Korner Mak Datin: Akibat Berebut Harta Tan Sri, Anak-Anak Bermasam Muka

Korner Mak Datin: Akibat Berebut Harta Tan Sri, Anak-Anak Bermasam Muka

shah CELINEGambar: Arkib GLAM

 
*Seperti yang diceritakan oleh Datin Iza kepada Datin Julia
 
Barangkali bagi orang seperti saya yang hanya memiliki kebun sekangkang kera atau emas permata seutas dua, isu harta pusaka atau wasiat tidak akan timbul. Malah, kalau ditolak zakat dan infak, ditimbang hutang dan tanggungan, saya kira tiada yang tinggal untuk menghibahkan (hadiah) kepada anak-anak yang segerabak ramainya. Justeru, acap kali saya mengingatkan anak-anak, “jangan dikejar harta yang sedikit sebaliknya galilah ilmu dan iman sebanyak mungkin. Dengan ilmu dan iman kamu akan menjadi kaya. Tanpanya, kamu adalah orang yang paling papa.” Moga mereka faham dan berusaha mencari ilmu dan memantapkan iman, agar satu saat nanti kekayaan yang dimiliki tidak digenggam dalam hati seperti al-kisah keluarga Tan Sri yang baru dua minggu selamat dikebumikan.
 
“Saya tak puas hati uncle’! Saya anak lelaki kandung dia. Abang saya tu cuma anak angkat. Sayalah yang sepatutnya dapat lebih. Kalau ikut faraid pun saya memang dapat lebih bahagian! Macam mana arwah boleh wasiatkan semuanya pada dia?” Merah padam muka Zaki meluah amarahnya pada Datuk Samad.
 
“Uncle cuba fikir, anak angkat tu tak ada hak tau! Islam sendiri terang-terang dah kata, anak angkat tidak ada hak dalam harta pusaka. Takkanlah arwah tak sedar perkara ni. Ini bukan kerja arwah ni uncle. Ini mesti kerja abang Zam ni. Dia mesti dah pengaruh arwah masa sakit! Tak boleh jadi ni! Saya akan heret dia ke mahkamah!” jerit Zaki mengejutkan kebanyakan kaki tangan pejabat Datuk Samad yang mengintai-intai ingin tahu apa sedang berlaku dalam pejabat bos mereka itu.
 
Berulang kali Datuk Samad cuba menenangkan Zaki yang mundar mandir sambil mulutnya tidak henti-henti memaki hamun abang angkatnya, Zam tetapi baran Zaki semakin menjadi-jadi. Datuk Samad bungkam. Dibiarkannya Zaki melepaskan api kemarahan itu. Orang tengah meradang biarkan dahulu. Sudah puas nanti, lelahlah dia. Habis lelah diamlah dia, begitu fikir Datuk Samad.
 
Api radang Zaki memang sudah menjulang tinggi. Bahangnya tersebar hingga ke seluruh ruang pejabat sehingga alat penyaman udara pun tidak berjaya menyejukkan hatinya. Lagaknya bagai dirasuk syaitan. Suaranya bersipongang menyumpah seranah. Tangannya dikepal-kepal ke udara. Mujur Zam tiada di situ. Kalau tidak, Datuk Samad sendiri tidak dapat menjangka nasib Zam ketika itu. Sudah pasti lebam birat dikeroyok dek Zaki. Entah-entah mati terkejang disepak terajang. Isshhh…nau’zubillah! Tersentak Datuk Samad menggeleng-geleng kepala menyumpah lamunannya yang terbabas sesaat tadi.
 
Baru dia perasan Zaki sudah tersandar di sofa. Kedua tangannya di belakang kepala. Kakinya terjulur panjang menopang atas meja kopi. Matanya terkelip-kelip menatap siling. Datuk Samad diam. Dibiarkannya Zaki melayan perasaannya sendiri. Sungguhpun dia tidak berkenan melihat gaya orang muda itu duduk namun dibiarkan saja. Pantang sekali Datuk Samad melihat orang muda duduk berlunjur di hadapannya, apatah lagi terkangkang di atas meja. Kalau bukan kerana Zaki sedang bermasalah, pasti sudah dihambat keluar.
 
Perlahan-lahan Datuk Samad menghampiri Zaki. Dihulurnya sebotol air mineral dingin yang baru sebentar diambil dari peti sejuk mini bar. Tanpa suara, Zaki meneguk air itu hingga habis. Menyedari Datuk Samad mula melabuhkan punggung di sebelah, Zaki menarik kakinya perlahan dari atas meja kopi. Tiba-tiba, dia menangis teresak-esak bagai anak kecil kehilangan boneka. Lama dia dalam keadaan begitu. Entahkan kesal, entahkan kecewa, Datuk sendiri tidak dapat meneka. Akhirnya, dia bersuara. “Ayah bencikan saya ke uncle? Sampai nama saya tak ada dalam wasiatnya,” rintih Zaki penuh emosi.
 
