Industri fesyen dan kecantikan hari ini sering berbicara tentang diversiti. Wajah yang pelbagai mula menghiasi kempen, pentas peragaan dan kulit majalah. Namun di sebalik kemajuan yang kelihatan itu, masih wujud persoalan yang sering bermain dalam fikiran mereka yang berada di dalam industri itu sendiri. Adakah kepelbagaian benar-benar diraikan, atau sekadar dipamerkan?
Bagi Nazurah Husna, Haneesya Hanee dan Nalisa Alia Amin, label diversiti bukanlah sesuatu yang asing. Masing-masing pernah dianggap berbeza daripada definisi kecantikan konvensional yang sekian lama mendominasi industri. Namun daripada membiarkan perbezaan itu menjadi kekurangan, mereka memilih untuk menjadikannya identiti.
Nazurah Husna Dan Erti Representasi Sebenar
Bagi Nazurah Husna, perjalanan sebagai model bermula tanpa sebarang perancangan besar. Sebagai seorang yang introvert, dia tidak pernah membayangkan dirinya berada di hadapan kamera. Namun apabila dunia peragaan menjadi sebahagian daripada hidupnya, dia mula melihatnya sebagai medium untuk mengekspresikan diri.

Dalam perjalanan itu, dia berdepan dengan realiti yang tidak selalu diperkatakan secara terbuka. Memiliki tona kulit sawo matang, Nazurah menyedari terdapat ekspektasi tidak bertulis bahawa model berhijab seharusnya tampil dengan kulit yang lebih cerah.
“Having a medium tan complexion, I realized there was an unspoken expectation that my skin should appear lighter in photos.”
Pernah beberapa kali dia disolek menggunakan tona yang jauh berbeza daripada warna kulit asalnya. Pengalaman itu membuka matanya terhadap bagaimana kecantikan masih sering ditafsir melalui lensa yang sempit.
Namun bukan hanya warna kulit menjadi perhatian. Penampilannya yang dianggap lebih edgy turut mengundang pelbagai pandangan. Ada yang menyarankan agar dia membetulkan struktur gigi, menghilangkan parut di wajah atau mengubah beberapa aspek fizikal yang dianggap tidak sempurna.
Bagi Nazurah, perkara yang cuba diperbetulkan orang lain itulah yang menjadikan dirinya unik.
“Don’t try to chase or become someone else. The industry doesn’t need another Marilyn Monroe in the same era.”
Haneesya Hanee Menolak Untuk Diubah Demi Diterima
Sementara itu, pengalaman Haneesya Hanee memperlihatkan sisi lain tentang bagaimana standard kecantikan boleh membentuk perjalanan seseorang model.

Sebagai individu yang mengalami disleksia, keyakinan dirinya ketika kecil tidaklah setinggi yang disangkakan ramai. Dia lebih selesa berada di belakang dan tidak pernah benar-benar membayangkan dirinya akan bergelar model.
Namun apabila peluang hadir, dia memilih untuk mencuba. Walaupun ramai melihat keunikan pada wajahnya, komen yang diterimanya sering disertai dengan syarat tertentu.
“Walaupun wajah unik, tetapi mereka memberitahu saya untuk menurunkan berat badan.”
Ketika berusia 15 tahun, tubuh badannya tidak memenuhi standard yang ketika itu dianggap ideal dalam industri. Namun pengalaman tersebut mengajarnya untuk menerima kritikan dan penolakan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
Apa yang lebih mengecewakan adalah bagaimana warna kulit sering menjadi faktor yang menentukan layanan yang diterima. Pernah satu ketika, warna bedak asas yang digunakan tidak sesuai sehingga membuatkan kulitnya kelihatan kelabu. Dia juga pernah dilabel menyusahkan krew produksi kerana pencahayaan perlu disesuaikan semula ketika bergandingan dengan model berkulit lebih cerah.
Pengalaman tersebut membuatkan Haneesya semakin yakin untuk memperjuangkan penerimaan terhadap kepelbagaian warna kulit.
Menurutnya, diversiti sering kelihatan wujud pada permukaan, namun realitinya masih banyak perkara yang perlu diperbaiki. Walaupun industri semakin terbuka untuk menampilkan wajah yang berbeza, model yang memenuhi standard kecantikan tradisional masih menjadi pilihan utama.
Prinsip itulah yang membuatkan dirinya menolak tawaran kempen berkaitan produk pemutihan kulit walaupun ditawarkan bayaran yang tinggi. Baginya, warna kulit bukan sesuatu yang perlu diubah demi diterima.
Nalisa Alia Amin Tidak Berkompromi Dengan Kesihatan
Jika Nazurah dan Haneesya berdepan persepsi terhadap warna kulit, Nalisa Alia Amin pula berhadapan cabaran berbeza sebagai model bersaiz besar.

Namanya menjadi perhatian apabila muncul sebagai model plus size yang membuka dan berjalan di pentas Kuala Lumpur Fashion Week. Namun di sebalik pengiktirafan tersebut, Nalisa melihat sendiri bagaimana label diversiti tidak semestinya membawa perubahan yang besar.
Menurutnya, piawaian kecantikan di Malaysia masih cenderung kepada definisi yang sempit.
“People still glorify anybody that looks pan Asian for commercial comfort.”
Walaupun dirinya sering dipanggil sebagai simbol diversiti, dia mengakui bahawa status tersebut tidak menjamin peluang pekerjaan yang konsisten. Malah ada kalanya dia menerima komen yang seolah-olah mempertikaikan kemampuannya sebagai model.
Daripada “You’re pretty for a plus size” hinggalah kepada persoalan sama ada dia benar-benar tahu cara untuk menjadi model, komen seperti itu memberi gambaran bahawa dirinya dilihat sebagai pengecualian dan bukannya sebahagian daripada norma.
Namun Nalisa memilih untuk melihat perkara itu dari sudut yang berbeza. Baginya, menjaga diri bukan tentang menghukum tubuh demi memenuhi kehendak industri.
“I’ve learned to separate discipline from self punishment.”
Dia menjaga tubuh badan kerana ia menyokong kerjayanya, bukan kerana ingin mengejar standard kecantikan yang boleh menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan dirinya.
“I don’t negotiate my health for approval.”
Walaupun datang daripada latar belakang yang berbeza, ketiga-tiga wanita ini berkongsi pengalaman yang hampir serupa. Mereka pernah dipersoalkan kerana warna kulit, bentuk badan, penampilan atau ciri fizikal yang tidak memenuhi definisi kecantikan konvensional.
Namun apa yang membezakan mereka adalah keberanian untuk tidak mengubah diri semata-mata demi diterima.
Di sebalik label diversiti yang sering diberikan kepada mereka, Nazurah Husna, Haneesya Hanee dan Nalisa Alia Amin sebenarnya membawa mesej yang lebih besar. Mereka membuktikan bahawa representasi bukan sekadar tentang mengisi ruang yang kosong, tetapi tentang memberi peluang kepada lebih ramai individu untuk dilihat, diterima dan diraikan sebagai diri mereka sendiri.
Kerana pada akhirnya, kecantikan tidak pernah datang dalam satu rupa, satu warna kulit atau satu bentuk tubuh. Dan mungkin, itulah definisi diversiti yang sebenar.
Artikel berkaitan: Lagree Megapro Kini Di Eden Social Club