Covid-19: Ikon Fesyen Donatella Versace Sumbang 200,000 Euro - Glam Malaysia

Covid-19: Ikon Fesyen Donatella Versace Sumbang 200,000 Euro

Susulan wabak Covid-19, Itali menjadi negara seterusnya yang mencatat kes kematian yang tinggi, merekodkan 250 kematian dalam 24 jam, menjadikan ia negara kedua tertinggi dari segi kematian harian selepas China. Kerajaan Itali minggu ini melaksanakan langkah drastik menutup bar, restoran dan kebanyakan kedai, selain menyekat perjalanan yang tidak penting dalam usaha menangani penularan wabak, di mana Wilayah Lombardy yang paling teruk terjejas juga menyaksikan penutupan sepenuhnya kilang dan pejabat.

Oleh itu, ikon fesyen Donatella Versace, CEO kepada jenama fesyen terkemuka Versace bersama anaknya, Allegra Versace telah menyumbangkan sebanyak 200,000 Euro buat jabatan rawatan intensif hospital San Raffaele di Milan, Itali. Perkara ini diumumkan oleh beliau sendiri menerusi hantaran di akaun Instagramnya baru-baru ini.

Donatella, dan anak perempuannya, Allegra Versace. (Foto; Getty Images)

Jelasnya, “Kami bersimpati dengan semua orang yang telah terjejas oleh penyakit ini. Dan buat semua doktor dan kakitangan perubatan yang telah berkhidmat bertungkus lumus dalam beberapa minggu yang lalu dalam usaha menjaga orang yang kita sayangi. Ini adalah masanya untuk kita, sebagai masyarakat, perlu berjuang bersama dan menjaga satu sama lain”.