Kediaman - Sentuhan Dekorasi Sarat Motif - Page 6 of 10 - Glam Malaysia

Kediaman – Sentuhan Dekorasi Sarat Motif

Teks & Penyelaras : Shahril Hadi Halim
Arahan Seni : Afiq Khairudin
Gambar : Wan Izhar (One Digital Solution)

 

Melintasi kawasan kejiranan mewah di sebelah ibu kota, saya ralit mencari unit kediaman milik Emma. Mulanya saya menyangkakan kediaman ini milik klien yang disempurnakan pereka ini. Ternyata kediaman ini merupakan kediaman peribadi Emma sendiri.

 

 

“Ia juga bertindak sebagai ruang pamer bagi klien yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan saya. Malah mereka dapat membayangkan terlebih dahulu bagaimanakah rasa keseluruhan ruang yang ditata dengan gaya klasik Inggeris dan Eropah," kongsi Emma sejurus kami melabuhkan punggung di sofa yang terletak di ruang tamu. 

 

 

Hakikatnya ini bukanlah kali pertama kami memaparkan sentuhan Emma Khalid untuk penerbitan GLAM Deko. Namun sebelum ini kami banyak memaparkan kediaman yang dilengkapi oleh syarikat hiasan dalaman miliknya yakni My Home Gallery. Sejarah mengenai perniagaan berlaku secara kebetulan. Emma yang ketika itu bekerja dalam sektor korporat mula merencana dan melaksanakan sendiri rekaan dalaman untuk kediaman terdahulunya yang terletak di Alam Damai, Cheras.

 

Elemen Kertas Dinding

Antara keunikkan yang dapat saya perhatikan pada setiap bahagian kediaman ini adalah penggunaan kertas dinding yang menyeluruh. Emma bijak bermain dengan padanan kertas dinding dan memanipulasi setiap permukaan. Tidak terhad pada bahagian dinding sahaja, dia turut mengaplikasi kertas dinding pada siling ruang tertentu untuk menaikkan seri keseluruhan ruang.

 

"Sebenarnya sejurus saya berhenti dari kerjaya terdahulu, saya mula mengorak langkah dengan mendalami mengenai kertas dinding. Saya mengambil kursus khas berkenaan kertas dinding untuk memastikan saya benar-benar mahir sebelum meneruskan perniagaan dalam bidang ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan saya antara indivdu terawal yang menggunakan teknik pemasangan kertas dinding pada siling untuk menyempurnakan rasa klasik ruang kediaman."

 

Ruang tamu kediaman ini menampilkan penggunaan kertas dinding corak damask dalam rona pastel beige. Tumpuan pada penggunaan tona hitam sebagai penegasan seperti pada pelmet untuk langsir juga sedikit suntikan pada sofa menyeragamkan rasa pada ruang ini.

 

Definisi Ruang Berbeza

 

Bersebelahan ruang ini menampilkan ruang makan yang menampilkan paduan motif yang lebih sarat. Biarpun ruang lebih kecil, pengunaan rona hitam pada kertas dinding juga corak damask menjadi padanan menarik bersama set meja makan dalam rona kelabu. Untuk mencipta titik fokal, langsir rona lebih terang menyeimbangkan keseluruhan ruang. Candelier yang dipasang rendah dipilih dalam kemasan kristal jernih untuk mengelakkan pertembungan motif yang keterlaluan. Jelas sekali Emma mencipta keseimbangan yang baik.

 

“Rekaan sebenar kediaman ini adalah lebih kecil. Di ruang makan ini turut disertakan ruang dapur kering. Namun bagi saya ia kelihatan terlalu padat lantas saya membuat keputusan untuk menambahkan lagi ruang di bahagian dapur untuk dijadikan dapur kering, dapur basah dan ruang keluarga yang sekaligus bertindak sebagai ruang menonton. Hakikatnya ruang dapur adalah ruang kegemaran saya."

 

Slide untuk lihat gambar. 

6 of 10
Use your ← → (arrow) keys to browse

Powder room sarat dibaluti hamparan kertas dinding corak geometri dalam warna gemilang champagne.