Korner Mak Datin: Wanita Ugut Datin Seri Nekad Mahu Rampas Suami

GLAM Life, Korner Mak Datin

Korner Mak Datin: Wanita Ugut Datin Seri Nekad Mahu Rampas Suami

957

KornerMakDatin

*Seperti  yang diceritakan kepada Anna Freda
 
Saya bingung! Datin Seri Salina masih mengadu kepada saya itu dan ini. Saya pula setia mendengar tetapi dalam keadaan bingung memikirkannya. Agak lama saya mahu menghadamkan sebuah kisah baru dikongsi kepada saya. Macam tak percaya pun ada. Baru semalam saat menonton sinetron, watak antagonis dilihat sebagai dongengan. Betapa mengadanya perempuan itu berkomplot mahu merebut sang hero. Banyak onar dibuat demi memenuhi kehendak hati. Tidak pula saya menyangka kisah seperti itu wujud secara realiti. Semua itu gara-gara mendengar kisah gila seorang wanita pertengahan usia yang psiko.
 
Dua bulan lalu, Rina bekerja disebuah syarikat perbankan di ibu kota. Dia wanita yang boleh dikatakan kurang dari segi rupa paras. Begitupun memiliki kepintaran dalam kira-kira. Dia lantas mendapat kepercayaan menjadi salah seorang pegawai di situ. Kelebihan Rina tentunya dapat masuk ke dalam akaun pelanggannya dan memeriksa butiran pendapatan mereka secara terperinci. Rupa-rupanya dari situlah dia memilih lelaki untuk didekati dengan berniat mahu bernikah dan hidup senang lenang.
 
“Saya mahu mengemaskini buku kewangan saya,” ujar Bakri di kaunter kepada salah seorang kakitangan. Rina di meja belakang memerhati peribadi Bakri penuh minat. Orangnya kelihatan lurus, pasti mudah digoda kelak. Pakaiannya kemas dan mahal-mahal belaka, semestinya usahawan atau anak orang berada. Setelah mendapat butiran daripada kakitangan bertugas, Rina mula menjejaki Bakri. Lelaki itu memang anak orang berada dan memiliki bisnes sendiri. Perniagaannya meliputi Negara Eropah juga. Sudah beristeri dan punya dua anak. Namun, dia tidak peduli semua itu kerana hatinya sudah bulat terpaut kepada Bakri.
 
“Hello!”
 
“Hello Datuk Bakri, saya Rina daripada #[email protected]% membuat panggilan ini untuk urusan insuran. Saya mahu tawarkan pakej pinjaman terbaru untuk jaminan perniagaan encik.”
 
“Maaf! Saya tak berminat…”
 
“Datuk Seri Bakri jumpa saya sekali je, dengar penjelasan saya dan kalau tidak sesuai dengan encik Bakri, tak apa.”
 
Bijak sungguh Rina bermain kata sehingga akhirnya Bakri memberi peluang mereka bersua muka. Rina pada awalnya menerangkan serba sedikit mengenai pakej pinjaman tetapi berakhir dengan soal-soal peribadi. Saat ini Rina beramah seperti kebanyakan wanita normal lain. Siapa sangka tingkah Rina seterusnya diluar batas. Bakri juga tidak pernah menjangkakan pertemuan hanya sekali itu akan menghantui dirinya sampai kini.
 
Rina ternyata bijak mengatur strategi. Dia tidak memandu hari bertemu Bakri. Sebaliknya buat-buat gelisah temannya tak dapat datang menjemputnya. Dia meminta pertolongan Bakri menghantarnya pulang. Sebagai lelaki budiman, Datuk Seri semestinya tidak sanggup menolak dan menyuruh seorang wanita menaiki teksi. Dia lantas menumpangkan Rina sehingga ke rumah. Sememangnya Datuk tidak mengesyaki apa-apa. Sehinggalah Rina memulakan langkah pertamanya.
 
“Hello Datin Seri. Mengelamun jauh nampak. I tanya ni, you dah buat laporan polis ke?” soal saya memetik jari juga.
 
Bagaikan baru tersedar daripada lamunan, Datin Seri Salina angguk. Sebetulnya sudah pelbagai cara dia lakukan namun tak dapat juga menyingkirkan Rina. Lantas Datin Seri mengambil keputusan berkongsi kisahnya ini kepada saya. Ceritanya lagi, pada suatu malam, saat azan Maghrib berkumandang, telefon bimbit berdering. Dalam hati Salina mengutuk, siapakah gerangan pemanggil kurang sensitif dengan waktu solat ini. Lantas dia menjawabnya dan kedengaran suara perempuan dicorong telefon bimbit mengajaknya bertemu. Katanya ini persoalan mengenai Bakri dan dirinya sendiri.
 
“Bila nak jumpa?”
 
“Sekarang! Saya ada di depan rumah Datin Seri,” ujar Rina gelojoh bunyinya.
 
“Maaf. Saya nak solat dulu.”
 
“Saya tunggu.”
 
