25 Gadis Bond
Raut wajah jelita dengan susuk tubuh menggoda, bermain cinta dengan ejen 007, setiap heroin filem James Bond memukau pandangan mata dengan pesona sensual serta tarikan penuh mantra. GLAM memutar kembali cereka lama, mengimbas kenangan gadis Bond yang lalu hingga kini.
SkyFall (2012) – Berenice Marlohe
Berdarah kacukan Perancis, Kemboja dan juga Cina, Berenice Marlohe sebelum ini aktif berkarya di dalam produksi televisyen Perancis. Watak sebagai wanita glamor, Severine dalam Skyfall melonjakkan namanya ke persada antarabangsa. Menurut Marlohe, enam bulan sebelum dia menjalani uji bakat filem Bond, sebuah mimpi hadir dalam tidurnya bahawa dia berlakon di samping Javier Bardem. Ianya kemudian menjadi kenyataan apabila mereka digandingkan bersama dalam Skyfall. Kini Marlohe bakal muncul dalam filem muzikal bersama Ryan Gosling, Christian Bale dan Natalie Portman.
Tomorrow Never Dies (1997) – Michelle Yeoh
Individu mana yang tidak bangga apabila aktres kelahiran Malaysia dipilih sebagai gadis Bond. Wataknya sebagai Wai Lin, seorang mata-mata gelap dan juga sekutu Bond disanjung tinggi. Kehebatannya dalam melakukan sendiri aksi lawan dalam filem tersebut dipuji. Malahan Pierce Brosnan turut menggelarnya sebagai seorang aktres luar biasa yang komited terhadap kerjayanya,
Dr.No (1962) – Ursula Andress
Karakter Honey Ryder lakonan Ursula Andress yakni gadis Bond pertama dalam sejarah filem itu diangkat ke status ikonik. Adengan ketika dia berjalan keluar dari laut dalam helaian pakaian renang putih menjadi momen penting yang memberi impak hebat hingga kini. Menurut Andress, dia terhutang budi kepada adengan tersebut kerana membantu melonjakkan namanya dalam dunia lakonan. Namun tidak ramai yang tahu bahawa suaranya dalam filem itu telah dialih menggunakan pelakon suara lain oleh kerana loghat Switzerland Andress yang terlalu kuat.
Die Another Day (2002) – Halle Berry
Giacinta ‘Jinx’ Johnson lakonan Halle Berry digelar sebagai watak gadis Bond kulit hitam yang paling dikenali dalam sejarah filem itu malahan turut diundi sebagai antara karakter wanita kuat dalam filem. Adengan bikini dalam filem tersebut adalah sebagai suatu penghormatan buat karakter Honey Ryders lakonan Ursula Andress. Sewaktu penggambaran, Berry mengalami kecederaan apabila serpihan bom asap mengenai matanya dan terpaksa menjalani pembedahan selama 30 minit untuk membuang serpihan itu.
Diamonds Are Forever (1971) – Jill ST. John
Jill St. John memainkan karakter seorang penyeludup berlian yang bekerja untuk The Spangled Mob, sebuah kartel penyeludupan Amerika dari Afrika. Dia diraikan sebagai wanita Bond Amerika yang pertama setelah menewaskan aktres pilihan lain seperti Jane Fonda, Faye Dunaway dan Raquel Welch.
Live And Let Die (1973) – Jane Seymour
Wanita Bond yang lemah lembut dan naif. Watak Solitaire lakonkan Jane Seymour punya kebolehan unik yakni mempunyai kuasa sebagai pembaca kad tarot. Solitaire mempunyai raut wajah cantik gemalai tetapi sering menjadi mangsa serta harus diselamatkan Bond beberapa kali.
From Russia With Love (1963) – Daniela Bianchi
Daniela Bianchi aktres kelahiran Itali cukup bertuah apabila ditawarkan watak sebagai gadis Bond pada usia 21 tahun. Bekas Naib Juara Ratu Cantik pada tahun 1960 ini dikatakan menjadi pilihan Sean Connery untuk membawa watak Tatiana Romanova. Adengan ketika Bond menemui Tatiana di atas katilnya merupakan adengan sama dalam uji bakat Bianchi untuk filem tersebut. Ianya kemudian menjadi suatu tradisi bagi gadis Bond untuk melakukan babak yang sama sewaktu menjalani uji bakat.
You Only Live Twice (1967) – Akiko Wakabayashi
Watak Aki dipuja sebagai antara gadis Bond terhebat! Pengorbanannya terhadap Bond sehingga menyebabkan kematiannya mengangkat Aki sebagai antara yang selalu diberi penghormatan. Pada asalnya dipilih untuk memainkan peranan Kissy Suzuki, Wakabayashi kemudian bertukar watak dengan Mie Hama yang kemudiannya melakonkan watak tersebut kerana gagal menguasai bahasa Inggeris.
