Gaya Hidup Hijau Amalan Kerabat Diraja Britain - Glam Malaysia
Gaya Hidup Hijau Amalan Kerabat Diraja Britain

Gaya Hidup Hijau Amalan Kerabat Diraja Britain

Perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar telah menjadi misi filantrofi utama kerabat Diraja Britain sejak berdekad lalu yang diturunkan dari generasi ke generasi. Kini dengan ancaman lebih besar dan berbahaya, misi memulihara dan melindungi Bumi menjadi kepentingan baru bagi Putera William, Kate Middleton, Putera Harry dan Meghan Markle.

“Generasi muda Diraja memberi lebih tumpuan kepada perubahan iklim kerana kita telah mencapai titik kritikal,” jelas Victoria Arbiter. Dia merupakan pengulas Diraja dan pengarang Queen Elizabeth II: Pocket Giants. Cuaca ekstrem telah mendorong rakyat dan kerajaan di seluruh dunia untuk melaksanakan perubahan jangka panjang.

Dengan memberi keutamaan kepada pemulihan alam, Putera William dan Harry mengikut jejak langkah bapa serta datuk mereka, Raja Charles III dan mendiang Putera Philip. Raja Charles mendahului zamannya dengan menangani kesan buruk penggunaan plastik serta pencemaran kimia dan udara lebih 50 tahun lalu.

Kerabat Diraja Britain

Foto: PA Images/Alamy

Sewaktu membesar, Putera William dan Harry menyedari keperluan melindungi alam sekitar kerana melihat dengan mata sendiri usaha yang dilakukan bapa dan datuk mereka. Raja Charles mengambil langkah serius dengan mengajak kedua-dua puteranya mengutip sampah ketika cuti persekolahan. Ini mempengaruhi mereka untuk menggunakan platform sendiri bagi memperjuangkan kepentingan alam sekitar kini.

See also
Idam Majlis Bebas Covid, Gwen Stefani Dan Blake Shelton Tunda Perkahwinan

Amalan Mesra Alam Yang Dilakukan Pasangan Diraja

Selain bercakap secara terbuka tentang usaha pemuliharaan, Putera William dan isteri, Kate Middleton melaksanakan amalan mesra alam dalam kehidupan seharian. Pasangan Wales dilaporkan memasang titik pengecasan kereta elektrik di Istana Kensington. Mereka juga berdedikasi untuk menjadikan kereta elektrik sebagai simbol semangat mereka bagi melawan perubahan iklim.

Dua tahun lalu pasangan itu tiba di majlis anugerah The Earthshot Prize pertama di London menaiki kereta Audi elektrik sepenuhnya yang beroperasi tanpa mengeluarkan sebarang karbon dioksida. Raja Charles membuat penampilan sama ketika tiba di majlis perasmian Sukan Komanwel tahun lalu dengan menaiki Aston Martin. Ia dilaporkan menggunakan bahan api E85 yang dicampur dengan wain putih Inggeris dan dadih daripada keju diproses.

Kerabat Diraja Britain

Foto: Page Six

Andrei Cherny, Ketua Pegawai Eksekutif Aspiration berkata, “Kerabat Diraja tidak mempunyai kuasa selain kuasa untuk mendidik, memberi inspirasi dan motivasi. Berbilion orang di seluruh dunia perlu mengubah cara mereka makan, mengembara, berbelanja dan menyimpan. Keluarga Diraja sebaliknya mempunyai kedudukan unik untuk memacu transformasi budaya itu.”

Putera William mengambil alih peranan ini dengan melancarkan The Earthshot Prize, anugerah tahunan buat lima pemenang yang komited untuk mencipta penyelesaian alam sekitar. Usaha ini mengukuhkan pendiriannya terhadap perubahan iklim dan menjadikan dedikasinya terhadap usaha itu lebih jelas di mata dunia.

alam

Foto: Getty Images

Putera Wales dan isteri juga sering dipuji kerana menggunakan fesyen untuk menegaskan pendirian mereka. Oktober lalu pada majlis anugerah Earthshot, Putera William dilihat menyarung jaket baldu rona hijau yang pernah dipakainya pada 2019 bersama celana berusia 20 tahun. Kate pula menggayakan gaun Alexander McQueen yang pernah disarungnya pada BAFTA 2011.

See also
Dress Dramatik Tyra Banks Mengundang Kritikan Di Media Sosial

Sementara itu Putera Harry dan Meghan Markle pula menumpukan usaha pada pelaburan mampan. Tahun lalu pasangan Sussex bekerjasama dengan Ethic, sebuah organisasi yang membantu pelabur memindahkan wang kepada syarikat yang melayan orang ramai dan planet dengan penuh rasa hormat.

Mereka bekerjasama dengan Ethic untuk menghasilkan kandungan dan acara yang membantu mendidik komuniti. Ini termasuk mengenai isu global yang penting antaranya perubahan iklim, kesaksamaan jantina, keadilan perkauman, hak asasi manusia dan sebagainya.

Foto: Getty Images

 

Foto: Getty Images

Baca: 10 Protokol Pelik Kerabat Britain Perlu Patuhi