fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Anya Taylor-Joy, Jisoo dan Willow Sertai Dunia Wangian Dior Addict
Tips Memilih Haruman Buat Bakal Pengantin
7 Salon Rambut Terbaik di Lembah Klang Untuk Persiapan Perayaan
Dior Mitzah Himpunkan Solekan Ikonik Pilihan Anya Taylor-Joy
La Prairie Umum Kolaborasi Bersama Sabine Marcelis Dan The Cobalt House
Home > Cantik > Berbakti Bersama Alam – OLUMES & MOOM Health

Berbakti Bersama Alam – OLUMES & MOOM Health

Dalam edisi Dialog Cantik April ini, GLAM mendekati figura cantik yang berani mengangkat warisan tradisi, mengubah landskap industri kecantikan Asia Tenggara.

Ada wanita ditakdirkan punya keberanian yang sudah terpahat di jiwa. Ada pula yang terpaksa mencari semangat itu. Dua kisah, dua latar belakang yang berbeza rupa, namun terpancar jalan penceritaan hampir sama iaitu keberanian untuk memulakan sesuatu yang belum pernah ada, belum pernah dikomersialkan oleh sesiapa.

Aerin Gabor, pengasas dan juga saintis kosmetik di sebalik jenama OLUMES yang membawa nama Borneo ke mata kecantikan global. Sementara Mili dan Maya Kale, dua beradik yang bersatu menaikkan MOOM Health memilih untuk berbicara dengan lantang tentang sesuatu yang wanita Asia cukup malu membahaskannya.

Mengangkat Khazanah Borneo Melalui Sains Kecantikan

Nama OLUMES dipetik daripada perbendaharaan bahasa Kadazan Dusun, bererti indah. Dan memang indahlah cerita di sebalik jenama ini. Tidak seperti kebanyakan jenama kecantikan yang lahir daripada estetika semata mata atau trend yang berlalu seperti angin. OLUMES lahir daripada perasaan ingin tahu dan keyakinan yang tidak berganjak bahawa tanah Borneo menyimpan rahsia kecantikan yang belum sepenuhnya dirungkai oleh dunia moden.

Aerin Gabor bukan sahaja pengasas. Dia juga merupakan peneraju, ahli sains, pewaris budaya dan dalam erti kata lain, seorang jurubahasa yang menterjemahkan bisikan alam Borneo ke dalam bahasa sains kosmetik yang difahami dunia. Latar akademiknya merangkumi Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia, Diploma Lanjutan dalam Formulasi Penjagaan Kulit Organik dan Sains Kosmetik dari Formula Botanica di United Kingdom, dua ijazah MBA yakni dari UNITAR, satu lagi dalam Pengurusan Mewah dari Sup de Luxe di Paris dan kini beliau sedang mengejar Doktor Pentadbiran Perniagaan, mengkaji tingkah laku pengguna digital dalam landskap pasaran Malaysia yang terus berubah tanpa henti.

Kata Aerin, versi pertama OLUMES bukanlah sebuah produk. Ia adalah sebuah buku nota yang penuh dengan lakaran idea dan penyelidikan bahan. Prototaip terawal OLUMES sangat mudah dan tidak berpretensi, hanya fokus kepada pembaikan lapisan pelindung kulit, meminimumkan kerengsaan dan kesihatan kulit jangka panjang. Hari ini, OLUMES telah berkembang menjadi sistem penjagaan kulit yang jauh lebih canggih dan terperinci, tetapi falsafahnya tetap tidak berubah iaitu menghormati kulit tanpa membebankannya.

Kisah daripada sekadar menulis coretan di buku nota hinggalah ia menjelma menjadi sebuah produk yang kaya dengan hasil semula jadi Borneo jelas memancarkan kesedaran akan kekayaan biodiversiti Borneo yang luar biasa. Di sebalik hutan hujan purba yang berusia ratusan tahun ini tersimpan keunikan tersendiri dalam memacukan produk kecantikan yang berinovasi tinggi. Ketika dia mula menyelidiki ekosistem marin di sekitar Semporna, Sabah, sesuatu di dalam dirinya mula berbisik hangat.

“Momen saya tahu bahawa OLUMES mesti wujud adalah ketika saya menyedari bahawa sumber semula jadi ini layak mendapat platform saintifik dan suara global,” kata Aerin.

Daripada penyelidikan yang tekun itu, lahirlah FCS Complex™, ekstrak marin eksklusif OLUMES yang diambil daripada tanaman laut yang diusahakan di perairan Semporna. Ia merupakan gabungan rumpai laut yang kaya nutrien dari Laut Celebes, peptida serta vitamin yang menyokong kesihatan kulit.

