Dengan pelbagai judul baharu yang menghiasi pawagam pada bulan Jun 2026, penonton disajikan dengan pilihan yang merangkumi pelbagai genre, daripada aksi mendebarkan dan fantasi epik sehinggalah animasi yang sarat dengan nostalgia.
Sama ada anda merancang sesi wayang hujung minggu bersama keluarga atau insan tersayang, bulan Jun 2026 menawarkan pengalaman menonton yang imersif bersama pelbagai filem terbaru. Lebih menarik, beberapa francais popular kembali dengan sekuel yang telah lama dinantikan, manakala karya baharu daripada pengarah dan studio ternama turut bersedia mencuri perhatian. Daripada dunia adiwira yang penuh aksi hingga kisah seram yang menguji keberanian, Jun 2026 menjanjikan pengalaman sinematik yang sukar untuk dilepaskan. Jadi, sediakan popcorn anda dan masukkan filem-filem ini ke dalam senarai tontonan bulan ini. GLAM kongsikan filem terbaru bulan Jun 2026 untuk anda!
Ini Filem Terbaharu Yang Tiba Bulan Jun 2026!
1. Kata Hati
Ketibaan filem romantik komedi baharu lakonan Nia Atasha, Yusof Hashim dan Fazziq Muqris berjudul Kata Hati ini mengangkat jalan cerita yang unik tentang perjalanan kisah cinta antara seorang selebriti popular dan pemandu e-hailing. Diterbitkan oleh Wayangworks Sdn. Bhd. dan Filmscape Sdn Bhd, naskah ini memaparkan kisah realiti yang berlaku dalam dunia sebenar kehidupan seorang selebriti terkemuka. Ia mengikuti perjalanan Ayra Natasha (Nia Atasha), seorang pelakon muda yang sedang menikmati kemuncak populariti selepas membintangi filem aksi berskala besar bersama Zayn Mikhail (Fazziq Muqris). Namun, kariernya mula tergugat apabila sebuah insiden memalukan yang berlaku ketika malam pencalonan sebuah anugerah berprestij menjadi tular, sekali gus menjejaskan reputasinya di mata umum. Di sebalik kemelut yang melanda, Ayra dipertemukan dengan Imran Firdaus (Yusof Hashim), seorang pemandu e-hailing yang tidak terpesona dengan kemasyhuran industri hiburan. Pertemuan mereka membuka lembaran baharu apabila Maya (Scha Alyahya), yang juga kakak serta pengurus Ayra, meyakinkan Imran untuk mengambil peranan sebagai pemandu peribadi pelakon tersebut. Bakal menemui penonton di pawagam bermula 4 Jun 2026, filem ini antara naskhah yang tidak wajar dilepaskan.
2. Backrooms
Fenomena internet yang pernah menguasai media sosial kini diangkat ke layar perak menerusi Backrooms. Filem seram sains fiksyen ini diadaptasi daripada konsep urban seram yang mula tular di internet pada 2019, menggambarkan sebuah ruang yang seolah-olah tidak berpenghujung, dipenuhi bilik-bilik kosong berlampu serta suasana sunyi yang mencetuskan rasa tidak selesa. Apa yang bermula sebagai sebuah gambar dan cerita seram di forum internet akhirnya berkembang menjadi fenomena global dengan jutaan tontonan di YouTube serta komuniti peminat yang besar di seluruh dunia. Filem ini diarahkan oleh Kane Parsons dan dibintangi oleh Chiwetel Ejiofor, Renate Reinsve, Mark Duplass. Berbeza daripada filem seram konvensional yang bergantung kepada elemen kejutan semata-mata, Backrooms dijangka menekankan rasa ketakutan secara psikologi menerusi suasana terasing, misteri yang sukar dirungkai serta perasaan terperangkap dalam dunia yang tidak mempunyai jalan keluar. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam pada 4 Jun 2026.