Betapa tak malu muka prempuan yang memperkenalkan dirinya sebagai Rina ini. Usai solat, Salina pergi mendapatkan Rina di depan rumah. Mereka sekadar berbual-bual di luar pagar rumah. Memang tidak beradab namun hendak mempelawa perempuan itu masuk dia baru sahaja kenal seminit lalu. Takut pula perompak atau pembunuh bersiri. Saya sangat sokong dengan tindakan Salina itu. Penjenayah lelaki atau perempuan sekarang sama sahaja.
 
“Saya mahu meminta izin Datin berkahwin dengan Datuk Seri. Kami saling mencintai,” ujar Rina berani mati lagi selamba.
 
“Apa awak cakap ni?”
 
“Ini gambar kami berdua keluar berdua.”
 
“Apa?” soal Salina terkejut dengan pengakuan itu.
 
“Macam ni lah. Beri saya masa berbincang dengan Datuk Seri.”
 
Salina malam itu juga menyelidik suaminya sebaik sahaja suaminya pulang kerja. Bakri bingung memikirkan siapakah perempuan yang mengaku sebagai kekasihnya. Setelah pasti ianya Rina, Bakri begitu marah sekali. Dia lantas bercerita kisah pertemuan mereka sehari itu. Memang ada gambar diambil Rina dalam kereta tetapi dia tak pernah ambil pusing.
 
“Betul Salina, dia tu macam tak betul. Masakan sehari jumpa dah mengaku saya kekasih. Malah hendak meminta izin awak berkahwin. Gila.”
 
“Dia tahu alamat rumah kita. Dia kemari tadi.”
 
Datin Seri Salina percaya dengan suaminya. Saya pun percaya dengan Datuk Seri. Sepanjang mengenali Datuk Seri, dia bukan lelaki jenis itu walaupun mampu. Orangnya sangat pendiam dan tidak beramah dengan perempuan melainkan soal-soal bisnes. Setelah selesai berbincang dengan sang suami, lantas Salina meneruskan rutin harian sehinggalah menerima satu lagi panggilan. Kali ini Rina semakin berani kerana membuat pengakuan di luar jangkauan.
 
“Beginilah. Setakat satu gambar tu saya tak akan termakan dengan penipuan awak.”
 
“Kami dah terlanjur Datin Seri,” ujarnya cepat-cepat.
 
“Kalau macam tu tunjukkan bukti. Gambar atau apa. Kalau tak jangan ganggu saya.”
 
Geram betul saya mendengar cerita Salina. Imejan perempuan gatal dalam drama sinetron itu rupa-rupanya wujud. Dia ini memerangkap lelaki kaya yang diselidiknya menggunakan kelebihan kerjayanya di syarikat perbankan. Kalau bertujuan mahu memikat lelaki bujang tak kisah, atau cinta tidak bertepuk sebelah tangan memang suami orang tu miang. Ini soal hubungan yang tak pernah terjalin tetapi hanya berhalusinasi Datuk Seri itu kekasihnya. Memang dia jenis perempuan psiko lagi menakutkan.
 
Setelah itu hampir setiap hari Rina mencari Salina. Bermacam-macam cara dilakukan untuk mendapatkan sokongan Salina. Bermacam-macam kisah juga diceritakan untuk menyakitkan hati Datin dengan harapan pasangan sahabat saya itu berpisah. Keadaan semakin melampau apabila bicara Rina sudah menjadi ugutan mengerikan.
 
“Kalau kami tidak berkahwin dalam waktu terdekat, anak-anak Datin akan terima padahnya.”
 
Saya lantas menyarankan Datin Seri  segera membuat laporan polis. Bimbang juga kalau-kalau ugutan itu benar. Kalau dah melibatkan orang gila seperti itu, macam-macam mereka mampu buat. Usai berbincang, kami mengucapkan selamat tinggal. Seharian itu saya berfikir mengenai kisah perempuan psiko yang terdesak mahu kahwin dengan suami orang yang bukan kekasih dia pun. Saya masih kurang percaya wujudnya orang seperti ini. Ingin benar melihat wajah wanita perasan itu tapi menurut Salina, kalau cantik tu selera juga dia nak buat madu. Saya geli hati dengan pengakuan Datin Seri itu.
 
Seminggu berlalu saya lantas dikejutkan dengan berita Salina masuk wad di hospital swasta. Saya bergegas ke kamar sakit menziarahinya. Simpati sungguh dengan Datin Seri yang kian susut berat badannya. Saya menasihati Datin agar tidak ambil pusing mengenai perempuan itu. Tapi ternyata Rina sudah melampaui batasan.
 
“Dia rupa-rupanya punya ekses nombor telefon semua orang sekeliling kami. Rakan perniagaan Bakri juga jadi mangsa.”
 
“Apa dah dia buat?”
 
“Dia telefon rakan perniagaan Bakri dan menjual cerita sama. Malunya kami.”
 
“Dia gila ke apa? Datin Seri dah laporkan hal ni ke pihak polis kan?”
 
“Sudah!”
 
Lega sikit saya mendengarnya. Mujurlah teman perniagaan Bakri tidak termakan dengan kata-kata Rina. Dasar perempuan gila mengaku kekasih datuk kepada teman Bakri itu. Satu lagi ugutan dibuat, dia mahu memastikan perniagaan Datuk Seri gagal andai hasratnya tidak dipenuhi. Dia memang terdesak mahukan Datuk Seri. Misi dan visi utamanya memang itu. Nampaknya Rina nekad dengan cara apa sekalipun.
 
