Most GLAM 2025: Azira Shafinaz & Dayang Nurfaizah

Most GLAM 2025: Azira Shafinaz & Dayang Nurfaizah

pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif & penata gaya CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar EDMUND LEE solekan SYED FAIZAL (Azira Shafinaz) & KHIR KHALID (Dayang Nurfaizah) dandanan OLIVIA OOI (Azira Shafinaz) & CKAY LIOW (Dayang Nurfaizah) penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN teks MAYA KUSUMA

AZIRA SHAFINAZ: PELAKON TERBAIK

Selepas kejayaan besar bersama kumpulan De Fam, Azira Shafinaz kini memperkukuh kedudukannya sebagai pelakon versatil tanah air. Wajah anggun ini turut menghiasi isu istimewa Most GLAM 2025, meraikan seorang wanita yang tidak pernah berhenti belajar, berkembang dalam dunia seni yang kompetitif.

Bagi Azira, setiap watak yang diambil bukan sekadar peluang, tetapi ruang untuk mencabar diri. “Orang kata saya memilih, tapi bagi saya kualiti itu segalanya,” katanya tegas. Kini, selepas lebih sedekad dalam industri, pengiktirafan yang diterimanya termasuk kemenangan di Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA 2023) menjadi bukti bahawa kerja keras dan dedikasinya membuahkan hasil. “Saya bukan mengejar populariti, tapi untuk membina nama saya sebagai pelakon sebenar dan membuktikan saya boleh lakukan ini.”

Di sebalik kejayaan Azira Shafinaz sebagai pelakon, ada sosok penting yang menjadi tunjang kekuatan dan penasihat setia iaitu pengurusnya, Iman Tang. Menurut Iman, perkembangan Azira dalam dunia lakonan amat mengagumkan sejak mula hingga kini. “Dia bukan saja belajar daripada pengalaman, tapi menggunakan setiap peluang untuk memperbaiki diri. Azira sekarang antara pelakon yang mendapat permintaan tinggi, tapi kami tidak ambil semua tawaran kerana mahukan watak yang berbeza-beza,” jelasnya.

Bermula sebagai penari dan penyanyi sebelum bergelar pelakon, Azira kini diiktiraf di peringkat Asia Tenggara membuktikan bakatnya tidak main-main. Iman turut mengimbau detik mencabar ketika penggambaran satu filem, apabila Azira cedera akibat babak pistol diketuk ke kepalanya. “Dahinya bengkak dan ada bunyi ‘crack’ disebabkan terjatuh, tapi dia tetap profesional. Azira bukan jenis diva dan dia simpan saja. Saya yang bawa dia ke hospital dan pesan supaya lebih berhati-hati kerana kita tidak tahu apa niat seseorang itu,” kongsi Iman.

Baginya, keberanian Azira mencabar diri dengan watak baharu dan kemenangan di Asia Pacific Film Festival serta AACA 2023 membuktikan kehebatannya. “Menang kategori komedi walaupun bukan pelawak, itu bukan mudah dan pengiktirafan dari juri itu lebih bermakna. Azira adalah antara pelakon wanita yang menjadi aset industri, pewaris untuk generasi akan datang,” ujar Iman penuh bangga.

Pengarah filem One Cent Thief, Doh dan Baga iaitu Ariff Zulkarnain, yang telah menyaksikan perjalanan seni Azira Shafinaz sejak awal kemunculannya. Melihat perkembangan bakat pelakon ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Menurutnya, Azira kini tampil jauh lebih matang dalam penghayatan watak dan lebih yakin di hadapan kamera. “Kalau dulu dia agak pendiam di set, sekarang Azira lebih terbuka, mudah bergaul dan sentiasa menceriakan suasana,” ujar Ariff, sambil mengakui bahawa pengalaman lebih sedekad di dunia lakonan telah membentuk Azira sebagai antara pelakon paling versatil di Malaysia.

See also
GLAM NEXT FACE: Amber Chia Menjadi Aspirasi dan Inspirasi Peragawati Lokal

Ariff turut mengimbau kenangan awal bersama Azira ketika penggambaran drama Incredible Tales di Singapura, di mana Azira masih baharu dalam dunia lakonan, dan kemudiannya drama Stella yang mengeratkan lagi hubungan profesional mereka. Dari sudut pengarahan, Ariff melihat Azira sebagai pelakon yang mempunyai ‘timing’ sempurna, berdisiplin, dan fokus terhadap hasil kerja tanpa sebarang drama. “Dia definisi sebenar ‘no hanky panky, only work towards the better result’,” ujarnya. Bagi Ariff, Azira bukan sekadar pelakon berbakat, tetapi “a beauty with brain” dimana boleh dijadikan inspirasi sebenar buat generasi pelapis.