3. Khadam
Khadam hadir sebagai antara filem seram tempatan yang paling dinantikan tahun ini. Diarahkan oleh Shamyl Othman dan dibintangi Aghniny Haque, Remy Ishak serta Siti Khadijah Halim, filem ini mengangkat kepercayaan masyarakat Melayu mengenai saka atau khadam yang diwarisi secara turun-temurun. Namun, berbeza daripada kebanyakan filem seram lain, Khadam bukan hanya bergantung pada elemen kejutan dan kemunculan makhluk halus, sebaliknya turut menyajikan lapisan emosi yang mendalam mengenai keluarga dan kehilangan. Kisahnya berpusat pada Melor, seorang wanita yang terpaksa mewarisi khadam keluarganya selepas kematian ibunya. Keadaan menjadi semakin menggerunkan apabila entiti tersebut mula menjelma sebagai versi dirinya yang lebih sempurna dan perlahan-lahan mengambil alih kehidupannya sebagai isteri serta ibu. Dalam usaha mendapatkan semula kehidupannya, Melor perlu berdepan kuasa gelap yang mengancam dirinya dan orang tersayang. Filem ini bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 11 Jun 2026.
Sebuah karya baharu arahan Steven Spielberg yang menjadi bualan ramai sejak pengumumannya, Disclosure Day mengetengahkan tema berkaitan fenomena luar angkasa dan misteri yang sering menjadi kekuatan Spielberg sepanjang kariernya. Naskhah ini turut dibintangi barisan pelakon terkemuka termasuk Emily Blunt, Josh O’Connor, Colman Domingo, Colin Firth dan Eve Hewson. Nama Steven Spielberg sememangnya cukup sinonim dengan karya-karya ikonik sepert Jurassic Park dan Ready Player One. Dengan gabungan pelakon berprofil tinggi, Disclosure Day dijangka menawarkan pengalaman menonton yang menakjubkan dan penuh kejutan. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam pada 11 Jun 2026.
5. Supergirl
Peminat dunia adiwira DC pasti tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kemunculan semula Supergirl di layar perak. Dibintangi oleh Milly Alcock sebagai Kara Zor-El, filem arahan Craig Gillespie ni mengetengahkan sisi Kara yang lebih matang dan sarat dengan trauma akibat kehilangan dunia asalnya, Krypton. Turut dibarisi pelakon seperti Jason Momoa sebagai Lobo, Matthias Schoenaerts dan Eve Ridley, filem ini mengikuti pengembaraan rentas galaksi yang membawa Supergirl dalam misi membalas dendam dan menegakkan keadilan. Dengan gabungan elemen aksi, fantasi sains fiksyen serta emosi yang lebih mendalam, Supergirl dijangka menawarkan perspektif baharu terhadap salah satu heroin paling ikonik dalam dunia DC. Sebagai antara projek utama di bawah era baharu DC Studios yang diterajui James Gunn dan Peter Safran, filem ini bakal ditayangkan di pawagam pada 25 Jun 2026.
6. Toy Story 5
Selepas bertahun-tahun menjadi antara francais animasi ikonik dalam sejarah perfileman, Woody, Buzz Lightyear dan rakan-rakan kembali menghiburkan penonton menerusi Toy Story 5. Filem terbaharu daripada Pixar ini meneruskan legasi yang telah menawan hati penonton sejak kemunculan filem pertamanya pada tahun 1995. Kali ini, kisah yang dibawakan dijangka lebih relevan dengan dunia moden apabila mainan tradisional berdepan cabaran baharu daripada teknologi dan peranti digital yang semakin mendominasi kehidupan kanak-kanak masa kini. Lebih menarik, Taylor Swift turut dijangka untuk melancarkan lagu OST buat filem ini. Dengan gabungan elemen humor, pengembaraan dan emosi yang menjadi identiti francais ini, Toy Story 5 dijangka menawarkan pengalaman yang menghiburkan buat generasi baharu sambil membangkitkan nostalgia dalam kalangan peminat yang membesar bersama siri filem tersebut. Peminat boleh menyaksikan filem ini di pawagam mulai 25 Jun 2026.