Sama ada sebagai ritual penjagaan diri pada hujung minggu atau persiapan sebelum acara penting, sheet mask hadir sebagai penyelesaian pantas untuk mendapatkan kulit yang kekal hidrasi dan glowing.
Dalam kesibukan gaya hidup moden yang tidak pernah berhenti, kulit sering menjadi mangsa pertama yang kehilangan seri. Tekanan, pencemaran udara dan kurang rehat boleh menjadikan wajah tampak kusam. Di sinilah sheet mask memainkan peranan sebagai quick skin fix kerana ia mampu memberikan suntikan kelembapan dan nutrisi yang diperlukan dalam tempoh singkat. Lebih daripada sekadar trend, ia kini menjadi keperluan dalam rutin kecantikan. Ia tampil menawarkan pengalaman penjagaan diri yang ringkas namun cukup memanjakan, sambil mengembalikan cahaya semula jadi kulit. GLAM kongsikan rangkaian sheet mask yang perlu anda cuba!
Ini 5 Jenama Sheet Mask Untuk Kulit Glowing!
1. Lumi Beauty
Diasaskan oleh Chryseis Tan, Lumi Beauty hadir bersama produk yang diperkaya dengan formulasi efektif berasaskan botani serta membantu menyerlahkan kecantikan dalaman. Mereka turut menggunakan bahan semula jadi dan cruelty-free yang baik. Himpunan terbaru mereka iaitu Ageless PDRN Series hadir sebagai pendekatan penjagaan kulit berasaskan sains regeneratif dengan kandungan PDRN yang membantu mempercepatkan pembaikan sel kulit, meningkatkan keanjalan dan memulihkan seri wajah dari dalam. Tidak sekadar memberi hidrasi sementara, rangkaian ini bekerja lebih mendalam untuk menjadikan kulit tampak lebih sihat, lembap dan berseri. Jenama ini turut menjadi pilihan salah seorang selebriti tempatan, Ameera Khan, yang sering menggunakannya sebagai rutin untuk memanjakan diri.
2. TAKAMI
Dalam dunia penjagaan kulit Jepun yang terkenal dengan pendekatan minimal tetapi berkesan, TAKAMI menonjol dengan falsafah “skin renewal” yang fokus kepada kesihatan kulit dari lapisan asas. Skinpeel Essence Mask direka sebagai rawatan eksfoliasi lembut yang membantu menanggalkan sel kulit mati, memperbaiki tekstur tidak sekata serta meningkatkan penyerapan produk seterusnya, tanpa menyebabkan iritasi pada kulit. Sesuai untuk pelbagai jenis kulit seperti kulit kering mahupun berminyak, mask ini juga direka khas agar melekap sempurna pada bentuk wajah Asia.
3. Chuck’s
Diasaskan oleh Jane Chuck, seorang pempengaruh dan usahawan wanita, jenama Chuck’s sering menjadi pilihan wanita moden untuk produk penjagaan kulit yang berkesan bersama bahan eksklusif. Kini, mereka tampil dengan Ginseng Firming Mask yang direka untuk memberikan instant skin revival. Diperkaya dengan ekstrak ginseng yang terkenal dalam tradisi kecantikan Asia, produk ini membantu meningkatkan keanjalan kulit, memperbaiki kekusaman serta memberikan kesan ketegangan yang menjadikan wajah tampak lebih segar dan bermaya.
4. Dr. Jart+
Dr. Jart+ merupakan antara jenama K-beauty yang dikenali dengan pendekatan inovatif menggabungkan dermatologi dan seni formulasi moden untuk kesihatan skin barrier. Dengan produk Ceramidin™ Skin Barrier Moisturizing Mask, ia menjadi antara solusi terbaik untuk kulit yang kering atau sensitif. Diperkaya dengan bahan seperti ceramide, produk ini membantu menguatkan lapisan perlindungan kulit sambil mengunci hidrasi dengan lebih lama sekaligus menjadikan wajah anda terasa lebih lembut selepas setiap penggunaan.
5. Glow Recipe
Glow Recipe terus dikenali dengan estetika bersahaja dan formulasi berasaskan buah-buahan,sekaligus menjadi kegemaran generasi baharu. Watermelon Glow Jelly Sheet Mask menawarkan tekstur unik seperti jeli yang melekap sempurna pada wajah dan kekal memberikan hidrasi menyeluruh. Diperkaya dengan ekstrak tembikai yang kaya antioksidan bersama bahan pelembap, mask ini membantu melembapkan kulit secara optimum dan memperbaiki tekstur kulit tidak sekata. Lantas, ia ideal untuk kulit yang memerlukan quick pick-me-up sebelum memulakan hari atau menghadiri acara istimewa.
Artikel berkaitan: Ini 5 Produk Anti Penuaan Untuk Kulit Lebih Anjal