Elak 7 Perkara Ini Seminggu Sebelum Hari Terpenting Dalam Hidupmu!
10 Gaun Pengantin Ikonik Sepanjang Zaman
GLAM Deko Ogos 2019
Jam Tangan Pintar Era Baru Fossil Q
Twenty~4 Pendamping Wanita Moden
Home > GLAM Plus > Ulang Tahun Ke-50, Patek Philippe Menggegarkan Watches and Wonders 2026

Ulang Tahun Ke-50, Patek Philippe Menggegarkan Watches and Wonders 2026

Jenama jam tangan ultra-mewah dari Geneva, Patek Philippe, secara rasminya meraikan ulang tahun ke-50 bagi koleksi ikonik mereka yang paling sporty dan elegance.

Pada acara horologi paling berprestij, Watches and Wonders 2026, jenama ultra-mewah dari Geneva ini bersedia mencuri tumpuan dunia fesyen global. Meraikan ulang tahun ke-50 koleksi ikonik ini, Patek Philippe melancarkan empat rekaan edisi terhad yang cukup memukau dan eksklusif. Mengimbas kembali sejarahnya, ketika mula diperkenalkan pada tahun 1976, Nautilus merupakan sebuah ‘enfant terrible’ dalam dunia pembuatan jam tangan. Di kala jenama lain terikat dengan material emas yang sarat, Patek Philippe tampil berani memilih keluli berserta siluet octagonal bezel yang diinspirasikan daripada tingkap kapal layar. Melangkah ke tahun 2026, intepretasi terbaharu mereka mengekalkan DNA asal tersebut, namun kali ini fokus diberikan kepada keanggunan profil ultra-nipis serta rekaan dail yang lebih bersih dan kemas. 

Model ‘Jumbo’ Idaman Pengumpul Tegar 

Bagi peminat tegar reka bentuk klasik, Patek Philippe membawakan tiga model utas tangan edisi terhad yang mengekalkan fungsi asas yang paling tulen hanya paparan jam dan minit tanpa sebarang gangguan visual lain. Ketiga-tiga model ini dikuasakan oleh enjin mekanikal ultra-nipis Caliber 240 dengan rotor mini emas 22K yang diukir khas dengan teks “50 1976-2026”.

5810/1G-001

Hanya dihasilkan sebanyak 2,000 utas, model ‘Jumbo’ 41mm ini tampil serba mewah dengan padanan badan dan tali jam daripada emas putih 18K. Ditambah pula dengan permukaan jam berwarna biru berjalur melintang, ia memberikan sentuhan maskulin yang sangat ketara.

5810G-001

Bagi peminat gaya kontemporari, model emas putih 41mm ini menampilkan keunikan tersendiri dengan padanan tali komposit biru kelasi bermotif fabrik. Apa yang menjadikannya sangat eksklusif adalah perincian berlian potongan baguette mewah pada setiap penanda masa di atas permukaan jam dan hanya dihasilkan sebanyak 1,000 utas sahaja.

Kembalinya Siluet ‘Medium’ Yang Sentiasa Dipuja

Bukan itu sahaja, Patek Philippe turut mengembalikan nostalgia saiz ‘Medium’ yang sentiasa menjadi kegilaan para pengumpul menerusi 5610/1P-001. Jam tangan bersaiz 38mm ini dibalut mewah dengan material platinum tulen. Menariknya, sebutir berlian dipasang buat pertama kalinya pada bahagian engsel pukul 9 sebagai signatur eksklusif model platinum mereka.

Kejutan Jam Meja Nautilus

Melengkapi sambutan jubli emas ini, Patek Philippe turut membuat kejutan dengan melancarkan 958G-001 Nautilus Desk Watch. Jam meja white gold berdiameter 50.65mm dengan rekaan dail biru sunburst bertatahkan berlian baguette ini dilengkapi dengan pergerakan mekanikal manual 8-Day caliber yang sangat berkuasa. Dihadkan kepada 100 unit sahaja, ia adalah simbol kemewahan mutlak untuk menghiasi meja kerja para mogul dan usahawan korporat terkemuka.

Setiap jam tangan edisi ulang tahun ke-50 ini akan didatangkan khas di dalam kotak pembungkusan luar bertemakan gabus. Sebuah penghormatan estetika kepada kotak simpanan Nautilus Reference 3700 yang asal pada tahun 1976. Kehadiran empat mahakarya ini membuktikan bahawa pesona Nautilus tidak pernah pudar, malah semakin bernilai selepas lima dekad. 

Artikel berkaitan: Evolusi Mewah OMEGA Speedmaster Moonwatch