"Tiger Stripes" , Filem Malaysia Pertama Terpilih Sertai Cannes 2023 - Glam Malaysia

“Tiger Stripes” , Filem Malaysia Pertama Terpilih Sertai Cannes 2023

Tiger Stripes adalah filem pertama yang terpilih mewakili Malaysia di Cannes semenjak tahun 2010. Filem arahan Amanda Nell Eu, pembikin filem wanita pertama membawa nama Malaysia ke pentas Cannes! Kami bangga!

Filem cereka sulung oleh Ghost Grrrl Pictures yang diberi judul TIGER STRIPES ini telah dipilih secara rasmi untuk Minggu Pengkritik Cannes (Cannes Critics’ Week) yang merupakan salah satu acara berprestij yang di angkat di Festival Filem Cannes 2023. Untuk pengetahuan anda juga di mana Minggu Pengkritik Cannes edisi ke-62 ini memilih untuk memberikan tumpuan serta mengetengahkan khususnya kepada filem cereka pertama (atau kedua) daripada pengarah-pengarah baru.

Dengan berita gembira ini memberikan lagi semangat baru buat Malaysia serta penyertaan rasmi Tiger Stripes ke Cannes adalah satu satu pemangkin dan pencapaian penting untuk pembangunan industri filem tempatan. Di Cannes, begitu banyak pengarah tersohor telah membina namanya di persada antarabangsa. Antaranya seperti Alejandro González Iñárritu, Guillermo Del Toro, Wong Kar Wai dan ramai lagi.

See also
Filem Tempatan, Tiger Stripes Lakar Sejarah Di Cannes 2023

Tentang Tiger Stripes

Ia merupakan sebuah filem seram berbahasa Melayu arahan Nell Eu dan terbitan Foo Fei Ling, mengisarkan tentang perjalanan seorang gadis berusia 12 tahun yang diberi nama Zaffan. Zaffan yang mengalami kesulitan menghadapi akil baligh dan kemudian bergelut dengan perubahan fizikal diri yang mengerikan. Apabila semakin diprovokasi oleh rakan-rakan dan keluarga terhadap perubahannya, Zaffan mula berubah. Filem ini mengetengahkan tiga bakat baharu iaitu Zafreen Zairizal, Deena Ezral dan Piqa. Selain itu, Shaheizy Sam, Jun Lojong dan Fatimah Abu Bakar antara barisan nama hebat yang turut membintangi filem ini.

Kenali Pengarahnya, Amanda Nell Eu…

Tiger Stripes

Amanda Nell Eu merupakan graduan lulusan London Film School dengan MA dalam Pembuatan Filem dan merupakan alumni Berlinale Talents dan Locarno Filmmakers Academy. Filem pendeknya yang berjudul “Lagi Senang Jaga Sekandang Lembu” pernah ditayangkan secara perdana di dalam pertandingan di Festival Filem Antarabangsa Venice. Filem ini terus mengembara dan memenangi anugerah dalam beberapa lagi festival antarabangsa yang lain, termasuklah Sebutan Khas di Festival Filem Pendek Antarabangsa Clermont-Ferrand. Filem pendek beliau yang seterusnya berjudul “Vinegar Baths” juga telah memenangi beberapa anugerah dalam festival,termasuk Pertandingan Gambar Terbaik di Scream Asia Horror Shorts. Manakala, “Tiger Stripes” ini merupakan filem cereka sulungnya.

See also
Di Sebalik Rumah Agam Mega Ben Affleck & Jennifer Lopez Bernilai RM288 Juta

 

Minggu Pengkritik Cannes ke-62 bakal berlangsung dari 17 sehingga 25 Mei 2023. Buat penonton di Malaysia, sama-sama kita nantikan tayangan filem ini di pawagam tempatan dalam masa yang terdekat. Sama-sama kita ucapkan tahniah buat filem Tiger Stripes.

 

Pautan Berkaitan: 10 Stail Terhangat Di Karpet Merah Festival Filem Venice 2022