Ilham Raya - Resipi Biskut Salami Coklat - Glam Malaysia

Ilham Raya – Resipi Biskut Salami Coklat

Eidul adha bakal menjengah tidak lama lagi, dan saya kira pasti ramai yang sudah mula merancang untuk menyiapkan juadah raya termasuklah biskut raya. Mahukan idea biskut baru, segar dan tentunya mudah dengan bahan-bahan yang mudah didapati, boleh cuba resipi Salami Coklat ilham personaliti Malaque Mahdaly. Malaque adalah isteri kepada penyanyi Syarif Sleeq dari Singapura. Wanita berdarah Indonesia ini berbakat besar dalam bidang bakery; membuat kek dan biskut, malah dia mereka dan menghias sendiri kek perkahwinannya. Malaque juga pernah menjadi penasihat menu di kafe, Kidz & Crème milik selebriti Aaron Aziz. Ibu kepada dua cahaya mata, Selma Malika dan Umar Nael ini sedang sibuk mengendalikan kiosk makanan yang beroperasi di Singapura, Chulop. 

 

 

SALAMI COKLAT

Bahan – bahan : 

300 gm biskut
150 gm mentega
200 gm coklat covertures
2 biji telur
100 gm gula
Kertas wax

Cara menyediakan : 

  1. Rehatkan mentega pada suhu bilik. Hancurkan biskut di dalam mangkuk.
  2. Cairkan coklat dengan kaedah bain marie (double boiler). Didihkan di atas air sehingga coklat cair dan kacau agar coklat tidak hangus.
  3. Pukul gula bersama mentega sehingga gebu dan ringan.
  4. Masukkan telur ke dalam adunan coklat. Pastikan suhu coklat tidak terlalu panas agar telur tidak berketul.
  5. Kemudian, masukkan coklat ke dalam adunan mentega dan gaul rata.
  6. Masukkan biskut hancur dan gaul rata.
  7. Tuang adunan ke dalam kertas wax dan gulungkan sehingga membentuk sosej. Ikat ketat di kedua-dua penghujung kertas.
  8. Bekukan di dalam peti sejuk selama dua hingga tiga jam atau sehingga biskut mengeras.
  9. Potong dan taburkan gula aising di atas biskut untuk menghidang.
See also
Bicara Deko - Rona Pilihan Dulux 2018