Lyn Lim Terbang Ke Nepal Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan

Lyn Lim Terbang Ke Nepal Untuk Misi Bantuan Kemanusiaan

Untitled 0047
 
Gadis tinggi lampai ini hadir ke studio pagi itu ceria dengan menyapa seluruh krew GLAM. Bicaranya lembut kala mengenalkan dirinya. “Saya berumur 26 tahun dan berasal dari Pulau Pinang. Saya kini berada di bawah pengurusan I Entertainment.” Lyn Lim pernah menyertai Miss Universe Malaysia pada tahun lalu dan memenangi tempat ketiga.
 
“Karier saya bermula daripada iklan komersial. Kemudian saya menyertai pertandingan ratu cantik dan kini saya sangat gembira kerana sudah mula berlakon untuk drama juga filem serta kerap membuat kerja modelling untuk majalah fesyen. Menganggap dirinya bertuah kerana mempunyai pihak pengurusan yang begitu memahami untuk memulakan karier lakonannya. “Ya, saya sangat bertuah kerana mereka membantu saya mendapatkan watak di dalam drama dan filem.”
 
Dengan bakat yang dikurniakan, saya tertanya-tanya adakah Lyn menyertai kelas lakonan untuk mempelajari teknik lakonan yang lebih betul? “Oh tidak, saya tidak menghadiri sebarang kelas lakonan. Namun begitu saya beruntung kerana Debbie Goh sentiasa membantu saya membetulkan teknik lakonan saya,” ujar Lyn tersenyum manis.
 
Siapa menyangka, fesyen dan Lyn ibarat baru sahaja dipertemukan. “Secara jujur, fesyen sangat baru dalam kamus kerjaya saya. Dahulu saya didedahkan dengan iklan kormersial, jadi pendedahan dengan fesyen sangat sedikit,”
kata Lyn. “Berdasarkan apa yang saya lihat, fesyen hari ini sangatlah berani terutama buat golongan muda. Kamu boleh mencuba apa sahaja dan dengan adanya pereka tempatan yang berkebolehan lagi kreatif ini, sudah cukup membuatkan saya begitu teruja dengan istilah ‘fesyen’.
 
Bak kata orang, fesyen seseorang itu bergantung kepada pembawakan personalitinya, “Pereka Fesyen dari Jepun, Yohji Yamamoto, adalah antara jenama yang menjadi kegemaran saya. Kerana koleksinya yang berwarna hitam dan lebih kasual lalu sedikit sebanyak ia melambangkan stail peribadi saya,” kata Lyn. Selain itu, Lyn turut menggambarkan dirinya seorang yang cukup minimal. Lebih selesa dengan hanya mengenakan celana jeans pendek bersama baju-T. “Saya seorang yang begitu simple. Apa yang disarung haruslah selesa barulah boleh menambah keyakinan diri. Yang penting, gaya saya kasual tetapi masih punya kelasnya tersendiri,” bual Lyn mesra.
 
Melihat fesyen yang semakin ekstrem di Malaysia, Lyn juga tidak ketinggalan untuk memberikan pendapatnya. “Ianya semakin membangun terutama dengan adanya pereka-pereka baru. Mereka menjadikan industri fesyen kita semakin maju dengan curahan idea-idea serta hasil tangan yang boleh dibanggakan.” Tambahnya lagi, “Wanita seharusnya bergaya. Setiap personaliti itu punya aura yang kuat berdasarkan apa yang dipakainya. Bukan sekadar bergaya, seseorang wanita itu juga harus sentiasa tampak kemas apabila bertemu orang ramai,” kata Lyn yang memilih Khoon Hooi dan Joe Chia sebagai pereka fesyen tempatan pilihan.
 
Melihat keperibadian Lyn, dia seorang yang baik hati serta pemurah dan aktif menyertai aktiviti amal. “Baru-baru ini saya ke Nepal untuk misi bantuan kemanusiaan. Sebelum itu lagi, saya sudah punya perancangan ingin ke sana dan menyuarakan hasrat kepada ibu dan ayah. Pada mulanya, mereka tidak setuju memandangkan saya seorang yang perlukan penjagaan dan masih belum berdikari.” Bagaikan sudah tahu, Debbie kemudian menghantar mesej kepada Lyn dan mengajak dia untuk ke Nepal bersama-sama. “Saya berfikir panjang dan merasakan ini adalah peluang saya. I wanted to do this but I don’t know how to start. I have the chance, why not?” ujar Lyn.
 
Prinsip dan pegangan hidup yang senantiasa dipegangnya dan nasihat daripada ayahnya menjadi panduan bagi Lyn dalam meneruskan kerjayanya. “Walau setinggi mana jua pangkat anda, jangan sekali-kali lupa untuk merendah diri dan baik hati terharap orang sekeliling,” ujarnya yang sangat gemarkan bunga matahari yang baginya melambangkan kekuatan diri.
 
Teks & Penyelaras AMIRA AZMAN
Pembantu Penyelaras ZUHAIRIE SAHROM
Penata Gaya AIZAT AIDID
Arahan Seni ZULKIFLI SULAIMAN
Pembantu Arahan Seni ASHURA HAKIM
Gambar AARON LEE/LENSWORK PRODUCTION
Solekan SYED FAIZAL MENGGUNAKAN MAKE UP FOREVER
Dandanan ALEA ISMAIL DAN RICK LEE DARIPADA CURLERS AND TRIMMERS MENGGUNAKAN REDKEN MALAYSIA
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2015
 
 

See also
Cara Delevingne Dianimasikan Untuk Gabrielle Chanel