The Man With The Golden Gun (1974) – Britt Ekland
Britt Ekland salah satu daripada dua wanita Bond yang pada realitinya berkahwin dengan James Bond sendiri. Dia lebih dikenali kerana perkahwinannya kepada semi-Bond, Peter Sellers dalam filem Casino Royale 1967. Ekland mendambakan watak Mary Goodnight selepas menonton Dr.No. Karakter Goodnight sebagai setiausaha Bond digelar oleh pengkritik sebagai ‘stupid Blonde British agent’.
The Spy Who Loved Me (1977) – Barbara Bach
Major Anya Amasova lakonan Barbara Bach dikatakan mengubah haluan bagi watak gadis Bond. Karakternya yang bijak dan independent menjadikannya sebagai sekutu hebat Bond. Dia turut diangkat sebagai simbol seks menerusi watak tersebut. Bach hanya mengetahui bahawa dia berjaya mendapatkan watak itu empat hari sebelum penggambaran bermula.
For Your Eyes Only (1981) – Carole Bouquet
Carole Bouquet, pelakon berdarah Perancis ini memainkan watak Bond Girl yang ke-12, Melina Havelock seorang wanita Yunani yang ingin membalas dendam terhadap pembunuh kedua ibu bapanya. Wanita ini juga lebih bersifat tradisional dan cekap menggunakan busur silang. “For your eyes only darling.” dialog pada babak filem ini memberikan sentimen mendalam.
Octopussy (1983) – Maud Adams
Melakonkan watak Octopussy seorang wanita berkuasa, dia menduduki sebuah pulau yang hanya boleh dikunjungi kaum wanita. Ini bukanlah kali pertama Adams muncul dalam filem James Bond, sebelum ini dia turut membintangi The Man with the Golden Gun dan selepas itu turut melakonkan watak kecil dalam A View To A Kill. Mengimbas kembali wataknya sebagai gadis Bond, ujar Adams ianya suatu momen indah untuk menjadi sebahagian dari budaya pop itu.
GoldenEye (1995) – Izabella Scorupco
Natalya Simonova wanita bijak serta berani lantas mengangkatnya antara gadis Bond terhebat. Lakonan Izabella Scorupco dipuji dan dikatakan antara gadis Bond terbaik pada zaman 90-an. Aktres berdarah Polish-Swedish ini juga tersenarai antara gadis Bond terseksi.
The Living Daylights (1987) – Maryam D’Abo
Pernah menyertai uji bakat filem Bond, A View To A Kill pada tahun 1984 namun tuah tidak menyebelahinya. Namun Maryam D’Abo berjaya membawa watak Kara Milovy, seorang pemain cello yang mencuri perhatian James Bond. Karakternya sebagai seorang yang naif membuatkan dia mudah menjadi mangsa namun Kara Milovy terus membuktikan bahawa dia merupakan wanita berani di sisi Bond.
The World Is Not Enough (1999) – Denise Richards
Watak sebagai ahli fizik nuklear, Dr. Christmas Jones dilakonkan Denis Richards dikritik hebat kerana dikatakan gagal menjiwai karakter tersebut dengan berkesan. Walaupun begitu, Richards menganggap peranannya itu sebagai seorang wanita bijak yang penuh kekuatan. Christmas Jones diundi sebagai salah seorang gadis Bond paling teruk manakala Richards turut dinobatkan sebagai Worst Supporting Actress di Razzie Awards.
Thunderball (1965) – Claudine Auger
Susuk tubuh dan lenggok tubuh yang menggoda, Claudine Auger fantasi pengarah Thunderball untuk watak Bond Girl seterusnya, Dominique ‘Domino’ Derval. Dia melakonkan watak perempuan simpanan Emillio Largo dan juga pengintip Spectre. Watak asal Domino ialah wanita Itali bernama Dominetta Palazza. Oleh kerana pengarah Thunderball begitu kagum dengan uji bakat Auger, wataknya ditulis dan dirombak semula agar sesuai dengan personaliti aktres berkenaan. Sekali lagi suara Nikki Van der Zyl digunakan kerana Claudine Auger yang berbangsa Perancis tidak begitu fasih berbahasa Inggeris.
