Datin X: Cinta Ke Hujung Nyawa?

Datin X: Cinta Ke Hujung Nyawa?

DatinX8Gambar: Arkib GLAM

 
Datin X percaya hampir setiap orang daripada kita, sebelum berkahwin dengan pasangan kita hari ini, kita pernah bercinta dengan orang lain. Bercinta bagai nak rak. Tapi sebab tiada jodoh, tidak sempat untuk merasa sampai naik ke jinjang pelamin. Itu satu episod yang kita akan simpan jauh-jauh dalam hati. Terkadang itu, di usia senja sebegini, kita pasti akan terusik sedikit kala teringatkan kisah lama zaman muda. Dengan harapan anak-anak kita tidak akan lalui apa yang kita lalu, dan tidak akan dapat tahu apa yang ibu bapa mereka pernah lakukan dulu.
 
Di sini, Datin X bukan nak jemput pembaca kembali korek cerita lama, tapi saja mahu berkongsi mengenai cerita seseorang ini yang masih tidak mahu mengalah, terus mempertahankan cintanya walaupun umur sendiri sudah separuh abad; walaupun kekasihnya si Datuk Seri tu pun dah beranak cucu!
 
Dulu Datin X selalu mendengar gosip mengenai seorang ahli politik ini yang kononnya ada teman wanita yang dijaganya sejak zaman muda sampailah sekarang. Gosip tinggal gosip. Tapi Datin X tak sangka pula yang orang yang dimaksudkan itu sebenarnya selama ini tinggal satu taman dengan Datin X!
 
Eh, Datin X memang kenal sangat dengan jiran tetangga. Akan tetapi, tidak pula Datin X tahu ada yang salah satu jiran ini, anak perempuan mereka baru sahaja pindah masuk untuk tinggal bersama. Datin X hanya mengenali orangnya by reputation. Nak menegur, Datin X agak segan kerana orangnya nampak tak berapa mesra alam. Tapi adalah juga Datin X beranikan diri menyapanya buat-buat tanya khabar ibu, sementelah terserempak di pasar basah. Dari hanya sekadar berbalas senyuman dari jauh, suatu hari dia menegur Datin X ketika sedang pam minyak di stesen petrol. “You free tak? Jom kita ke Coffee Bean seberang jalan? Sembang-sembang. I’m so bored lah!” Datin X okey saja!
 
Baru saya tahu yang Elly ini janda. Untuk wanita berusia 50 tahun, dia masih cantik. Pintanya, mahu duduk minum kopi di bahagian luar. Mahu ambil angin sambil hisap rokok katanya. Elly orangnya bertudung gaya bonggol unta but she smokes like a chimney. Datin X dapat rasakan yang wanita ini menyimpan seribu satu rahsia. There’s more about her than meets the eyes.
 
Elly nampak sombong, tapi sebenarnya amat ramah. Dia bercakap seperti bertih jagung. Alasannya pindah masuk bersama ibu bapa sebab kononnya sunyi kerana anak lelaki tunggalnya baru masuk kolej. Perkenalan yang singkat namun Elly sudah mulai bercerita mengenai segenap inci kehidupannya. Dari masalah rumahtangga hingga ke apa menu makan malam nanti, semuanya ingin dia kongsi. Entah mengapa. Mungkin Elly benar-benar tiada siapa lagi untuk mengadu. Datin X menadah telinga dalam pada menyimpan simpati.
 
Cara Elly bersembang, sepertikan dia masih bersuami. Dia cerita pasal pasangannya, si Datuk Seri itu tadi. Katanya, dia isteri kedua. Tapi suaminya amat jarang bertemu dengannya atas alasan kerja. Berderau darah Datin X bila Elly menyebut nama suaminya. Beberapa kali Datin X minta dia ulang nama penuh Datuk Seri itu. Oh, biar betul! Ingatkan selama ini sekadar urban legend… rupa-rupanya memang kisah benar rupanya!
 
Bila perbualan semakin rancak, Elly mula bercerita dengan penuh terperinci. Beritahunya, mereka mulai saling mengenali sewaktu dia berkerja sebagai salah seorang kebaya girls di salah sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Datuk Seri waktu itu masih muda, sudah berkahwin tapi cukup persistent mahu mengoratnya. Tak mahu pulang selagi Elly tidak datang melayaninya. Dari hanya usik-mengusik, perasaan cinta turun ke hati. Kata Elly, mereka bernikah tanpa pengetahuan Datin Seri. Selepas beberapa tahun berkahwin, mereka akhirnya dikurniakan cahaya mata lelaki yang kini sudah masuk kolej. Tapi sebab nak menjaga kedudukannya dan nama baik keluarga, Elly terpaksa hidup di bawah bayang-bayang. Lebih sedih apabila anak sendiri terpaksa diajar ‘berlakon’ dari kecil untuk tidak mendedahkan identiti sebenar bapa.
 
Datin X sekadar mengangguk. Tapi itu versi Elly. Tapi versi orang yang sumbernya memang boleh dipercayai, Datuk Seri dan Elly tidak pernah berkahwin tapi memiliki anak luar nikah. Waktu itu, khabar angin bertiup kencang tetapi gosip tinggal gosip kerana tiada bukti kukuh. Maka tinggallah Elly dan anak lelakinya, hidup dalam sangkar emas dengan pergerakan terbatas. Walau tiada ikatan halal, hubungan mereka berterusan bak suami isteri lebih 30 tahun. Sewaktu Elly berbadan dua, khabarnya dia pernah berkahwin dengan seorang pak turut. Tapi bercerai selepas anak itu dilahirkan.
 
Elly hari ini hidup serba senang. Selepas bersalin, dia tidak pernah lagi berkerja. Cuma tunggu duit yang Datuk Seri bank in setiap bulan. Tapi bila memilih kawan, dia terpaksa berpada-pada. Manalah tahu kalau-kalau ada yang berpaling tadah dan buka cerita. Tapi Datin X sedih mengingatkan nasibnya. Elly sudah separuh abad. Sampai bila mahu menyorok? Datin X rasa jiwanya meronta mahu bebas tetapi di usia sebegini, mungkin dia rasa sudah terlambat.
 
Teringat pula Datin X kepada Datin Seri. Orangnya sederhana dan baik hati pula. Pernah dulu datang bertandang ke rumahnya, dimasakkan lauk-pauk hasil air tangan sendiri untuk santapan tetamu. Kasihan pula Datin X mengenangkannya. Tapi inilah kehidupan. Orang baik-baik memang selalunya dugaan yang mendatang hebat-hebat.
Tak berapa lama dulu, Datin X ada pergi ke majlis resepsi anak sulung Datuk Seri itu. Ada jumpa anak lelakinya yang sedang menuntut di kolej. Tiba-tiba hati ini terdetik, apakah budak itu anak Elly? Eh, jangan mula buat tanggapan yang bukan-bukan! Kasihan budak tak berdosa menjadi mangsa kebodohan ibu bapa.
 
 

See also
Selebriti Best Dressed Malam Surrealist Most GLAM 2018