Kediaman – Estetika Ruang Puteri Zarith
Penyelaras & Teks : Suhana Desa
Arahan Seni : KK Yong
Arahan Seni : Afiq Khairudin
Melangkah masuk ke ruang kediaman dari bukaan lif peribadi yang dikhaskan untuk setiap unit, penulis terpesona dengan panorama luar berlatarkan seni bina bangunan ikonik ibu kota - Menara berkembar Petronas dan Menara Kuala Lumpur. Bertentangan dengan lif peribadi, setiap unit direka bersekali dengan kolam renang berkedalaman 2500m³ yang memberi peluang kepada pemilik setiap unit bersantai dalam suasana yang berbeza. Dengan binaan dinding kaca berketinggian penuh, unit kondominium jenis duplex berkeluasan melebihi 3,500 kaki persegi dengan rekaan siling setinggi 21 kaki tampil gah dan memukau pandangan.

Sleek Moden
Ketika sesi penggambaran ini dilakukan, cuaca terang melimpah masuk ke segenap sudut kediaman memberikan dimensi ruang terasa luas dan lapang. Ruang masuk kediaman ditata indah dengan menampilkan sebuah chesterfield tiga tempat duduk, dipadankan bersama set kerusi dari rona sedondon. Sebuah meja kopi berpermukaan kaca reka bentuk bulat menempati ruang tengah, juga sebuah otoman buat melengkapi penataan gaya keseluruhan ruang utama ini.
Menjengah ke ruang dapur kediaman, konsep sleek dan moden menjadi teras utama penataan. Ruang ini berkongsi pelan lantai yang sama dengan ruang makan keluarga. Ruang dapur terbahagi kepada dua bahagian, dapur kering dan dapur basah dalam biasan rona putih, diperindah hiasan berkemasan hitam seperti bingkai gambar dan pilihan bangku kulit rona gelap di ruang makan. Dipojok sisi turut direka ruang penstoran untuk menempatkan kelengkapan selain memastikan ruang kekal kemas dan tersusun.
Aksesori minimal
Kekal berpaksikan gaya moden dalam terjemahan sleek dan praktikal, ruang terasa bernafas bebas tanpa kehadiran aksesori yang keterlaluan. Cukup hanya pilihan bunga segar dan tumbuhan hijau menciptakan mood ruang lebih segar dan mempesona. Peletakan rak buku bertentangan dengan pintu masuk utama menjadi titik fokal yang praktikal seiring fungsinya buat menempati bahan bacaan dan aksesori bersaiz kecil.
Sebelum pulang, saya duduk seketika di sisi kolam renang. Saya dapat merasakan betapa bertuahnya dapat memiliki kediaman ini yang bukan sahaja daripada aspek lokasi yang strategik, malahan pemaju sangat mementingkan elemen privasi dan keselamatan setiap pemiliknya. Lebih istimewa reka bentuk kediaman yang menepati gaya hidup urban diperhebat dengan pemandangan indah ibu kota yang menjadi dambaan semua.
Slide untuk lihat gambar.
Pilihan Bacaan Seterusnya
Keanggunan Eksotik ‘Toucan Paradise Bird’ Oleh Tiffany & Co.
Jun 10, 2026
Apa Wangian Signature Selebriti Kegemaran Anda?
Jun 09, 2026
Gaya Slay Dan Selesa Dengan Chunky Loafers & Mary Janes
Jun 09, 2026
Tampilan Busana Ariana Grande Di Jelajah Konsert Eternal Sunshine
Jun 09, 2026
Dialog Cantik: Berbakti Bersama Alam – OLUMES & MOOM Health
Jun 08, 2026
Dialog Cantik: Nazurah Husna, Haneesya Hanee & Nalisa Alia Amin
Jun 08, 2026
Ekspresi Kreatif Pangrok Sulap Bersama Rip Curl Malaysia
Jun 08, 2026