Bagi pelakon dan rakan gandingannya, Zul Ariffin, perjalanan seni dan transformasi Azira Shafinaz merupakan sesuatu yang mengagumkan. Mereka mula digandingkan dalam sebuah siri pada tahun 2018 dan baru-baru ini kembali bersama dalam sebuah filem baharu. Zul mengimbau kenangan ketika penggambaran Sheriff yang disifatkan sebagai pengalaman berbeza berbanding projek-projek romantik mereka sebelum ini. “Saya seronok melihat sisi baharu Azira yang lebih ‘gritty’ dan berani mencabar diri sendiri. Ia memperlihatkan kematangannya sebagai pelakon,” jelasnya.

Zul turut mengakui evolusi Azira sebagai sesuatu yang memberikan inspirasi bukan sahaja untuk dirinya malah buat wanita-wanita dalam industri seni. “Dia berjaya mengimbangkan dunia nyanyian dan lakonan dengan penuh dedikasi dan kejujuran. Setiap anugerah yang diterimanya adalah hasil kerja keras yang nyata.” Zul turut menyifatkan Azira sebagai seorang pelakon yang komited, profesional dan mudah bekerjasama di set.

Mengulas tentang potensi masa depan, Zul percaya Azira berupaya menembusi pasaran antarabangsa. “Dia memiliki kombinasi berbisa iaitu bakat, disiplin dan etika kerja yang tinggi. Saya yakin dunia akan lebih mengenali kehebatannya, sama ada melalui nyanyian mahupun lakonan.” Bagi Zul, sisi menarik Azira ialah kemampuannya untuk terus mengejutkan penonton. “Jangan terpedaya dengan sifat lembutnya, Azira pun boleh jadi ‘badass’ bila perlu! Dia seorang yang sangat bersemangat dan tidak sabar untuk melihat bagaimana dia menggalas watak-watak barunya nanti,” ujar Zul yang turut mendedahkan bahawa mereka bakal bekerjasama lagi dalam beberapa projek pada masa akan datang.

See also
5 Gaya Date Night Inspirasi Selebriti Untuk Dicuba Pada Hari Kekasih

DAYANG NURFAIZAH: VOKAL TERBAIK

Sudah lebih dua dekad Dayang Nurfaizah mewarnai industri muzik tanah air, satu perjalanan panjang yang membuktikan bukan sahaja kehebatan vokalnya, tetapi juga ketulusan jiwa dalam menyampaikan setiap bait lagunya. Menerusi isu istimewa Most GLAM November ini, Dayang menghiasi helaian GLAM sebagai wajah utama bagi meraikan bukan sekadar pencapaian, tetapi juga perjalanan peribadi seorang artis yang masih setia dengan cintanya terhadap muzik.

“Dayang belajar untuk benar-benar menghargai siapa diri Dayang dari segi kekuatan, kelemahan, dan juga suara Dayang sendiri,” ujarnya. Lebih dua puluh tahun dalam industri mengajarnya bahawa tidak semua perkara perlu dikejar. “Dulu Dayang banyak fikir apa orang nak dengar, sekarang Dayang lebih fikir apa yang Dayang nak sampaikan. Bila Dayang nyanyikan sesuatu yang ikhlas, itu yang paling dekat di hati orang.”

Bagi penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini, pencapaian terbesarnya bukanlah jumlah anugerah atau populariti, tetapi keupayaannya untuk masih kekal dan bertahan. “To still be here, still singing, still being heard, and still loving what I do. That, to me, is the greatest achievement of all.” Dalam dunia muzik yang sentiasa berubah, rahsianya untuk kekal relevan adalah dengan menjadi dirinya sendiri.

Sebagai pelengkap kisah perjalanan seni dan gaya Dayang Nurfaizah, GLAM turut mendapatkan pandangan daripada insan disekelilingnya yang menjadi saksi serta penyumbang kepada evolusi penampilan dan imej penyanyi ini. Antara yang paling rapat ialah pereka fesyen terkenal, Faizul Surani dari jenama RI (Rizalman Ibrahim), yang telah bekerjasama dengan Dayang selama lebih dua dekad.