Moonraker (1979) – Lois Chiles
Bagai suatu percaturan apabila Lois Chiles duduk di sebelah pengarah filem Moonraker, Lewis Gilbert sewaktu dalam sebuah penerbangan. Gilbert berpendapat bahawa Chiles punya pesona sebagai saintis CIA lalu menawarkan watak Holly Goodhead kepadanya. Ini juga merupakan kali kedua Chiles ditawarkan watak sebagai gadis Bond namun terpaksa menolaknya pada kali pertama kerana mahu berhenti sejenak dari dunia lakonan.
Casino Royale (2006) – Eva Green
Bergandingan bersama Daniel Craig, watak sebagai ejen British Vesper Lynd lakonan Eva Green cukup kuat dan diangkat sebagai antara yang terbaik. Ditawarkan peranan ini pada pertengahan 2005, namun Green menolak pada mulanya. Pengarah Casino Royale, Martin Campbell yang kagum dengan lakonan Green dalam filem Kingdom of Heaven sekali lagi menawarkan watak itu kepadanya. Green kemudiannya menyukai skrip yang dibaca and the rest is history. Oleh kerana lakonannya yang hebat, Green menerima pelbagai anugerah serta pengiktirafan menerusi watak gadis Bond ini.
Quantum Of Solace (2008) – Olga KuryLenko
Camille Montes merupakan satu-satunya gadis Bond yang tidak pernah berasmara dengan James Bond! Aktres berdarah kacukan Ukrain dan Rusia ini memegang watak bekas ejen Bolivia yang menyimpan dendam terhadap Jeneral Medrano. Permulaan kariernya sebagai seorang model, Olga Kurylenko dicalonkan sebagai Aktres Terbaik di Empire Awards dan juga Pelakon Pembantu Terbaik di Saturn Award menerusi wataknya sebagai Camille Montes.
A View To Kill (1985) – Tanya Roberts
Disenaraikan sebagai ‘second worst Bond Girl’, watak Stacey Sutton dianggap sebagai gadis Bond yang paling membosankan. Tanya Roberts memainkan watak Stacey Sutton, seorang ahli geologi yang berpendidikan tinggi. Pada awal era 80-an, Tanya Roberts diangkat sebagai simbol seks Hollywood.
Licence To Kill (1989) – Talisa Soto
Lupe Lamora punya kecantikan ekstotik yang memukau dalam setiap babak lakonannya. Watak sebagai seorang wanita simpanan membuatkan Lupe Lamora turut tersenarai antara gadis Bond paling teruk. Dia juga terkenal sebagai teman wanita kepada karakter jahat yang bersekutu dengan James Bond.
Goldfinger (1964)- Honor Blackman
Watak Pussy Galore adalah satu kontroversi suatu ketika dahulu di mana namanya sendiri dikatakan memiliki dua maksud dan berunsur lucah. Pernah bercadang untuk menukar menjadi Kitty Galore tetapi pengarah Goldfingers berkeras mahu menggunakan nama asalnya. Oleh sebab nama watak itu amat provokatif, sewaktu promosi filem tersebut watak itu hanya disebut sebagai Miss Galore ataupun Goldfinger’s Personal Pilot. Karakter Pussy Galore adalah seorang juruterbang peribadi Goldfinger dan pemimpin pasukan juruterbang wanita dikenali sebagai The Flying Circus.
On Her Majesty’s Secret Service (1969) – Diana Rigg
“Why do you persist in trying to rescue me, Mr. Bond?” Permainan kucing dan anjing antara watak Tracy di Vicenzo dan James Bond jelas kelihatan dalam filem susulan keenam ini. Tetapi akhirnya mereka berdua jatuh cinta dan berkahwin. Watak Tracy di Vicenzo yang menggoda dan angkuh itu dikatakan sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan karakter sebenar Diana Rigg. Kini dia melakonkan watak Olenna Tyrell dalam Game of Thrones.
Spectre (2015) – Lea Seydoux
Aktres Perancis, Lea Seydoux dipilih sebagai gadis Bond buat filem ke-24 James Bond ini. Pemilihannya adalah kerana pengarah filem tersebut, Sam Mendes mahukan aktres yang punya pengalaman. Seydoux antara aktres Perancis masa kini yang diiktiraf oleh pelbagai anugerah kerana lakonannya yang hebat. Pernah muncul dalam filem Blue Is The Warmest Colour dan kemudian sebagai Belle dalam Beauty and the Beast hasil produksi Perancis dan Jerman, dia bakal muncul dalam filem arahan pengarah muda berbakat Xavier Nolan pada tahun hadapan.
Spectre (2015) – Monica Belluci
Pada usia 50 tahun, Monica Belluci merupakan aktres paling tua dipilih sebagai wanita Bond. Namun dia buktikan bahawa ianya bukanlah penghalang untuk dia tampil hebat setaraf dengan gadis Bond lain.