Gal Gadot Dipertikai Main Watak Cleopatra - Glam Malaysia

Gal Gadot Dipertikai Main Watak Cleopatra

Tidak sesekali menyerah kalah – begitulah sikap Gal Gadot apabila dikecam kerana bakal memegang watak Cleopatra untuk filem biopik terbaru.

Bukan sahaja netizen, nama-nama besar dalam bidang media turut mempertikai pemilihan watak ini dengan mengatakan ia sepatutnya dimainkan oleh pelakon Arab atau Afrika. Hanna Flint, Editor The Guardian menggelarnya sebagai “langkah mundur dalam perwakilan Hollywood”, manakala pengarah Lexi Alexander pula berpendapat pelakon berkulit hitam yang harus dipilih berdasarkan struktur wajah Cleopatra.

Dalam satu wawancara bersama BBC Arabic, Gadot ditanya mengenai responnya terhadap kritikan ini. “Pertama sekali, jika mahu ikutkan fakta, Cleopatra adalah orang Macedonia,” jelas bintang Wonder Woman 1984 ini. “Kami mencari pelakon Macedonia yang sesuai untuk memegang watak ini. Tiada. Dan saya sangat teruja dengan Cleopatra.”

Tambahnya, “Bagi saya, yang menyayangi semua orang, dan mempunyai rakan di seluruh dunia sama ada mereka beragama Islam, Kristian, Katolik, Ateis atau Buddha, atau Jew semestinya, manusia adalah manusia. Dan saya mahu meraikan legasi Cleopatra dan menghormati ikon sejarah hebat yang sangat saya kagumi ini.”

See also
Spa Paling Mewah di Dunia: Chanel au Ritz Paris

Selebriti yang berasal dari Israel ini mengatakan sesiapa sahaja boleh menerbitkan filem tersebut dan menjayakannya, dan menambah, “Saya sangat teruja untuk melakonkannya dengan cara tersendiri.”

Pada Oktober lalu, Deadline melaporkan bahawa Gadot akan menjadi teraju utama serta penerbit bersama sebuah filem mengenai pemerintah Kerajaan Ptolemi kelahiran Mesir. Menerusi filem biografi ini, bintang Justice League ini akan kembali bekerjasama dengan pengarah Wonder Woman, Patty Jenkins.

Foto: Getty Images/Dia Dipasupil

Baca: Wonder Woman Gal Gadot Enggan Menyertai Filem Susulan Kerana Pemangsa Seksual