Nora Danish: Blessed & Contented

Nora Danish: Blessed & Contented

Nora Danish kini meniti bahagia menikmati episod terindah dalam hidupnya.

 

Ini bukan kali pertama Nora Danish menjadi penghias wajah GLAM, tetapi kali ini dia hadir dengan seri seorang isteri dan ibu. Lewat senyuman yang terukir saya tahu Nora Danish, 36, kini amat bahagia dengan kehidupannya sekarang. Seperti yang saya kenalinya, sifatnya yang merendah diri masih tidak pudar. Biar jarang bertemu, tetapi apabila berbual dengannya, bicaranya begitu mesra. Tidak ada rasa kekok sama sekali dan kami rancak berkongsi mengenai apa saja.

 

EPISOD HIDUP TERINDAH Nora asyik bercerita mengenai bayi yang baru dilahirkannya yakni Mohamed Neqayl Nedim atau gelaran manjanya NeyNey. Meski pernah melahirkan anak sebelum ini, tetapi kali ini pengalamannya berbeza kerana sepanjang proses melahirkan, suaminya, Nedim Nazri sentiasa di sisi, memberi sokongan emosi dan membelainya dengan penuh kasih sayang. Nora akui dia tidak suka berjauhan dengan suami sewaktu hamil tetapi dia mahu buktikan yang dia adalah wanita yang berdikari kerana salama ini dia boleh mengharunginya seorang diri. “Alhamdulillah sewaktu mengandungkan NeyNey saya tidak mengidam apa apapun, cuma saya berat hati apabila berjauhan dengan suami. Kadang-kadang saya usik suami, Yang do you really need to go to work. Ini membuatkan Ned serba salah.” Hahaha!

 

Kata Nora lagi, dia bersyukur kehamilannya kali ini berjalan lancar cuma sewaktu kandungannya masuk lapan bulan dia mengalami pendarahan yang agak teruk di rumah. “Waktu itu saya cemas sangat. Ned juga risau melihat darah saya mengalir banyak. Saya beritahu Ned, “Yang, masa I hamilkan Qal tak ada pendarahan banyak macam ni,” Ned terus suruh saya tukar baju dan pergi hospital. Walaupun dah ganti baju sekejap sahaja baju lencun semula dan darah saya terus mengalir. Kami bergegas ke hospital. Ketika itu saya amat takut andainya terjadi apa apa pada kandungan saya, Alhamdulillah, semuanya selamat.” Doktor mengesahkan dia mempunyai fibroid yang agak berbahaya dan menasihatinya supaya melahirkan NeyNey secara pembedahan.

See also
Sembang Raya Bersama Fara Alia

 

Cerita Nora sewaktu pertama kali melihat wajah NeyNey dia dan suami berasa sebak dan tidak dapat menahan air mata sebaik melihat anaknya ada di depan mata mereka. Dan mengimbas kembali persiapan dia dan suami untuk menyambut anak mereka, Nora memberitahu mereka membeli dua kereta sorong, menyediakan kamar khas untuk NeyNey, sediakan walk-in-closet untuk menempatkan baju dan sepatu-sepatu NeyNey. Nora juga bersyukur dan berterima kasih kerana peminat-peminatnya banyak menghadiahkan barang-barang kelengkapan bayi. Nora turut mengaku dia dan Nedim berasa agak kekok untuk menguruskan NeyNey. Walaupun masing-masing berpengalaman menguruskan bayi menerusi perkahwinan terdahulu namun perasaan berdebar dan kekok tetap muncul kerana perlu mengambil masa untuk membiasakan diri. “Bayangkan anak lelaki saya Rayqal pun sekarang sudahpun berusia sembilan tahun manakala Dre pun sudah enam tahun. Kami selalu bertelagah apabila menjaga NeyNey. Saya akan cepat cemas tidak menentu. “Yang jangan cium baby, you baru lepas makan, mulut you kotor,” Dan Ned pula akan beritahu saya untuk bertenang. Kadang-kadang apabila NeyNey menangis tak berhenti kami berdua gelisah takut ada terjadi apa apa. Ada masa kami rasa geli hati apabila mengenangkan fiil kami dalam membesarkan anak”

 

Sambung Nora, Nedim sangat obses dengan bayi baru mereka. Yang seronoknya dia tidak ada masalah langsung untuk membuat susu atau menukar lampin NeyNey. Nora amat bersyukur dan berterima kasih kerana Ned banyak membantunya menjaga NeyNey. “Suami saya sekarang sudah jarang ke tempat kerja, kerana dia tidak mahu terlepas melihat pertumbuhan NeyNey kerana pada peringkat awal ini, bayi cepat membesar.” Menurut Nora lagi kedua-dua anaknya Putra Rayqal Ramli, 9, dan anak tirinya Mohamed Nedrin Nedim, 6, amat teruja dengan kehadiran adik baru mereka. “Qal dan Dre sangat teruja bila mereka dapat tahu saya mengandung. Mereka selalu pegang perut dan bacakan doa pada perut saya agar adik mereka selamat lahir. Qal bahasakan diri dia Abang Qal. Geli hati pulak saya dengar dia baby talk dengan NeyNey, the side of him that I never knew before. Dre pula akan Facetime untuk tengok NeyNey jika kami tidak bersama dan dia akan cakap, “NeyNey looks like me,” begitulah selalunya. Saya bahagia kerana rumah kami lebih ceria hari ini.”