Sains Sebagai Bahasa Kasih Sayang

Salah satu kesilapan terbesar yang Aerin perhatikan berulang kali dalam kalangan pengguna adalah kecenderungan untuk menyelesaikan pelbagai masalah kulit dengan melapisi terlalu banyak produk serentak. Serum demi serum, asid demi asid, bahan aktif demi bahan aktif, masing masing menyasar satu masalah secara berasingan. Akibatnya, lapisan pelindung kulit yang rapuh semakin lemah dan kulit yang asalnya bermasalah menjadi semakin sensitif, semakin merah dan semakin tidak seimbang.

“Idea asasnya bukan untuk membebankan kulit, tetapi untuk membekalkan bahan yang menyokong pembaharuan dan ketahanan kulit, membolehkan kulit beransur pulih seperti sediakala,” jelas Aerin. “Kadang kadang rutin penjagaan kulit yang paling berkesan bukanlah yang paling rumit, tetapi yang paling memahami cara kulit berfungsi sebagaimana ia direka.”

Inilah mengapa OLUMES memilih untuk bebas daripada wangian sintetik dan pewarna tiruan. Bagi ramai pengguna, ini adalah pendidikan baharu yang memerlukan masa untuk diterima. Masyarakat kita sudah terlalu lama mengaitkan wangian yang harum dan warna yang cantik dengan kualiti serta kemewahan.

Aerin mendekati salah faham ini dengan sabar, bermula daripada asas iaitu menjelaskan biologi kulit. Katanya, apabila seseorang memahami kitaran penuaan kulit yang sering didorong oleh radang dan tekanan oksidatif, barulah mereka mula menghargai formulasi yang lebih bersih. Dalam banyak hal, penjagaan kulit tanpa wangian kini menjadi pilihan generasi masa kini.

Dia juga menyentuh peranan yang sering dipandang ringan oleh wanita moden iaitu hubungan antara tekanan, tidur dan kesihatan kulit. Bagi Aerin, kulit bukan organ yang berdiri sendiri. Ia adalah cerminan kepada apa yang berlaku di dalam badan. Kortisol yang meningkat akibat tekanan kronik boleh mencetuskan jerawat, memperburuk pigmentasi dan melemahkan lapisan pelindung kulit. Tidur yang terganggu pula mengganggu proses pembaikan sel, penghasilan kolagen dan pemulihan lapisan pelindung kulit yang berlaku pada waktu malam.

Bagi Aerin, meletakkan Borneo di peta kecantikan global bukan sekadar strategi perniagaan. Ia adalah tanggungjawab yang dipikul dengan penuh hormat dan kesedaran. Borneo merupakan antara ekosistem paling kaya biodiversitinya di dunia. Tumbuhan dan kehidupan marinnya telah mengembangkan cara luar biasa untuk bertahan dalam persekitaran yang mencabar. Ketahanan itulah yang mengilhamkan sains di sebalik OLUMES.

Antara bahan yang paling dekat di hatinya untuk diperkenalkan kepada dunia ialah latok latok, rumpai laut yang turut dikenali sebagai sea grapes atau green caviar. Ia kaya dengan mineral, asid amino, antioksidan dan polisakarida yang diketahui menyokong hidrasi kulit serta perlindungan terhadap tekanan oksidatif. Keistimewaannya, ia bukan sahaja bahan kecantikan malah turut menjadi sebahagian daripada makanan harian masyarakat tempatan di Sabah yang menikmatinya segar dalam hidangan salad.

Dalam hal pembekal dan bahan mentah, Aerin tidak sekali kali berkompromi. OLUMES bekerjasama rapat dengan petani tempatan dan pengusaha berskala kecil di Borneo, bukan sahaja demi memastikan kualiti tetapi juga agar komuniti yang selama ini menjaga alam turut menikmati manfaatnya. Pembungkusan pula menggunakan pensijilan FSC sebagai sebahagian daripada komitmen kelestarian mereka.

Membina OLUMES mengajar Aerin tentang kesabaran, ketahanan dan keberanian dalam menghasilkan sesuatu yang di luar jangkaan. Benar, beliau pernah melalui saat formula yang dibangunkan tidak menjadi, berdepan pembekal yang mengecewakan serta pelbagai cabaran yang mengganggu proses pengeluaran. Namun setiap halangan itu akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan yang meletakkan OLUMES di mata dunia, bukan sekadar di tanah air.

Menghidupkan Semula Kebijaksanaan Tradisi Untuk Kesihatan Wanita

Jika di negara seberang, dunia penjagaan kesihatan wanita diperdebatkan secara terang terangan. Perbualan tentang kitaran haid yang tidak menentu, rambut yang gugur tanpa sebab yang jelas atau keletihan yang menggigit jiwa dan raga walaupun selepas tidur yang panjang. Namun bagi ramai wanita Asia, ia masih dianggap topik yang terlalu peribadi untuk dibincangkan secara terbuka. Mili dan Maya Kale melihatnya secara berbeza. Bagi mereka, ia adalah perbualan yang perlu dimulakan.

