Scha Alyahya, Daripada Bintang Filem ke Bintang Fesyen

Scha Alyahya, Daripada Bintang Filem ke Bintang Fesyen

The most wanted girl in KL, SCHA ALYAHYA selesa satu keluarga di bawah gemerlapan cahaya lensa. Dia berbicara mengenai empayar yang dibina bersama suami dan anaknya.

 

Ramai yang tertanya-tanya bilakah Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya atau nama glamornya Scha Alyahya bakal menghiasi wajah GLAM? Sebetulnya kami di sidang redaksi GLAM punya perancangan bagi meraikan Scha pada isu fesyen kami yakni menjadi wajah GLAM September! Ini kerana dia adalah calon paling tepat. She is the It-Girl of this era. Semua berita mengenai dirinya menjadi buruan media. Senang cerita dirinya menjadi senarai wajib diundang untuk menghadiri majlis-majlis fesyen besar di ibu kota! Meraih populariti sebanyak 3.8 juta pengikut di akaun Instagram miliknya telah meletakkan Scha Alyahya pada kelasnya yang tersendiri.

 

Wanita ini cukup dikenali dengan keunikan yang ada pada dirinya. Ya, Scha Alyahya nyata berbeda dengan wanita lain. Kecantikannya mempesona dan di sebalik kejelitaan wajah, karakternya yang sedikit maskulin itu nyata telah menyempurnakan kecantikan dirinya. Istimewanya Scha, dia sangat tulen, tidak berpura-pura dan jauh sekali mahu mengangkat diri. Dia berpegang kepada prinsip untuk menjadi dirinya sendiri dan tidak suka bermuka-muka. Saya pertama kali menemubualnya sewaktu dia baru bergelar isteri, kali kedua kala Lara baru beberapa bulan dilahirkan dan hari ini saya lihat dia wanita yang masih sama penuh dengan kerendahan hati. Cuma bezanya bicaranya lebih matang dalam membawa imej seorang isteri dan ibu.

 

EMPAYAR KELUARGA Boleh dikatakan apa sahaja yang dilakukan keluarga ini menjadi dambaan ramai. Scha adalah duta Yakult, Johnson & Johnson, Dutch Lady, Downy dan Rexona. Dan terbaru dia sekeluarga akan membuka butik di Jakel, untuk koleksi baju ready to wear hasil kolaborasi bersama Jakel. Keluarga ini sepertikan ada tarikan magnet di media sosial. Lebih mengujakan, puterinya Lara Alana juga mengikut jejak langkah kedua orang tuanya dengan terbabit dalam industri seni. Rating program realitinya ternyata tinggi menunjukkan betapa hebatnya penangan aura tiga beranak ini di dalam industri tanah air. Lara sendiri mempunyai 2.8 juta pengikut di laman Instagramnya. Susulan dengan peraturan yang ditetapkan oleh LHDN, menurut Scha dia dan Awal sudah melantik ejen untuk menguruskan pendapatan Lara. Malah, Lara sudah ada fail cukai pendapatannya di LHDN. Pendek kata everything about this small family is money! Saya sendiri antara peminat fanatiknya. Tidak kering gusi melihat telatah si diva Lara di Instagramnya. Persoalannya tidakkah Scha rimas kerana mereka sekeluarga menjadi buruan sosial media 24 jam? “Sejujurnya ia sudah menjadi perkara biasa buat kami. Perhatian dan tumpuan tidak lagi menjadi masalah and Lara loves the camera. Selagi dia suka, saya dan Awal tidak kisah. Apa yang kami pentingkan keselesaan dan kebahagiaan Lara.” Pelakon utama Urusan Hati Cik Drama Queen ini juga tidak keberatan jika apabila dewasa kelak, Lara mahu menceburkan diri dalam dunia layar perak mengikut jejak langkahnya.

 

Scha yang kini sedang mengungguli watak utama dalam ‘3 Dara kg.com’ drama terbitan Hyper Pictures Sdn Bhd arahan Dira Abu Zahar di saluran Astro Warna ini hanya akan terima satu lagi tawaran berlakon untuk tahun ini. Kerana setiap tahun sejak ada Lara dia hanya hadkan antara dua atau tiga drama sahaja. Dia menyuarakan keinginannya untuk menembusi pasaran Indonesia. Scha juga teringin berlakon dalam filem-filem thriller dan aksi. Menurut Scha dia sedikit kesal kerana ramai pelakon-pelakon tempatan sentiasa disogok dengan watak yang sama berulang kali. Ini kerana Pengarah tahu pelakon tersebut cemerlang membawakan watak-watak sedemikian. Jadi tiada diversity dalam menjiwai watak. Scha akui mutu filem sebelum ini agak malap dan akhir-akhir ini filem-filem arahan pengarah-pengarah muda seperti memberi cahaya kembali di arena perfileman. Misalnya cerita aksi arahan Syamsul Yusof. “Alhamdulillah saya masih menerima banyak tawaran berlakon sehingga hari ini. Sewaktu mula-mula menceburi bidang lakonan saya beri masa lima tahun sahaja untuk berkecimpung dalam bidang sini tetapi syukur hari ini sudah masuk tahun ketujuh dan saya masih relavan dalam dunia lakonan! Mungkin saya akan beri masa setahun dua lagi untuk saya berada dalam bidang ini lagi,” ujarnya yang cukup meminati lakonan Cameron Diaz dan Angelina Jolie.

