Diari Deko - Ruang Pamer Kedua King Living di Bangsar - Glam Malaysia

Diari Deko – Ruang Pamer Kedua King Living di Bangsar

Jenama King Living telah berada di pasaran Malaysia selama dua tahun.  King Living menawarkan rekaan perabot ringkas tetapi penuh fungsi dan inovasi yang menjadi kekuatan jenama perabot berasal dari Australia ini.

Sistem modular sofa Boulevard boleh dikonfigurasi bentuk berpandukan reka pelan dan saiz kediaman.

Sejak tahun 1977, pengalaman lebih 40 tahun dalam industri perabot, jenama yang mendapat pengiktirafan oleh Australian Design House ini, mengekalkan komitmen terhadap jaminan kualiti buatan tangan dan kecemerlangan dalam reka bentuk, selain menetapkan piawaian tertinggi dalam setiap rekaan. Setiap perabot direka bentuk dengan jaminan selama 25 tahun untuk kualiti yang tahan lasak dengan keselesaan maksimum.

Sofa Boulevard tiga tempat duduk dengan aksesori meja.

Selepas mendapat sambutan baik dari rakyat Malaysia, King Living tanpa ragu melangkah yakin menerusi pembukaan ruang pamer kedua di Jalan Maarof, Bangsar. Bangunan tiga aras ini mempamerkan rangkaian sistem sofa, meja kopi, bangku, meja makan, perabot landskap luar di aras bawah dan pertama, dan di aras kedua menempatkan ajnas reka bentuk dan inovasi kamar beradu seperti katil, unit storan dan tilam.

Rekaan sofa Zaza rekaan Charles Wilson menampilkan kaki keluli yang disertakan tempat merehatkan tangan dan belakang boleh laras untuk disesuaikan mengikut keselesaan individu yang menggunakan sofa tersebut.

“Ini adalah lebih dari sekadar ruang pamer yang mana menawarkan pengalaman untuk pengguna yang tidak berkompromi mengenai gaya, fleksibiliti, ketahanan dan keselesaan abadi di kediaman,” beritahu pengasas King Living, David King yang terbang dari Sydney, Australia untuk turut serta dalam acara perasmian ruang pamer ini.

Sofa Sonata – King Living menawarkan pilihan fabrik premium dan kulit mewah sebagai kemasan atau sarung perabot. Semua sarung boleh ditanggalkan sepenuhnya, dan boleh digantikan sama ada pada satu bahagian atau keseluruhan perabot dengan penggantian profesional.

 

See also
Menu Sejuk Beku Ini Sesuai Buat Ibu yang Sibuk

Ruang pamer pertama King Living di Malaysia di pusat beli-belah IPC, Damansara.