MOOM Health ditubuhkan bukan daripada keinginan membina empayar perniagaan yang gah, tetapi daripada kekecewaan yang sangat peribadi. Ada satu persoalan yang hampir membekukan langkah Mili dan Maya sebelum MOOM sempat bertunas. Adakah wanita Asia bersedia untuk berfikiran terbuka tentang hormon?

Topik seperti haid, kesuburan dan hormon masih dianggap terlalu peribadi malah memalukan untuk dibincangkan secara terbuka, khususnya di rantau Asia. Namun apabila mereka mula berkongsi dan mendengar kisah wanita lain, mereka menyedari satu hakikat penting. Ramai sebenarnya berdepan masalah yang sama.

Apabila Tradisi Menjadi Panduan Moden

MOOM Health memilih untuk mengisi jurang tersebut melalui pendekatan yang menggabungkan dua dunia. Kebijaksanaan Ayurveda yang diwarisi turun temurun dan relevansi klinikal yang dituntut oleh sains moden serta pengguna yang semakin celik.

Bahan seperti Amla, Bhringraj dan Curcumin bukan asing bagi kedua dua pengasas ini. Ia adalah bahan yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga mereka. MOOM mengangkat bahan bahan tradisional ini dengan penuh hormat, kemudian memformulasikannya semula melalui penyelidikan saintifik yang teliti agar lebih mudah diakses oleh wanita moden.

Mili dan Maya turut menyentuh sesuatu yang lebih besar daripada sekadar formula. Mereka melihat perubahan dalam cara wanita moden menerima gabungan perubatan tradisional dan moden sebagai sebahagian daripada perjalanan memahami tubuh sendiri.

Bagi mereka yang baru memulakan perjalanan kesihatan dan berasa lemas dengan pelbagai pilihan di pasaran, MOOM menawarkan titik permulaan yang tidak terlalu ekstrem. Semuanya bermula dengan memahami kitaran haid.

Banyak isu yang kelihatan berbeza seperti jerawat yang berulang, keguguran rambut atau keletihan yang berpanjangan sebenarnya boleh berpunca daripada ketidakseimbangan hormon yang sama. Menurut Mili dan Maya, satu amalan yang mereka ingin setiap wanita cuba sekurang kurangnya sekali dalam hidup ialah cycle syncing, iaitu menyelaraskan gaya hidup, pemakanan dan tahap tenaga mengikut fasa kitaran haid.

Ia merupakan salah satu cara paling berkesan untuk menyambung semula hubungan dengan tubuh sendiri yang selama ini mungkin diabaikan atau disalah erti.

Bagi Mili dan Maya, kejayaan terbesar MOOM bukan diukur melalui angka jualan semata mata. Sebaliknya, ia terletak pada kemampuan mereka membina pasukan, komuniti dan ekosistem wanita yang saling menyokong antara satu sama lain.

“Persaudaraan dalam perniagaan bermakna kerjasama mengatasi persaingan. Ia tentang berkongsi ilmu, hadir untuk satu sama lain dan membina sesuatu yang lebih besar daripada jenama kita secara individu. Ada kekuatan dan keberanian luar biasa yang hanya boleh lahir apabila wanita saling menyokong,” kata mereka.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by @moomhealth

Di MOOM, segalanya berteraskan rutin yang jujur dan tidak dibuat buat. Kehidupan harian mereka sederhana. Pagi dimulakan dengan hidrasi, suplemen, sedikit pergerakan untuk membangunkan tubuh serta beberapa minit ketenangan sebelum memulakan hari. Malam pula diperuntukkan untuk berehat, mengurangkan masa di hadapan skrin dan meluangkan masa bersama keluarga.

Satu amalan yang mereka tidak akan korbankan walau sesibuk mana sekalipun ialah tidur. Bagi mereka, badan dan minda memerlukan ruang untuk berehat dan memulihkan diri.

Jika MOOM boleh mengubah satu kepercayaan yang dipegang oleh wanita hari ini, ia adalah pemahaman bahawa kesihatan bukan tentang memperbaiki apa yang rosak semata mata. Sebaliknya, ia tentang memahami tubuh sendiri, menghormati ritmanya dan belajar untuk bekerjasama dengannya, bukan melawan kitarannya.

Artikel berkaitan: Di Sebalik Label Diversiti – Nazurah Husna, Haneesya Hanee & Nalisa Alia Amin