GLAM Profil: May Tan - Glam Malaysia
GLAM Profil, May Tan 01

GLAM Profil: May Tan

Tiada apa yang mampu menggalang May Tan punya impian beragaman.

AIMING HIGH

Enggan lagi pandang belakang dan berlengah-lengah, May terus melabuhkan azam yakni menjadi pendahulu fesyen tanah air.

pengarang rencana & penata gaya ZUHAIRIE SAHROM penulis ARDI IDEWANI arahan seni AMIRUL ARIFIN gambar EDMUND LEE/ONE3FOUR STUDIO solekan & dandanan CHOMEL

“Fesyen adalah hal yang signifikan dalam kehidupan saya,” jelas May Tan dalam halus tuturnya, seorang pengasas dan pemilik jenama fesyen lokal Maarimaia. May, seorang graduan bisnes fesyen dari Istituto Marangoni, tahu pilihannya untuk menukar haluan itu adalah keputusan yang sebetulnya – daripada lapangan perubatan ke korporat dan akhirnya ke lapangan fesyen. Di dadanya umpama sudah memekat azam untuk menjadi insan kreatif. May girang mengembara ke dunia fesyen, kerana sudah lama dia membajakan minatnya pada sesuatu yang artistik sedari kecil lagi. “Ibu bapa saya tegas orangnya. Apabila saya melisankan niat saya untuk bertukar bidang, mereka pesan untuk saya menceburi bidang bisnes yang punya kaitan dengan fesyen.”

GLAM Profil, May Tan 02

Tampil dalam himpunan terkini Maarimaia, may mencari ilham menerusi permainan fabrik dalam setiap proses rekaanya.

Dua tahun permulaan jenama Maarimaia bukanlah seratus-peratus indah. May bersemuka juga dengan kesulitan sewaktu memulakan Maarimaia. “Maarimaia asalnya adalah jenama e-dagang, kan. Mula-mula dulu, saya seakan-akan tidak bersedia. Tambahan pula, saya menyelami lagi bidang bisnes yang berasaskan e-dagang dan bukan mudah untuk mengutip ilmu bisnes digital,” kata May. Namun dia tidak mahu kesulitan itu bersemi menjadi satu harapan yang tersadai. Dia kemudiannya memasarkan juga jenamanya di sebuah platform yang dipanggil The Studio di The Gardens Mall. “Di situlah saya bersahabat dengan rakan-rakan seperjuangan yang lain. Seperti Cassie Gan dan Bremen Wong. Dan Bremen-lah orang yang menggalakkan saya untuk menyertai KL Fashion Week.”

MAARIMAIA KHUSUS UNTUK WANITA YANG MEMPUNYAI SAHSIAH BAK SEORANG PEMIMPIN. WANITA YANG MEMILIKI KEYAKINAN DALAM JIWANYA DAN YANG TAHU APA DIA MAHU. SHE HAS A MIND OF HER OWN — MAY TAN

Jadi, empat tahun yang lalu dirasakan masa yang cocok untuk May memperkenalkan Maarimaia. Di atas gelanggang fesyen lokal yang lebih besar. Yakni Kuala Lumpur Fashion Week. “Bila saya melancarkan Maarimaia Prive, ia memperhebat lagi jenama saya. Dengan Maarimaia Prive, saya bisa membuat apa-apa sahaja yang menafaskan nilai artistik. More to what I want. Sesuatu yang dekat di hati saya,” jelas May. Apalagi May adalah seorang insan kreatif yang suka mencari ilham menerusi permainan fabrik dalam setiap proses rekaannya. Ia serasa membenarkan dia untuk mengerjakan sesuatu yang bersifat artistik atau ekspresif.

See also
Simbolik Nama Ana Nayla, Puteri Sulung Ayda Jebat & Nabil Mahir

GLAM Profil, May Tan 03

Lalu, rangkaian prive tersebut mengembangkan lagi layar jenama Maarimaia. Sampai melumpukkan klien-klien baharu. Pada masa yang sama, May juga tidaklah membiarkan estetika asli Maarimaia berkelana entah ke mana terdamparnya sebaik sahaja rangkaian prive dilancarkan. May melanjutkan katanya lagi, “Ada juga yang jujur berkata kepada saya bahawa mereka tidak mahu Maarimaia yang ‘dahulu’ hilang. Ada yang berasa rangkaian prive umpama mengubah hala tuju Maarimaia. Tetapi usah risau. Saya seperti hanya mahu ‘bercanda’ dengan rangkaian prive. Saya hanya mahu merenjiskan rintik seni pada jiwa Maarimaia. Saya malah sudah ada klien-klien baharu yang sukakan rangkaian prive. It is what it is. Maarimaia has to evolve.”

Baca lanjut dalam GLAM Mac 2022