Bakri sendiri sudah hilang sabar. Padahal dia lelaki pendiam yang hanya kedengaran suaranya pabila perlu sahaja. Bakri ditemani rakan perniagaannya pergi ke tempat kerja Rina. Berlaku pergaduhan besar di situ apabila Datuk Seri memberi amaran agar Rina tidak lagi mengganggu hidupnya. Entah mengapa ringan saja tangan Datuk Seri menampar pipi Rina. Sebaliknya Rina begitu tenang dan menghampiri Bakri.
 
“Awak tak marah kan? Awak stress ni… awak stress,” ujarnya dalam nada memujuk.
 
Bukan sahaja Bakri, teman perniagaannya itu juga sepertinya tidak percaya melihat keletah Rina itu. Lantas mereka memindahkan semua akaun bisnes ke syarikat perbankan lain. Dia takkan percaya lagi dengan tempat ini yang terlepas pandang mengupah pekerja gila seperti Rina. Dia sendiri tidak menyangka diri diperangkap sebegitu rupa. Hanya dengan satu panggilan dan satu pertemuan urusan kerja.
 
Ketika Salina sudah pulang ke rumah dan kelihatan agak sihat, kami duduk berbincang mengenai isu ini. Lantas saya menyarankan mencari gali maklumat peribadi Rina untuk dijadikan senjata membalas semula perbuatannya. Salina setuju lantas meminta pertolongan kenalannya mencari maklumat lengkap mengenai Rina. Satu fail diperolehi dan kami sangat berpuas hati dengannya.
 
Rupa-rupanya sudah sekian lama dia menjalankan perbuatan keji ini. Telah banyak lelaki kaya cuba didekatinya. Nampaknya semua gagal lantas mungkin jalan ini dijadikan senjatanya terbaru setelah gagal berkali-kali. Saya kemudian meminta Duan, mekap artis kegemaran saya datang ke rumah Salina. Lantas menyuruh Duan menyamar sebagai orang bertanggungjawab daripada syarikat induk tempatnya bekerja. Saya berpendapat perempuan psiko begitu harus dipsiko balik dengan cara sama.
 
“Hello! Saya buat panggilan dari syarikat $*@# mahu bercakap dengan cik Rina.”
 
“Ya, saya.”
 
“Saya menerima laporan mengatakan awak telah mengganggu pelanggan syarikat di luar bidang kerja. Pelanggan terbabit telah membuat laporan polis dan pihak polis sedang membuat siasatan. Saya nak awak beri kerjasama untuk datang untuk soal siasat lanjut.”
 
Ternyata rancangan kami itu membuahkan hasil. Telah seminggu Rina tidak lagi tinggal di rumahnya, tidak muncul di tempat kerja dan menghilangkan diri begitu sahaja. Hidup Salina bagaikan aman tetapi masih berhati-hati kerana orang gila seperti itu ditakuti muncul menggunakan kaedah lain pula. Datuk Seri pula disuruh berhati-hati takut nanti jatuh ke dalam perangkap Rina.
 
Begitulah rencah kehidupan Bakri yang memiliki harta di dalam dan luar negara. Dia agak serik hendak mempercayai orang kini. Bagaimana dia harus menyimpan segala harta dan eset sekiranya ada orang seperti Rina yang tidak bertanggungjawab itu. Salina pula lebih memberikan kawalan ketat kepada anak-anak. Ugutan sebegitu tidak boleh dipandang enteng. Dia juga telah membuat laporan polis dan memberi maklumat peribadi Rina kepada pihak berkuasa.
 
Walaupun Rina tidak muncul, Datuk Seri dan Datin Seri sekeluarga fobia dengan kejadian itu. Lantas Bakri mengupah penyiasat persendirian untuk mencari tempat persembunyian Rina. Mereka juga mahu kepastian Rina tidak akan kembali mengganggu keamanan rumah tangga mereka. Mereka tidak boleh terlalu selesa dengan kehilangan perempuan itu.
 
Saya lega melihat Salina berseri-seri disebuah acara. Dia tidak lagi berkurung di rumah dan menyimpan perasaan sendiri. Saya bangga dengan cara Datin Salina mengatasi masalah ini. Dia tidak mudah melatah. Saat gambar ditunjukkan, Salina secara diplomasi meminta gambar dan ingin pulang berbincang. Saya pasti kalau wanita lain ditempat Datin Seri, semestinya wanita itu diamuk. Malah, suami juga akan jadi mangsa herdikan.
 
Kepada wanita-wanita yang dahagakan lelaki berharta semoga mengambil iktibar. Setiap perbuatan perlu ada batasan. Perlu mengikut rasional bukan emosi terdesak seperti Rina. Bercita-cita tinggi mahu lelaki bangsawan tidak salah. Tetapi harus sedar juga, jodoh pertemuan ajal maut adalah ditangan yang Maha Esa.
 
 

Your email address will not be published. Required fields are marked *