Datuk Rossa Obses Membeli Rumah

Datuk Rossa Obses Membeli Rumah

rossa
 
GLAM berkumpul merakam momen-momen indah bersama Rossa atau nama penuhnya Sri Rossa Roslaina Handiyani sebagai gadis muka hadapan. Rossa hadir ke studio bersama entourage yang terdiri daripada pengurusnya, Gema Sakti dan Renny juga ditemani teman baik dari Malaysia, pereka fesyen, Amir Luqman di White Studio sejurus tiba dari KLIA. Riuh bilik solek dengan dialek seberang dan sejujurnya kami semua turut terikut-ikut akan lenggok bahasa mereka.
 
Petang itu, Rossa membimbit beg Birkin Hermes yang khabarnya baru sahaja dibeli. Berwarna kuning, kulit ostrich, tersemat lilitan skarf pada pemegang. Berserta gaun melekat ketat paras lutut membias siluetnya yang menawan, Rossa seakan tidak dimamah usia. Tubuh ramping juga awet muda, persis gadis remaja. Selain jadual kerjayanya yang padat sebagai penyanyi dan ibu, Rossa juga bergelar usahawan berjaya. Memiliki pusat karaoke famili sejak tiga tahun, syarikatnya kini berkembang pesat dengan percambahan 40 outlet di seluruh Indonesia. “Happy thoughts, power nap – that’s my exercise!” Benar katanya bila tubuh tersedia dengan 1001 kebaikan dan positiviti, minda langsung menangkap sikap positif yang disalurkan melalui tubuh. Maka hidup lebih bermakna dan makin berjaya.
 

[soliloquy id=”37412″]

 
OBSESI MEMBELI RUMAH
 
Membeli rumah dan hartanah boleh dikategorikan sebagai hobinya. Melihatnya sebagai satu pelaburan, Rossa kini mempunyai dua vila yakni di Seminyak dan Echo Beach manakala satu kondominiumnya terletak di Pecatu, Bali. Di Jakarta, Rossa menetap di Kemang. Menurutnya, dia bakal berpindah dalam masa terdekat ini. Dia membeli dan menjual rumah yang sedia ada untuk mendapatkan keuntungan. Sangat bijak mengatur kehidupan melalui pelaburan, Rossa mengakui yang kehidupan seorang penghibur tidak menjanjikan pulangan tetap apatah lagi yang berlipat ganda. Jadi, dengan pelaburan hartanah ini dapat membantu mengatur masa depan yang lebih baik untuk dia dan anaknya. Rossa yang kini sedang aktif mempelajari bahasa Mandarin dua kali seminggu, turut berkata, mempelajari bahasa asing kini antara obsesi barunya. “Walaupun ia bukanlah satu bahasa yang mudah, but I love it,” tambah Rossa.
 
Nama Rossa sememangnya tidak asing lagi di Malaysia. Sudah lebih 10 tahun dia berulang-alik membuat persembahan di sini hinggakan dia dianugerahkan gelaran Datuk daripada Tuanku Sultan Pahang di atas sumbangannya mengeratkan lagi tali persaudaraan antara kedua belah negara. Walaupun pelbagai kontroversi melanda, Rossa menerimanya dengan tenang. “Di Indonesia, saya ada mendapat gelaran Kanjeng Mas Ayu dari Istana Surakarta yang sama juga dengan gelaran Datuk dari Pahang yang saya terima tahun lalu,” ujar Rossa yang sudah menganggap Malaysia sebagai negara keduanya. “Saya berterima kasih kepada Tuanku dan bukan mudah mendapat gelaran ini dan saya amat menghargainya kerana saya satu-satunya artis Indonesia yang dipilih untuk gelaran ini. Ia suatu penghargaan besar dan saya menerimanya dengan senang hati,” jelas Rossa dengan rendah hati.
 
Selain kontroversi gelaran Datuk, saya mula menghujaninya dengan soalan cinta. Sambil tersenyum dan menarik nafas, Rossa menjawab yakin, “Yes, I’m in love every day!” ketawanya besar. “I do have someone special and I cherish every moment of it. Dia bukan public figure, hanya orang biasa-biasa sahaja. Seorang businessman. One public figure in the family is enough!” Lagaknya mahu memperingatkan diri sendiri. Bila ditanya bila akan berlangsungnya pernikahan katanya lagi, “Walaupun sudah punya teman istimewa namun tidak boleh dijangka dia adalah jodoh kita. Sebelum ada kata-kata menikah, itu belum tentu jodoh. I’ll keep myself available okay?”
 
Rossa sebenarnya lebih senang bersembang mengenai anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan, yang menjadi penawar hatinya. Jika punya kelapangan waktu, Rossa akan memasak masakan tempatan, Barat dan banyak lagi untuk putera tunggalnya itu. “Rizky adalah tulang belakang kepada kejayaan saya hingga ke saat ini.” He adores his mom. Setiap kali Rossa bergaya untuk persembahan pasti dia mula memuji-muji. Antaranya seperti, “Ah, ibu cantik sekali!” dan banyak lagi. Sebagai seorang ibu pastinya Rossa lebih mengutamakan keperluan Rizky selain memberi kebebasan kepadanya dalam melakukan apa sahaja yang diminati.
 
Teks: Nisa’ Halid
Konsep & Penata Gaya: Cheah Wei Chun
Gambar: Bustamam Mokhtar
Dandana: Olivia Ooi
Solekan: KF Bong
Penyelaras: Aizat Aidid
 
*Dipetik dari GLAM Julai 2014
 
 

POST A COMMENT