Datuk Samad mengelus bahu Zaki. Ingatannya jauh mengenang Tan Sri, sahabat karib yang lebih 40 tahun dikenalnya. Mereka bagaikan adik beradik sewaktu sama-sama belajar di Melbourne dahulu. Malah, sebelum kedua-duanya melanjutkan pengajian ke Melbourne, mereka pernah sama-sama berkhidmat di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur. Di Melbourne, mereka mengambil jurusan yang sama. Pulang ke tanah air, Datuk Samad kembali berkhidmat dengan kerajaan. Sebaliknya, Tan Sri membuka firma arkitek bersama rakan kongsi keturunan Tionghoa. Perniagaan Tan Sri berkembang maju. Selain firma arkitek dia berjaya membuka syarikat pembangunan hartanah yang disegani.
 
Namun begitu, persahabatan mereka terus akrab. Malah, Datuk Samad berasa terhutang budi kepada Tan Sri kerana pujukan dan motivasi daripada Tan Sri yang telah merubahnya menjadi seorang ahli politik dan usahawan berjaya. Atas galakan dan sokongan Tan Sri, Datuk Samad bertanding dalam pilihan raya tahun 1970-an dan bergelar wakil rakyat serta menjadi Exco Negeri Selangor. Atas dorongan Tan Sri juga, dia berjaya membuka firma arkiteknya sendiri. Bagi Datuk Samad, Tan Sri tidak ubah seperti ‘abang kandung’nya sendiri.
 
Kini di hadapannya, anak kepada orang yang pernah berjasa terhadap kejayaannya terkulai layu memohon simpati. Zaki, yang dikenalinya sejak bayi sudah hilang motivasi diri. Semangat Zaki terbang jauh dibawa pergi. Zaki sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Tetapi, Zam, abang angkat Zaki juga bagai anaknya sendiri. Dia yang menemani Tan Sri dan Puan Sri mengambil Zam sewaktu tapak kakinya sebesar ibu jari. Masih basah dalam ingatan Datuk Samad, pipi comel Zam yang kemerah-merahan tidur lena dalam dakapan Puan Sri. Bertubi-tubi Puan Sri menciumi pipi mungil itu namun dia terus lena. “Bukalah mata sayang, bukalah mata comel, mama ni. Tak nak tengok mama ke?” dicubit-cubitnya pipi gebu itu penuh kasih sayang.
 
Sungguh! Getus hati Datuk Samad, kasih sayang Tan Sri dan Puan Sri tidak pernah berubah terhadap Zam walaupun empat tahun kemudian mereka dianugerahi anak sendiri iaitu Zaki. Cinta dan kasih Tan Sri dan Puan Sri terhadap kedua-dua mereka melimpah ruah walaupun Zam dan Zaki berbeza perangai. Zam lebih lembut dan halus budinya terutama dengan orang tua. Manakala Zaki agak panas baran dan endah tak endah apabila bercakap dengan orang tua. Pernah satu hari Tan Sri mengeluh watak Zaki tidak sesopan Zam. Zaki pantang ditegur mudah naik angin. Hatinya seterjal batu. Kemahuannya harus dituruti jika tidak dia mengamuk.
 
Atas sebab itulah apabila Zaki memutuskan untuk berkahwin dengan gadis Amerika sewaktu masih kuliah di tahun akhir, Tan Sri tidak membantah. Tamat belajar, Zaki hanya menelefon Puan Sri menyatakan hasratnya untuk terus menetap dan bekerja di Illinois, AS. Tersedu-sedu Puan Sri memujuk Zaki pulang namun haram diendahkan. Tan Sri lebih terkesan. Terkilan hatinya hendak melihat Zaki meneruskan legasi perniagaannya. Akhirnya, Puan Sri yang terpaksa berulang-alik ke Illinois untuk melepas rindu. Lazimnya, Puan Sri pergi sendirian. Tidak pernah sekalipun Tan Sri menjenguk Zaki di sana kerana kesalnya atas tindakan Zaki masih berpanjangan. Paling Tan Sri kesal, dua bulan Puan Sri koma hingga menemui ajal, Zaki langsung tidak pulang. Pernah juga terlepas dari mulut Tan Sri sebaris ayat yang mengejutkan Datuk Samad. “Anak aku satu je Mad. Si Zam itulah anak aku.”
 
Datuk Samad terlebih maklum, selama ini pun Zam yang bertungkus lumus membantu menguruskan syarikat-syarikat Tan Sri. Dia tidak pernah mendengar Zam meninggikan suara ketika bercakap dengan Tan Sri walaupun ketika mereka berselisih pendapat. Tutur katanya tetap lembut dan nada bicaranya sentiasa direndahkan tatkala berbual dengan Tan Sri atau Puan Sri. Malah, dengan Datuk dan Datin pun bicaranya lembut dan berhemah. Sehingga satu ketika Datin memuji inginkan Zam menjadi calon menantu. Malangnya, Zam sudah punya pilihan hati. Calon isterinya seorang guru berperwatakan sederhana dan lemah lembut orangnya.
 
