fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
The New Roseau
PESONA KISAH DONGENG SWEDEN
Sentuhan Kemewahan Gemersik Juste un Clou oleh Cartier
MFW Street Style: Peranan Warna Dalam Suai Padan
Olena, Memupuk Kelestarian Rekaan Barang Kemas
Home > Fesyen > Chanel Menganyam Kisah Dongeng Buat Koleksi Fall Winter 2026 Haute Couture

Chanel Menganyam Kisah Dongeng Buat Koleksi Fall Winter 2026 Haute Couture

Daripada kisah dongeng ke pentas adibusana, Matthieu Blazy menenun fantasi, warisan dan ketukangan yang luar biasa menerusi koleksi Chanel Haute Couture Fall/Winter 2026, sambil meraikan wanita dalam setiap rekaan.

“I created my life because my life did not please me.” Inilah kata-kata ikonik Gabrielle Chanel yang menjadi titik permulaan kepada koleksi Haute Couture Fall/Winter 2026, menyaksikan Matthieu Blazy mempersembahkan karya adibusana keduanya sebagai Artistic Director of Fashion Activities. Berinspirasikan sebuah buku dongeng berjudul Les Fées, Contes des Contes yang ditemuinya di perpustakaan peribadi Gabrielle Chanel, Blazy membayangkan setiap helaian busana sebagai sebuah naratif yang boleh dipakai. Menggabungkan elemen fantasi dan kehidupan seharian, koleksi ini mengangkat kisah wanita melalui rekaan yang menghubungkan dunia fiksyen dengan fungsi sebenar pakaian.

 

Ini Perincian Buat Pertunjukan Koleksi Chanel Fall Winter 2026 Haute Couture

Dipersembahkan di ruang salon Chanel yang diselubungi sulur menjalar dan bunga beracun berskala gergasi, pentas pertunjukan seakan membuka pintu ke sebuah dunia dongeng. Daripada Jack and the Beanstalk hingga Goldilocks and the Three Bears, Blazy meminjam imaginasi kisah klasik untuk membentuk sebuah koleksi yang masih teguh berpaksikan kod-kod Chanel, di samping meraikan kepakaran atelier Haute Couture serta para artisan di le19M.

Pertunjukan dibuka dengan sut Chanel yang diperbuat daripada guipure menyerupai benih ajaib, diserikan lapisan silk mousseline lut sinar, sementara model membawa naskhah Les Fées, Contes des Contes yang diambil terus daripada perpustakaan apartmen Gabrielle Chanel. Kisah dongeng kemudian diterjemahkan menerusi perincian yang halus seperti sulur pokok yang memanjat tumit kasut, minaudière berbentuk beruang yang sedang tidur serta deretan butang yang berubah daripada anak itik kepada angsa, sekali gus menjadikan setiap penampilan seolah-olah helaian baharu dalam sebuah buku cerita.

Sepanjang 63 penampilan, kisah Gaby and the Beanstalk terus berkembang menerusi sentuhan signatur Blazy seperti sulaman bunga, perincian bulu dan ada juga siluet yang diinspirasikan daripada Scarecrow. Perincian appliqué berbentuk angsa, fabrik sutera yang berubah menjadi renda lut sinar serta aksesori yang penuh karakter menjadikan koleksi ini antara yang paling mencuri perhatian sepanjang minggu Paris Haute Couture Fall/Winter 2026. Mengiringi keseluruhan persembahan, lagu ‘Kiss Me’ nyanyian Sixpence None the Richer turut membangkitkan suasana yang menyeronokkan apabila sebahagian tetamu dilihat menyanyi bersama.

Dalam pada itu, keajaiban koleksi ini turut tersembunyi pada bahagian dalam setiap busana. Lapisan sutera yang dilukis tangan, nota kecil, azimat serta objek harian diselitkan ke dalam poket atau digantung pada rantai pemberat ikonik Chanel, menjadikan setiap helaian bersifat peribadi antara si pembuat dan si pemakai. Inspirasi kisah dongeng burung murai yang gemar mengumpul objek berkilau diterjemahkan melalui himpunan butiran yang berkembang daripada bahagian dalaman ke permukaan luar pakaian. Teknik tenunan, sulaman, lapisan fabrik dan appliqué pula menyatukan objek harian dengan material mewah, lantas membuktikan bahawa semangat make-do-and-mend masih mempunyai tempat dalam dunia couture.

Menjelang penghujung pertunjukan, Blazy memilih untuk menyimpang daripada tradisi apabila gaun pengantin dipersembahkan lebih awal berbanding kebiasaan. Sebagai penutup, Pengarah Artistik Chanel ini mempersembahkan helaian little black dress berpotongan belakang terbuka yang dihiasi perincian bulu, mengembalikan perhatian kepada salah satu siluet paling ikonik Chanel. Diiringi lagu The Bargain Store nyanyian Dolly Parton, penamat yang penuh pesona itu menutup kisah Gaby and the Beanstalk, sebelum Blazy muncul memberikan penghormatan kepada para tetamu.

Latar pertunjukan yang dipenuhi sulur beracun dan bunga toksik melengkapkan dunia imaginasi Chanel Fall Winter 2026 Haute Couture, sambil menonjolkan kepakaran atelier tailleur dan flou dalam membentuk siluet yang bebas bergerak mengikut tubuh. Potongan yang membelah struktur pakaian bukan hanya memperlihatkan teknik pembinaan Chanel, malah memberikan kebebasan kepada wanita untuk benar-benar hidup dalam busana yang dipadukan. Menurut Matthieu Blazy, koleksi Chanel Couture keduanya bukan sekadar sebuah kisah dongeng, tetapi tentang wanita, realiti mereka serta pengembaraan yang dilalui setiap hari.

Artikel berkaitan: Matthieu Blazy Membawa Chanel Cruise 2026 Kembali Ke Laut