See also
Gambar Anak Kedua Kate Middleton

 

Mengimbas kembali detik percintaan bersama suaminya Awal Ashaari, Scha berkata, dia mula menaruh hati pada Awal apabila mereka digandingkan bersama untuk rancangan Sehati Berdansa. Setiap kali Awal lalu di hallway itu, bauannya yang seksi itu menggoda hatinya dan sekaligus memenuhi kriteria lelaki idamannya. Dia obses dengan lelaki yang berbau harum. Dan dirinya sendiri obses dengan wangi-wangian. Rupa-rupanya mereka berdua mempunyai persamaan. Kedua mereka akan menyembur wangian ke seluruh badan sebelum keluar rumah, dan sekali lagi sebelum keluar kereta. That’s how crazy this couple is about perfumes. Kerana itu mereka bertekad untuk mengeluarkan haruman sendiri iaitu Bleu by Awal Shaari dan Maroon by Scha Alyahya. “Mungkin ramai yang tak ambil serius apabila selebriti berniaga.  Mungkin orang beranggapan kami mahu mengguna populariti kami untuk bisnes. Saya orangnya yang jika buat sesuatu akan memberi komitmen 100 peratus dan sangat serius dalam apa yang saya lakukan. Kerana itu kami lakukan penggambaran betul-betul dan memilih lokasi penggambaran di luar negara. Saya dan Awal akan melakukan semua sendiri daripada A hingga Z. Saya berharap bisnes saya dan suami dapat berkembang maju,’ jelas wanita ini dengan nada positif.

 

Tahun ini merupakan tahun ketiga projek CSR (Corporate Social Resposibilty) Scha bersama KFC yakni memberi makan pada gelandangan di sekitar ibu kota. “Saya rasa ini adalah satu kesedaran pada saya melihat betapa ramai sebenarnya orang kita tidak cukup makan. Mereka ini ada yang bekerja di siang hari tetapi masih tidak cukup menyediakan makanan pada keluarga kerana bilangan anak ramai dengan pendapatan sebanyak RM700. Pilu hati saya melihat anak-anak berlari mahu makan ayam KFC. Not everyone is fortunate, nothing belongs to us, it is meant to be shared with the needy,” ujarnya serius.

See also
BFF Gigi Hadid dan Kendall Jenner Bersatu Dalam Kempen FENDI

 

Apakah gosip paling liar mengenai Scha sepanjang menjadi anak seni dan memberi impak pada diri Scha? “Ada suara-suara sumbang yang melabel saya suka pada kaum sejenis. Sehingga hari ini pun saya masih mendengar orang bercakap perihal itu. Tetapi mujur saya jenis yang pekakkan telinga apabila ada perkara negatif mengenai saya kerana saya tidak ambil peduli apa orang kata mengenai saya kerana yang penting saya tahu saya bekerja keras mencari rezeki halal untuk membahagiakan keluarga dan juga diri sendiri.” jawabnya tenang.

 

MANTERA CINTA Ditanya apa rahsia kebahagiaannya, Scha tersenyum mendengar soalan. Menurutnya menjaga perhubungan tidak semudah yang disangka lebih-lebih lagi dia dan Awal berada dalam bidang glamor. Pun begitu Scha bersyukur kerana suami juga terbabit dalam industri hiburan. Daripada situ mereka saling memahami corak pekerjaan masing-masing. “Sejujurnya, communication is key to maintaining a healthy relationship. Suka atau tidak suka luahkan sahaja. Jangan pendam. Dulu Awal sering lari apabila saya mahu bersemuka mengenai sesuatu perkara, tetapi sekarang dia faham cara saya, dan dia akur. Saya suka perbalahan yang matang, dan diakhiri dengan penyelesaian masalah.” Scha dan Awal bersepakat segala keputusan soal tawaran kerja akan dibincang bersama tambah-tambah lagi dengan adanya Lara. Mereka tidak mahu terlalu ghairah berkerja sehingga tidak ada waktu untuk luangkan bersama anak mereka. Ramai orang tak tahu yang Scha adalah sangat serius orangnya. “It’s my nature to fix everything. Saya tahu apa yang saya nak tetapi masa sama masih rasional. Awal pula seorang yang ada life goals, saya akan cuba pastikan semuanya berjalan dengan lancar dan fikirkan plan B sekiranya perkara yang diimpikan tidak menjadi. And one thing about me, I cannot tolerate slowness. Awal melabel saya seperti militari kerana semuanya mahu tangkas. Kadang-kadang dia mengusik saya berkata “You ni komunis lah!” Bila Awal berkata begitu saya akan terus ketawa!”

