Datin X Privilege Flaunting Di Era Coronavirus

Datin X : Privilege Flaunting Di Era Coronavirus

Terfikir-fikir Datin X sampai sukar mahu melelapkan mata mengenangkan nasib dunia masa kini. Restless, sleepless. Dunia kini seakan merajuk dan kian jauh berubah berbanding seminggu yang lalu. Hampir seminggu duduk di rumah akibat kuarantin dek kerana Coronavirus, nak pecah kepala tak tahu apa lagi nak buat. Rutin sama setiap hari sejak lockdown – masak, kemas rumah, masak, tidur. Adalah senaman sikit-sikit tapi Datin X rasa lebih banyak lagi masa duduk bersama telefon pintar di tangan sampaikan dah tidak tahu apa lagi yang mahu ditonton atau dibaca. Bagaimanakah agaknya kalau kuarantin ini berterusan sampai setengah tahun? Oh, Datin X rasa boleh jadi gila dibuatnya!

Dalam pada kita mengeluh risau mengenai hari-hari yang mendatang, kita lupa yang situasi ini sebenarnya suatu rahmat pada kita semua. Kalau dulu, keluarga kita jarang dapat duduk makan semeja, hari ini kita boleh menikmati sarapan, makan tengah hari, makan malam bersama-sama seisi keluarga. Kita ada banyak kelapangan untuk memperbaiki amalan yang selama ini kita ringankan akibat ketamakan mengejar dunia. Minyak petrol dan tiket penerbangan semakin murah, tapi kita tak boleh nak drive atau fly ke mana-mana. Betapa Datin X rasa, Allah turunkan bala wabak ini mungkin ada kebaikannya apabila dunia seakan-akan reset dengan sendirinya. Maksiat, jenayah, pencemaran… semuanya jauh berkurangan. Namun begitu, Datin X sedih sangat tatkala melihat gambar-gambar di Mekah dan Madinah yang terpaksa dikosongkan. Oh, semoga kita semula terus berada di dalam peliharaanNya!

Datin X

PRIVILEGE FLAUNTING DI ERA CORONAVIRUS

See also
Rangkaian Stail Karpet Merah MTV Video Music Awards 2017

Di kala rakyat jelata gigih mengharungi cabaran harian untuk meneruskan kehidupan, sebilangan daripada kita nampaknya tidak berfikir panjang dan kurang sensitif di laman media sosial. Kalau mahu diberikan contoh, teramat ramai. Ya, memang ramai juga yang berhati mulia memberi pelbagai jenis sumbangan namun dalam masa sama mereka juga agak ignorant. Memang kamu semua mewah, duit tak habis dan keluarga semua serba serbi cukup segala. Melainkan akaun media sosial kamu itu diletak di bawah mode private, usahlah terlalu menunjuk-nunjuk kesenangan dunia. Kerana ramai lagi orang kebanyakan yang tidak mampu, tidak tahu bagaimana lagi mahu diteruskan hidup apabila perintah berkurung dilaksanakan maka terhentilah juga punca pencarian.

Bayangkan anak-anak mereka yang serba kekurangan, tidak lagi dapat ke sekolah manakala anak-anak yang berada, terus menuntut ilmu secara atas talian bersama guru-guru sekolah swasta. Bagaimana mahu membayar sewa rumah di hujung bulan, mahu bayar bil-bil semasa dan bagaimana pula mahu membayar hutang-hutang lain yang tertunggak? Paling utama, nak bagi anak-anak makan apa kalau kocek mulai kering? Maka seelok-eloknya bagi kita yang serba ada, usah ditambah kerunsingan mereka yang serba tiada. Kita kalau syarikat bankrap sekali pun, wang masih ada dan keluarga tetap makan seperti biasa. Bayangkan golongan bawahan yang masih menagih gaji bulanan dan wang jualan seharian. Oh, tidak dapat Datin X bayangkan!

See also
Nadiyah Shahab Tamat Pengajian Setelah 7 Tahun

Datin X terpanggil untuk membincangkan topik ini apabila terbaca di laman sosial media antarabangsa yang rata-rata menghentam sesetengah selebriti dan orang kenamaan yang kurang peka dengan kesusahan sebahagian besar masyarakat dunia yang kini berhadapan dengan wabak. Self quarantine di dalam rumah agam lengkap pakar perubatan membuat saringan eksklusif. Yes, this is what privilege looks like in the age of Coronavirus. Dan Datin X juga ada rasa bersalah kerana sebelum tersedar, Datin X sama sibuk muat naik entah segala macam isi rumah untuk tontonan di media sosial. Sedang anak-anak gembira terjun mandi dalam kolam renang di halaman rumah, ada anak-anak yang terpaksa duduk memerap di rumah tanpa penghawa dingin. Kita sendiri pun di kala bahang panas membakar, selangkah dua di luar terus berlari masuk rumah kembali.

Dalam keadaan terdesak, sesetengah daripada kita, dalam luar sedar bertukar riak. Ada kawan Datin ni, sibuk sangat meminta teman-teman muat naik gambar wardrobe masing-masing. Kononnya challenge mahu declutter baju, beg dan kasut. Lepas itu, faham-faham sajalah…segala jenis Hermes dan Chanel keluar. Masing-masing mula menayang segala macam harta karun dalam almari, ada yang belum pun dikeluarkan dari kotaknya lagi. Siap buat IG Live! Datin X tengok, barisan kasut-kasut Manolo Blahnik sama jenis tapi lain warna…hmm, sepasang RM7,ooo. Di waktu darurat sebagaimana sekarang ini, tidak perlulah nak menunjuk sangat. Nilai sepasang kasut boleh bagi tiga isi rumah makan. Dalam hati Datin X tertanya-tanya, tak malukah pada diri sendiri? Kasihan pada suami dan anak-anak apabila isteri dan ibu mereka menjadi hamba kepada material. Alhamdulillah jika kehidupan kita diselimuti kesenangan namun itulah dugaan sebenarnya kerana di sini kita diuji dengan apa pula peranan kita dalam menyantuni mereka yang kurang bernasib baik.

See also
Beg Mesti Miliki: Dekati Valentino Garavani One Stud

Dengan keadaan dunia yang semakin tenat, Datin X juga rasa tidak perlulah kita terlalu berlebih-lebih apatah lagi bermegah-megah. Yang umur tak berapa nak muda tu, hentikanlah dari berTik Tok. Ini ialah masanya untuk kita mendekatkan diri dengan Sang Pencipta. Memang kita bukan orang baik-baik, namun cubalah sedaya upaya untuk menjadi orang yang lebih baik. Allah turunkan wabak sebagai peringatan akan kekhilafan kita sebagai manusia, mengingkari perintahNya. Sudah sampai masanya kita reset diri sendiri. Perbaiki solat dan gandakan iman serta perbaiki hubungan kita dengan sesama manusia tanpa mengira kaum, bangsa dan darjat. We are all in this together.