Tan Sri dan Puan Sri amat menyayangi menantu ‘cikgu’nya itu. Majlis perkahwinan Zam disambut besar-besaran dan meriah sekali. Majlis resepsi di hotel lima bintang dihadiri orang ternama dan VVIP lain. Khabarnya, upacara persandingan disiarkan dalam rancangan TV. Mereka sanggup berhabis duit untuk majlis perkahwinan Zam. “Tan Sri tak nak kempunan. Maklumlah, Zaki nikah di AS. Isterinya pun tak mahu balik ke Malaysia. Tak rasa nak buat majlis macam ni,” kata Puan Sri sayu.
Kasih sayang Tan Sri dan Puan Sri terhadap Zam serta menantunya memang berbaloi. Dua bulan Puan Sri terbujur koma, menantu ‘cikgu’nya itulah yang bertilam bantal di hospital menemaninya. Atas kasihnya pada ibu mertua, isteri Zam sanggup melepaskan kerjaya perguruannya semata-mata untuk merawat Puan Sri. Di mana Zaki dan isteri berambut perangnya waktu itu? Berkali-kali Zam mengkhabarkan tentang keadaan Puan Sri pada Zaki. Berulang kali juga dia memujuk Zaki pulang melawat mamanya, malangnya Zaki sibuk dan sukar memohon cuti. Hanya Zam yang bersungguh-sungguh menghubungi Zaki. Tan Sri sudah putus asa untuk ambil tahu. Baginya, keluarganya hanya tinggal Zam dan menantu ‘cikgu’nya.
 
Samalah kisahnya dengan nasib Tan Sri sewaktu tiba-tiba diserang sakit jantung ketika sedang bermain golf. Dua hari Tan Sri dirawat di Unit Rawatan Rapi, Zaki tetap belum muncul. Sudah dihubungi oleh Zam melalui Skype. Namun, alasan Zaki isterinya baru mengambil cuti justeru sukar memohon cuti baru. Nasihat Zam supaya Zaki pulang sendirian tanpa isteri dijawab endah tidak endah. Datuk Samad pernah juga menghubungi Zaki menasihatinya pulang sebentar menjenguk ayah yang sedang tenat. Pelbagai alasan yang diberi hingga Datuk berasa seolah-olah Zaki tidak peduli tentang keluarga. Akhirnya, dia pun malas campur tangan.
 
Sehingga Tan Sri menghembuskan nafasnya yang terakhir pun, Zaki tidak pulang. Selepas dikhabarkan oleh Zam, barulah dia berjanji untuk pulang ke tanah air. Itu pun selepas dua hari jenazah selamat dikebumikan barulah terjongol mukanya di jenang pintu. Datuk Samad terkejut juga melihat Zaki pada malam majlis tahlil. Fikirnya, Zaki tidak akan pulang langsung ke Malaysia. Al-maklum, cintanya sudah tertumpah di bumi Amerika. Syukurlah, sejauh-jauh burung terbang, akhirnya pulang ke sarang jua. Sekurang-kurangnya, kepulangan Zaki menepis prasangka buruk yang bersarang di dada Datuk Samad.
 
Malangnya, di hadapannya kini masalah baru pula timbul. Musibah yang tidak pernah terlintas di akal sihat Datuk Samad. Zaki yang selama ini tidak peduli tentang kewujudan ayah dan ibu apatah lagi abang angkatnya, tidak semena-mena menuntut hak ke atas pusaka orang tua. Andai selama ini dia tidak pernah menunaikan hak ayah dan ibu, mengapa baru sekarang dia menuntut haknya? Mengapa baru sekarang dia terkesima selepas mendengar wasiat ayah yang menidakkan kewujudan dirinya? Mengapa baru sekarang dia mempersoalkan tentang kasih sayang ayah dan ibu selepas lebih 20 tahun dia mengetepikan kedua-duanya? Mengapa baru sekarang dia menuduh Zam mempengaruhi ayahnya setelah dia sendiri tiada sewaktu sang ayah memerlukannya?
 
Mati akal Datuk Samad memikirkan tindakan Zaki. Berderet soalan yang mahu dihamburkan Datuk. Berbungkal pertanyaan yang menjerut emosinya mahu dilemparkan ke muka Zaki. Sayang sekali, semua teka-teki itu seakan tersekat di halkum. Dia tidak mahu membebani perasaan Zaki yang masih berkecamuk. Sebagai orang tua, dia harus bijak menangani kemelut ini. Zaki dan Zam adalah memori yang ditinggalkan oleh sahabat baiknya. Dia tidak akan merobek-robek memori yang banyak meninggalkan kenangan itu. Dia tahu, Zam mudah dibawa berbincang tanpa perlu ke meja hakim. Dia percaya, Zam amat sayangkan adiknya Zaki. Dia yakin, Zam memegang harta di tangan bukannya di hati. Itulah yang perlu dibisikkan ke telinga Zaki. Itulah yang perlu disuntik ke sanubari Zaki. Moga saja, Zaki akan akur dengan pandangan orang tua sepertinya, doa Datuk Samad penuh harap.
 
 

See also
Seks Bikin Anda Langsing – Bahagian 2