Heart Evangelista: Bintang Fesyen Mendunia - Glam Malaysia

Heart Evangelista: Bintang Fesyen Mendunia

Sebutkan sahaja namanya di mana-mana, pasti setiap peminat asia mengenali wanita hebat ini. Kaya dengan budi bahasa, membuatkan dirinya disenangi sesiapa sahaja. GLAM terbang ke manila untuk mendekati kepribadian Heart Evangelista.

pengarang fesyen JOHAN KASSIM pengarah seni AMIRUL ARIFIN konsep & gambar ARTU NEPOMUCENO solekan MEMAY dandanan GHIL teks AMIRA AZMAN

Perancangan sudah lama dibuat, berbulan juga saya dan pasukan editorial GLAM berbalas WhatsApp bersama pengurus kepada bintang fesyen tersohor yang juga merupakan kesayangan masyarakat Filipina ini. Awal tahun ini, kami sekumpulan terbang ke Manila dan impian kami untuk merakam wajah indah Heart Evangelista buat isu istimewa 20 tahun kami ini akhirnya menjadi kenyataan.

Sehinggalah hari yang dinanti-nantikan tiba… Heart Evangelista, bak nama dan semanis wajahnya, menyapa kami dengan cukup mesra. Saat turun dari van mewah Mercedes Benz Primera Klasse x Mark Bumgarner miliknya, sambil salam langsung berkata, “Saya akan aturkan makan malam esok untuk kita semua!”

Peramah! Begitulah impresi pertama saya saat bertentang mata dengan Heart Evangelista, ikon sanjungan rakyat Filipina. Boleh dikatakan, sepanjang hari kami asyik bergelak tawa. Bekerja dengan Heart sesungguhnya amat mudah. Dalam hati, patutlah ramai sangat menyayanginya, apa yang ditunjuk di hadapan kamera, begitulah jua personalitinya kami tontonkan off-camera.

Fashion Superwoman

Heart Evangelista

Sering melihat figura ini di minggu fesyen New York, Paris dan Milan, setiap penampilannya amat dinanti-nantikan oleh peminat di Asia. Bukan sahaja di negaranya sendiri, bahkan, di Malaysia juga, namanya meniti di bibir setiap pencinta fesyen. Mungkin ramai hari ini mengenalinya menerusi kerjaya fesyen, tetapi mungkin ada yang terlupa Heart sebenarnya telahpun mula ‘berdiri’ sebagai model komersial juga pelakon sejak usia muda.

See also
5 Negara Asia Terbaik Untuk Rawatan ‘Nose Job’

Love Marie Ongpauco-Escudero, nama sebenar diberi. Sudah berkecimpung dalam dunia bisnes seni hampir 27 tahun. “I’ve started since I was 5 years old! Seingat saya, usia saya mencecah 14 tahun adalah waktu saya mula serius aktif dalam dunia komersial dan kemudian, televisyen.”

Apabila ditanya tentang minatnya terhadap fesyen, GLAM tertarik untuk mengetahui apakah momen pertama dia mula  jatuh cinta dengan dunia ini? “Sebetulnya sewaktu saya sedang lagi merakam siri G-Mik, ketika itu saya berkenalan dengan seseorang, namanya Missy. Dia seorang yang sangat stylish dan memiliki set wardrobe yang sangat fun dan menarik. I styled myself ketika itu. Namun, melihat dia membuat saya sedar bahawa saya sudah mula jatuh cinta dengan dunia fesyen.”

Menjadikan Grace Kelly, Audrey Hepburn, Jane Birkin dan Mira Duma sebagai ikon fesyen dalam hidupnya, kami dapat melihat suntikan gaya peribadinya amat dipengaruhi oleh gaya klasik mewah seperti setiap idolanya. Walakin begitu, apabila ditanya siapakah yang paling dikaguminya di dalam industri fesyen, Heart dengan rendah diri berkongsi,

“Sejujurnya, saya amat mengagumi setiap tetamu yang menghadiri minggu fesyen. Mereka ini memberi pelbagai inspirasi menerusi estetika mereka. I love it when people are very free with the decision on how they dress up kerana saya juga begitu. Saya bergaya mengikut mood saya. Dulu saya gemar merancang, kini saya lebih bersahaja, lebih nonchalant sambil titip aura je ne sais quoi.”