See also
UMMI NAZEERA

 

GELANGGANG SENI DAN ARENA KEUSAHAWANAN Pelakon yang cukup terkenal dengan sitkom Puteri ini memberitahu sekarang ini dia terpaksa memilih skrip lakonan kerana di bahunya tergalas tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan masa sama dia turut mengendalikan perniagaannya. Setiap satunya menuntut waktu dan tenaga darinya. Pun begitu dunia lakonan masih menjadi kecintaannya dan dia tetap menyenangi watak yang berteraskan kisah cinta yang mampu meruntun jiwa penonton.

 

Dalam soal perniagaan umum tahu dia memiliki perniagaan fesyen label Owl By Nora Danish yakni bisnes yang dijalankan bersama keluarga. Dia juga memiliki Kafé Kopi & Xoxo di Taman Tun Dr. Ismail dan wanita bertuah ini turut melancarkan produk solekannya ‘Oh Most Wanted’ sewaktu hamilkan NeyNey. Selepas melahirkan NeyNey dia melancarkan pula perniagaan terbarunya iaitu Karva Salon for Ladies by Nora Danish.

 

Kata Nora menjadi impiannya sejak muda lagi mahukan salun sendiri, akhirnya impiannya menjadi kenyataan. Salun ini dibuka istimewa untuk peminat-peminatnya yang berhijab. Mereka boleh membuat rawatan rambut tanpa risaukan aurat yang terbuka. Salun Karva juga menyediakan pelbagai rawatan dan paling penting semua produknya dibuat daripada bahan organik dan halal.

 

Nora mengharapkan perniagaan barunya ini mendapat sambutan hangat seperti mana perniagaan-perniagaannya sebelum ini. Ujarnya perniagaan yang baru ini agak mencabar kerana sukar mendapatkan jurudandan. Pun begitu Nora terus positif dengan bisnes salunnya ini.

 

Bercerita soal fesyen dan kembara, Nora berterima kasih kepada abang iparnya, Ferhat Nazri. Kata Nora, setiap kali mereka mahu mengembara ke luar negara, mereka akan bertanya pendapat abang iparnya terlebih dahulu. “Abang Hat sangat pakar dalam mencari tempat-tempat percutiaan yang menarik. Jadi sebelum bercuti dan memburu makanan sedap saya dan Ned akan mendapat rekomendasi Abang Hat.”

See also
Anggun Dengan Sifat Keibuan, Ini 10 Fakta Menarik Tentang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

 

Nora turut menyingkap rahsia bagaimana dia menjaga hubungan baik bersama suami yang sering dilihat mesra di media sosial, Kata Nora perkahwinan perlukan kesabaran dan toleransi yang tinggi. Kesetiaan adalah kunci kebahagiaan. Katanya biarpun dia dan Ned sudah bercinta selama empat tahun, selepas berkahwin mereka sebenarnya masih belum berapa mengenali satu sama lain. “Kami masih lagi belajar menyesuaikan diri sebagai suami isteri. Ya, ia adalah proses pembelajaran yang tidak akan pernah berakhir,” jelas Nora yang mengakui diri agak tegas dengan anak-anak tetapi manja apabila bersama suami.

 

Nora juga tidak menyangkal kehebatan suaminya di dapur. Dia menyatakan selepas kejayaan suaminya menguruskan restoran N97, Ned bakal membuka restoran selera Jepun pula selepas ini. Nora juga akui, suaminya boleh memasak hampir semua jenis masakan. “Suami saya kalau masak semua sedap. Bukan nak puji, tetapi itulah hakikatnya. Apa jua masakan tidak kira menu India, Cina, Jepun, Barat, semua dia handal. Dan saya ini pula berselera kampung jadi masak lemak ketam cili api air tangan suami saya adalah yang tersedap di dunia bagi saya!”

 

Ditanya apa yang ada pada Ned, yang orang lain tidak tahu Nora memberitahu Nedim berjiwa sensitif dan penyayang, “Jika ada post di media sosial mengenai orang yang ditimpa kesusahan, dia akan mencuba sedaya upaya untuk membantu. Ned juga sangat prihatin dengan keluarganya.”

Nora bersyukur kepada Allah SWT kerana kehidupannya hari ini sempurna. Setiap nikmat Allah kepadanya amat bermakna dan dia tidak akan mensia-siakan kebahagiaan yang dipinjamkan kepadanya ini.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu Jun 2018