Tiga Pusat Percutian Detoks Terbaik Di Rantau Asia

Tiga Pusat Percutian Detoks Terbaik Di Rantau Asia

Oleh: Yusairi Fitri
 
Sepanjang tahun bergelumang dengan pelbagai tekanan kehidupan kota, setahun sekali anda juga perlu ‘melarikan diri’ buat seketika untuk getaway yang membersihkan tubuh dan menyucikan jiwa. Detoks fizikal dan minda menerusi percutian terapi yang bersifat holistik. GLAM mengintai antara tiga pusat percutian detoks terbaik rantau ini.
 
ChivaSom2
 
Chiva-Som
Benar apa yang diungkapkan oleh Ludwig Andreas Feuerbach, ahli falsafah Jerman di awal abad ke-18, “You are what you eat.” Jika menginginkan tubuh dan kehidupan yang sihat, jagalah makanan yang masuk ke tubuh anda. Seandainya anda seorang yang mementingkan pendekatan holistik dalam gastronomi, Chiva-Som pasti menjadi jawapannya. Terletak kira-kira 185 kilometer di Bandar Diraja Hua Hin, Selatan Bangkok Teluk Thailand, bayangkan hari anda bermula dengan penuh ketenangan, bertemankan deruan ombak yang lemah gemalai menyapa bibir pantai yang memutih lantas dijamu bersama menu sihat yang sungguh menyenangkan.
 
Pendekatan Chiva-Som mudah tetapi mewah, menjulang kuisin yang sihat dan sekata dengan rasa. Kuisin spa nyata mewah ramuan dalam rasa yang sederhana. Lebih menarik menu yang disediakan ini juga istimewa kerana bersifat terapi. Tidak seperti destinasi lain yang hanya menang rasa namun tidak menyihatkan. Selain terkenal dengan pengalaman gastronomi mewah, Chiva-Som turut menyediakan lebih daripada 150 pakej program menarik yang terdiri daripada fisioterapi, kecergasan, spa dan kesihatan holistik yang saling berkait di antara satu sama lain. Rencanakan sahaja percutian anda, segala-galanya tersedia di sini. Chiva-Som menantikan kunjungan anda.
 
The Chateau Spa & Resort
 
The Chateau Spa & Resort
The Chateau di Bukit Tinggi punya segala buat anda yang mendambakan sensasi kemewahan spa organik yang diinspirasikan daripada gaya hidup Eropah. Destinasi yang terasing daripada kesibukan kota ini dibangun di antara banjaran Titiwangsa. Perkhidmatan terapi dan program kecantikan di sini pasti memenuhi keperluan individu. Bermula dari membelai diri, kecantikan, melegakan tekanan, pembersihan tubuh, kecergasan, pengurangan berat badan, program sebelum dan selepas bersalin dan ada program khas untuk lelaki. Walau bagaimana pun, kanak-kanak tidak dibenarkan berkunjung ke resort sebagai satu polisi asas dalam mengekalkan ketenangan.
 
Perkhidmatan perundingan nutrisi profesional akan memberikan pelan realistik mengikut tahap kesihatan anda. Lebih istimewa, The Chateau Spa & Resort juga adalah yang pertama di Asia yang menawarkan kemudahan termal Eropah seperti bilik sauna berherba, salt grotto atau bilik lumpur dan katil panas Soap Brush/Aquaved dengan kemudahan skrub badan secara automatik. Jika anda berasa terlalu stres dan memerlukan getaway yang dekat, The Chateau is just a drive away. Boleh anda pergi berseorangan atau pun bersama teman-teman rapat. Check-in Jumaat dan pulang Ahad. Masuk kerja Isnin, anda akan lebih segar dan bersemangat.
 
Javana Spa
 
Javana Spa
Jika anda gemar kawasan pergunungan yang sejuk, kaya flora dan fauna, Javana Spa punya segala-galanya. Dibangunkan sejak 22 tahun lalu di kawasan Cidahu, Sukabumi, inilah tempat di mana the rich and famous pergi untuk menyendiri. Javana Spa didirikan di kawasan Taman Nasional Gunung Halimun Salak amat menyenangkan. Disambut nyanyian burung dan udara dingin segar, anda pasti terpukau dengan seni bina bangunan yang diinspirasikan daripada budaya Jepun kala tiba di lobi utamanya. Kawasan rekreasi seluas 123 hektar ini memiliki 30 banglo yang siap dijadikan tempat terapi yang sungguh mewah sekali. Javana Spa tidak hanya menawarkan percutian berkonsepkan alam semula jadi semata-mata, tetapi, anda boleh menikmati sensasi yang berbeza melalui penyatuan minda, tubuh dan alam untuk menzahirkan ketenangan.
 
Usai bangun pagi menghirup udara pergunungan yang sejuk, mata terpaku dengan keindahan air terjun semula jadi serta menikmati rawatan spa tradisional Indonesia. Sungguh mengasyikkan. Dari urutan tradisional, terapi aromaterapi dan ritual kecergasan seperti yoga ada disediakan. Selain itu anda boleh ke gimnasium, mengikuti kelas aerobik atau kelas tari tradisional. Malam menjelma, anda akan dijamu sambil alunan gamelan dijadikan halwa telinga. Lebih penting, anda tidak akan diganggu dengan dering telefon atau bunyi radio atau televisyen bahkan internet juga tiada. Rasakan damainya di Javana Spa yang sunyi laksana berada di istana dewa-dewi.
 
 

See also
We Can't Travel Now, But We Can Dream of Future 'Ultra Luxe' Vacations