 

Peminat seni tahu yang Awal amat romantis orangnya. Lihat saja apabila dia melamar Scha secara live di rancangan Propaganza. Awal melamar bagaikan puteri raja. Kejutan Awal buat Scha dengan dendangan lagu Anuar Zain, ‘Keabadian Cinta’ pada hari perkahwinan mereka menyentuh banyak hati. Adakah Awal masih romantik setelah berkahwin? “Awal yang saya kenal dari dulu hingga hari ini tidak berubah. Saya akui diri saya tidak begitu romantis! Cumanya percaya atau tidak dek kerana Awal yang bersifat manja dia akan cepat terguris lalu sering merajuk. Sekiranya saya merajuk, dia tidak pernah memujuk saya. Sebagai isteri, saya mainkan peranan untuk turunkan ego jika kami berbalah. Memang tidak mudah tapi saya fikir tidak kemana pun nak gaduh lama-lama. Dan saya tidak suka ada drama. Ramai melabel perempuan sentiasa beremosi, walhalnya bagi saya sebenarnya perempuan sangat rasional. Lelaki kalau marah lama. Tetapi apabila sudah dipujuk, Awal ini cepat sejuk orangnya.”

 

Bercerita mengenai Lara pula, saja saya bertanya, dengan populariti Lara, tidakkah Scha dan Awal khuatir apabila Lara dipeluk dan cium oleh peminat-peminatnya apabila berjumpa di luar? Scha menghela nafas dan berkata dia dan Awal tidak kisah asalkan tidak melebihi batas dan keterlaluan seperti terus grab dan dukung Lara tanpa kebenaran kami. Kalau setakat nak bergambar dan sebagainya, we are totally fine.” Lara Alana, 3, kini sudahpun bersekolah walaupun usianya masih muda. Awal dan Scha menghantarnya ke playschool atas nasihat daripada rakan-rakan artis seperti Yasmin Hani, Daphne Iking, Sazzy Falak dan beberapa orang sahabat lagi. “Perkembangan Lara sejak masuk playschool sangat memberangsangkan, she picks up a lot from school. Seronok dengar dia petah bercakap dan menyanyi. Apabila anak dah pandai bercakap ni, ibu bapalah paling gembira, kerana kita sudah faham yang dia mahu, apa yang dia suka dan tidak suka. Saya dan Awal berbincang mahu masukkan Lara ke Sekolah Kebangsaan sahaja dan bukan sekolah swasta apabila bersekolah rendah nanti. Kami mahu dia membesar secara sederhana. Lagipun kami percaya dengan sistem pendidikan negara kita. Teringin juga untuk masukkan Lara ke sekolah Cina, tetapi saya sedar itu memerlukan komitmen yang tinggi daripada ibu bapa. Apa-apapun saya akan berbincang dengan lebih lanjut lagi mengenai hal ini bersama Awal,” ujar Scha sambil tersenyum dan memberitahu dia sudah bersedia untuk memberi Lara adik.

See also
Inspirasi Designers Buat KLFW16

 

KL FASHION GIRL Seperti yang saya kata tadi, di majlis-majlis fesyen wajah Scha akan sentiasa menyeri majlis. Semua jenama mewah mahu Scha memperagakan koleksi mereka untuk bergaya di majlis fesyen. Empunya diri punya cita rasa yang tinggi dalam berfesyen. Gambar-gambar di akaun Instagramnya menjadi rujukan fashionista tempatan. Daripada tas tangan, helaian yang disarungnya hinggalah ke sepatu. Kalau saya, pastinya saya iri pada koleksi Manolo Blahnik miliknya.

 

Menyentuh soal fesyen, dia begitu meminati fesyen Queen Rania dan Grace Kelly. “Terus terang saya katakan, dulu saya buta fesyen. Sejak menjadi pramugari di Air Asia, saya banyak belajar mengenai fesyen melalui tabloid-tabloid fesyen hasil pengaruh daripada teman. Dulu siapa gerangan John Galliano atau Karl Lagerfeld pun saya tidak tahu. Lama kelamaan berfesyen itu sudah seperti makanan saya. Tidaklah maksudnya saya ini fashionista, tetapi saya suka stail ringkas tetapi masih bergaya. Saya tidak tahu mengapa orang melabel saya sebagai ikon fesyen, kerana fesyen saya minimalis sahaja dan bukanlah over the top. Jujurnya fesyen adalah suatu yang dekat dengan Scha. Sewaktu darjah enam lagi Scha sudah mengatur apa yang hendak dipakai esok hari dan dia akan susun cantik-cantik. Sehingga hari ini, saya yang uruskan baju-baju keluarga saya jika kami pergi bercuti. Ciri-ciri keselesaan amat saya utamakan. Zara adalah jenama yang saya suka. Jenama antarabangsa yang saya suka ialah Stella McCartney, Elie Saab dan Giambattista Valli. Bloggers fesyen yang saya ikuti adalah Song of Style, Jiawa Liu, Gheely, Kristina Bazan dan tentunya Chiara Ferragni. Saya juga sering menggunakan khidmat personal shopper London2KL dan Miba!”

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu September 2017