fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Seamaster Olimpik Tokyo 2020
The Exceptional Lady
Jalinan Seni Antara Hublot Dan Takashi Murakami
DIAL UP! Gaya Ameera Khan berkilau mewah dengan Franck Muller Round Skeleton Baguette 31
Omega Menambah Variasi Baharu Buat Koleksi Speedmaster 38 mm
Home > GLAM Plus > GLAM Horologi > Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Di WATCH ART Grand Exhibition Milan 2026, Patek Philippe mengajak pengunjung menyelami dunia horologi yang menjadi nadi legasi jenama ini serta mempamerkan 2 karya agung iaitu jam poket “Burano” Ref. 992/193J-001 serta jam meja berkubah “Sicilian Oranges” Ref. 20179M-001.

Patek Philippe, sebuah empayar mewah yang mewarisi tradisi horologi agung Geneva sentiasa mengutamakan usaha berkongsi kecintaan terhadap seni pembuatan jam tangan mewah, termasuk menerusi penganjuran pameran eksklusif. Sejak memperkenalkan konsep Grand Exhibition kepada umum 14 tahun lalu, Patek Philippe membuka peluang kepada pengunjung untuk mendekati dunia horologi mereka secara lebih intim. Dengan kemasukan percuma, pameran ini mengetengahkan hasil ciptaan, warisan, falsafah serta kepakaran luar biasa yang menjadi tunjang kepada jenama ikonik tersebut. Bagi edisi ketujuh Grand Exhibition yang dianjurkan di seluruh dunia, Patek Philippe memilih Itali. Bermula 2 hingga 18 Oktober 2026, orang ramai serta peminat dunia jam tangan berpeluang menyelami legasi satu-satunya pengeluar jam tangan mewah milik keluarga yang masih berdiri bebas di Geneva. Sebagai pameran terbesar pernah dianjurkan oleh jenama itu, acara berprestij ini turut menyaksikan pelancaran beberapa edisi terhad serta himpunan timepiece luar biasa yang jarang dipertontonkan kepada umum.

Menyingkap Dunia Patek Philippe

Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Edisi di Itali ini akan berlangsung di CityOval, dahulunya dikenali sebagai Palazzo delle Scintille. Sebagai mercu tanda bersejarah terakhir di kawasan tersebut, bangunan ikonik ini telah melalui proses pengubahsuaian menyeluruh sebagai sebahagian daripada projek pembaharuan bandar. Dibahagikan kepada 15 ruang bertema, setiap sudut menawarkan pengalaman yang membawa pengunjung menyelami dunia Patek Philippe secara menyeluruh, termasuk meneroka 3 lokasi paling ikonik jenama itu di Geneva iaitu ibu pejabat bersejarah di Rue du Rhône, fasiliti pembuatan di Plan-les-Ouates serta Muzium Patek Philippe.

Ciptaan Yang Mengangkat Legasi Horologi

Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Patek Philippe WATCH ART Grand Exhibition Milan 2026 bakal menghimpunkan sekitar 500 jam tangan dan objek istimewa yang mencerminkan kepakaran seni horologi jenama ini. Pengunjung berpeluang menyaksikan keseluruhan koleksi semasa Patek Philippe, daripada rekaan ikonik hinggalah kepada ciptaan berkomplikasi tinggi. Turut menjadi tarikan ialah koleksi Rare Handcrafts yang menampilkan 27 timepiece luar biasa, termasuk jam meja berkubah, jam poket dan jam tangan yang dihasilkan menerusi pelbagai teknik seni halus seperti enamel cloisonné, ukiran tangan, micro wood marquetry, guilloché dan tatahan batu permata. Antara karya yang menjadi sorotan adalah jam poket “Burano” Ref. 992/193J-001 serta jam meja berkubah “Sicilian Oranges” Ref. 20179M-001, dua ciptaan unik yang mempamerkan kehalusan seni enamel dan pertukangan tangan Patek Philippe.

Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Pameran ini turut membawakan lebih 90 timepiece daripada Patek Philippe Museum di Geneva, merangkumi koleksi antik dari abad ke-16 hingga awal abad ke-19 serta himpunan yang menelusuri legasi jenama itu. Antara karya yang dipilih khas untuk edisi Milan ialah jam poket milik Raja Umberto I dari Savoy bertarikh 1897, jam poket yang dihasilkan khusus untuk pasaran Itali sekitar tahun 1830 dengan kemasan enamel champlevé, serta World Time Ref. 1415 HU keluaran 1948 yang menampilkan 41 lokasi mewakili 24 zon waktu dunia.

Mengungkap Rahsia Di Sebalik Setiap Koleksi

Mengembara Ke Alam Patek Philippe Di WATCH ART Milan 2026

Sebuah ruang khas turut didedikasikan kepada koleksi chiming watches, antara kepakaran paling ikonik Patek Philippe, menerusi galeri bertemakan “Master of Sound”. Di sini, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi secara langsung oleh pembuat jam tangan mahir Patek Philippe yang memperlihatkan ketelitian di sebalik pelbagai mekanisme pergerakan jam. Selain itu, satu lagi ruang pameran menghadirkan himpunan movements yang direka dan dihasilkan sepenuhnya oleh Patek Philippe, lengkap dengan bahagian khas yang menerangkan proses penghasilan setiap komponen serta usaha penyelidikan dan pembangunan yang menjadi nadi inovasi jenama horologi ini. 

Artikel berkaitan: GLAM Kongsi Jam Perlu Miliki Buat Peminat Horologi