuktikan bahawa klasik juga boleh berevolusi. Dengan pembungkusan boleh isi semula dan formula baharu yang memfokuskan kemasan luminous matte, Météorites Compact membawa sentuhan moden kepada koleksi yang telah lama menjadi kegemaran ramai.
Mengandungi empat tona yang bergabung menjadi satu harmoni warna, bedak ini membantu menetapkan solekan, mengaburkan tekstur dan meratakan tona kulit sambil mengekalkan kemasan luminous matte.
Sisley Color Cloud
Bagi anda yang menggemari produk pelbagai fungsi, Color Cloud daripada Sisley mungkin menjadi antara pelancaran paling praktikal tahun ini. Direka untuk bibir dan pipi, ia hadir dengan hadir dengan tekstur krim baldu yang menyatu pada kulit untuk hasil yang kelihatan semula jadi.
Pada bibir, ia memberikan kemasan matte lembut dengan efek kabur yang membantu menyamarkan garis halus. Pada pipi pula, formulanya mudah dibaurkan untuk menghasilkan rona segar yang kelihatan semula jadi. Sama ada anda memilih Tawny yang bernuansa nude, Rosy yang segar atau Berry yang lebih dramatik, setiap rona direka untuk memberikan kesan warna yang mudah disesuaikan mengikut mood dan gaya solekan.
Daripada wangian yang diinspirasikan produk ikonik hinggalah formula bibir dan wajah yang menjadikan rutin harian lebih mudah, enam pelancaran ini membuktikan bahawa dunia kecantikan masih mempunyai banyak cara untuk mengejutkan kita. Dan jika anda sedang mencari alasan untuk menambah sesuatu ke dalam wishlist, kami baru sahaja memberikan enam daripadanya.