Ketelitian adalah kunci utama dalam setiap rekaan RI buat Dayang, terutama apabila melibatkan acara berprestij. “Setiap kali diminta mereka helaian untuk acara besar, saya akan mengambil kira banyak aspek — berapa besar acara itu, berapa lama Dayang akan berada di majlis, siapa tetamu, siapa selebriti yang berada di sisinya, dan tentu sekali bait-bait lagu yang akan disampaikan oleh Dayang,” jelasnya.

Namun, di sebalik semua busana dan pentas megah, apa yang paling memikat hati Faizul adalah pembawaan Dayang sebagai individu. “Pembawaan dirinya sebagai seorang figura terkenal di mana-mana adalah erti ikon fesyen sebenar. Bukan hanya ketika berada di pentas besar atau karpet merah, tetapi dalam setiap langkahnya, Dayang elegan dengan peribadi. Cara dia membawa diri membuatkan saya hormat dan percaya bahawa Dayang adalah seorang ikon gaya yang hebat di mata saya.”

See also
GUESS Hadirkan Koleksi Musim Panas 2023, Sentuhan Klasik Untuk Padu Padan Stylish

Selain dunia fesyen, sisi glamor Dayang Nurfaizah juga tidak dapat dipisahkan daripada sentuhan magis jurusolek tersohor Khir Khalid, insan yang bukan sekadar menghias wajahnya, tetapi turut menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya sejak awal kemunculan. Pertemuan pertama mereka berlaku sewaktu kedua-duanya masih di awal perjalanan seni dimana Khir sebagai jurusolek muda dan Dayang sebagai bintang baharu. “Saya masih ingat, Dayang datang ke sesi tatarias dengan memakai baju hujan. Itu memori yang kami masih ketawakan sampai sekarang,” ujar Khir.

Salah satu kenangan paling bermakna bagi Khir ialah ketika penggambaran album Sayang & Cahaya yang berlangsung selama empat hari di Belum Rainforest Resort, Gerik, Perak. “Tak pernah ada orang buat penggambaran album selama empat hari di dalam hutan dari pagi hingga malam, semata-mata untuk mendapatkan mood pokok dan rimba yang sebenar. Itu pengalaman yang saya tak akan lupa,” tambahnya.

Bagi Khir, kejayaan sebenar Dayang bukan diukur melalui lagu ‘hit’ atau populariti sementara, tetapi pada kemampuan untuk kekal relevan dan konsisten lebih dua dekad. “Dayang adalah penyanyi yang tahu apa yang dia mahukan dalam kerjayanya. Konsistensi itu yang menjadikannya istimewa,” jelasnya. “Sebagai jurusoleknya, saya berbangga melihat perjalanan Dayang yang tidak pernah hilang, dia sentiasa ada dan tetap bersinar.”

Dalam perjalanan seninya, penerbit muzik ternama Ajai melihat kematangan Dayang Nurfaizah terus berkembang. “Semakin matang, semakin peka dengan kehendak identiti nyanyiannya. She knows her direction,” ujar Ajai yang telah menyaksikan evolusi Dayang sejak lagu Seandainya Masih Ada Cinta hingga ke Mencintai Cinta. Beliau mengagumi bagaimana Dayang menggunakan kekuatan dan kemahiran vokalnya dengan penuh kesedaran dalam setiap persembahan. “Dia faham tentang repertoire lagu-lagunya dan sentiasa menjaga standard dalam kelasnya yang tersendiri,” tambahnya.

Menurutnya, Dayang bukan sekadar penyanyi bersuara merdu, tetapi seorang artis pakej lengkap dari bakat, imej hingga keterampilan. “Industri bertuah diwarnai dengan insan bernama Dayang Nurfaizah,” katanya. Ajai turut menzahirkan doa dan harapan agar Dayang terus berjaya dalam seni dan kehidupan. “Jangan pernah letih untuk berjuang demi kurniaan Allah. Terus bersinar dan menginspirasi peminat,” pesannya buat seorang bintang yang kekal bersinar selepas dua dekad.

Baca kisah penuh Azira Shafinaz & Dayang Nurfaizah dengan mendapatkan majalah GLAM isu November 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.