See also
Twenty~4 Automatic Menggambarkan Modern Elegance Wanita Patek Philippe

Heart Evangelista

Itu apabila kita berbicara tentang cita rasa fesyen global. Terdetik hati saya untuk bertanya Heart tentang fashion scene di kota kelahirannya sendiri, Manila.

“Kami kini lebih adventurous dan punya identiti sendiri berbanding dahulu. Saya suka melihat bagaimana mereka kini lebih prihatin soal fesyen, bijak untuk berkolaborasi mengikut cita rasa sendiri. Berbeza dengan era dahulu, di mana ketika saya mula-mula di dalam industri ini, lebih mengikut kata orang kerana orang dahulu lebih konservatif.”

Saya tertarik dengan falsafah fesyen wanita ini, “YOLO. You have to live for today! Jangan simpan beg ini untuk acara istimewa sahaja. Jangan sarung barang kemas ini untuk acara penting sahaja. Berapa banyak sahaja acara istimewa itu? Kadang-kala hanya satu, bukan? Jadi, apa salahnya pakai setiap hari. Feel good about it, it’s about you, you deserved it.

Saya ajak Heart untuk berangan-angan, “Anda ada sebarang fantasi tentang fesyen?”

“Saya mahu setiap karakter dan teman-teman industri fesyen yang pernah saya bertemu dalam hidup dan menerbangkan mereka ke Manila untuk menjelajahi kota saya langsung mengadakan parti terbaik untuk mereka!”

Mengidamkan Ketenangan Masa Lapang

Heart Evangelista

Sold out visual artist! Seperti umum sedia tahu, bukan sahaja aktif di dalam dunia fesyen, dia juga punya bakat hebat dalam dunia seni lukis. “Bapa saya seorang peminat dunia seni, maka secara tidak langsung saya turut didedahkan pada dunia ini semenjak kecil. Ingat lagi sewaktu kecil, saya selalu menemaninya duduk bersantai sambil menikmati kopi dan menonton pelukis melakar kanvas mereka. Dahulu pun, saya gemar menconteng dinding rumah, emak akan marah. Namun, ayah pasti membalas, let her be!,” gelak Heart.

See also
Scha Alyahya: Kebahagiaan Menjadi Ibu

Pasti ada pelbagai kenangan indah. Memori manis yang tidak dapat dilupakan Heart, apabila setiap kali dia mengadakan pameran lukisannya. Terutama sekali, apabila dapat keadaan sibuk, dia mampu menyiapkan 12 hingga 20 lukisan dengan pelbagai perincian. Itu adalah salah satu pencapaian yang manis buat dirinya.

“Saya mahu mengembalikan momen itu. Tidak dilupakan, antara kenangan yang paling manis dan akan saya ingat hingga bila-bila, apabila saya pernah mencabar diri untuk melukis di atas kanvas luar biasa, beg Birkin. Ia bukanlah sesuatu yang mudah buat saya.”

Walau pertemuan kami hanya beberapa hari, saya sudah dapat melihat bahawa wanita ini sememangnya sangat aktif bekerja dan suka menyibukkan dirinya dengan kerja. Tertarik untuk saya tanyakan tentang masa lapang. “Saya sangat sibuk, dan jika saya punya masa lapang sejujurnya saya hanya mahukan sesi urut badan dan tidur yang cukup untuk kosongkan minda saya. Bayangkan jika tidak rehat, hidup saya memang sentiasa on-the-go.”

 

Baca lanjut kisah Heart dengan mendapatkan majalah GLAM Mac 2024 Edisi Istimewa Collector’s Issue atau langgan secara online di sini.