Kenali Peragawati, Rubini Sambanthan

Kenali Peragawati, Rubini Sambanthan

Untitled 0266
 
Pertama kali bertemu Rubini, bagaikan sudah mengenalinya bertahun-tahun lama. Sikapnya yang peramah sangat disenangi ramai. Memegang status Miss Global International 2014, cukup membanggakan dirinya kerana pertandingan ini antara empat pertandingan ratu cantik terbesar dunia.
 
“Saya seorang gadis yang datang dari bandar kecil dengan impian dan cita-cita yang sangat besar. Saya mula bekerja sejak usia 15 lagi. Ketika itu saya menjual aiskrim!” ujar Rubini sambil ketawa manis memulakan bicara.
 
Rubini berkongsi lagi kisah bagaimana dia boleh menyertai bidang glamor ini. “Dunia peragaan dan ratu cantik ini hanyalah suatu perkara yang saya intai dari jauh sahaja dan menganggap ianya tidak akan menyapa saya. Tetapi selepas tamat persekolahan, saya mengambil keputusan untuk mencuba. Bermula dengan pertandingan ratu cantik, syukur kerana berjaya kemudian saya teruskan dengan kerjaya modelling,” sambungnya lagi.
 
“Ada rakan-rakan saya yang gemar memotret saya untuk subjek fotografi dan kemudian memuat naik di internet. Kebetulan, beberapa rakan lain turut berkenan dan berhasrat untuk mengambil potret saya juga. Dari situ saya membina portfolio diri sebagai seorang model. Kerjaya peragaan ini sudah pun bermula tiga tahun yang lalu,” terang Rubini.
 
Fesyen menjadi topik kegemaran Rubini. Bagi dirinya, fesyen adalah faktor utama bagaimana kita menunjukkan diri di mata dunia. “Tiada siapa akan mengenali anda jika tidak bertanya siapakah anda. Bagi saya, fesyen ibarat anda berjalan dan tiada siapa mengenali anda. Like who is she? So, the way you dress somehow symbolizes who you are,” saya mengangguk tanda setuju dengan hujah Rubini.
 
Dia seorang yang tidak boleh keluar tanpa kasut but. “Anda akan lihat saya setiap hari dengan kasut jenis but ini! Ramai anggap saya gila berbut dengan cuaca yang panas begini? Peliknya saya lansung tidak kisah dengan apa orang kata. Saya juga suka pakai kot. The weather shouldn’t stop you from wearing what you love!” ujarnya lagi yang bergaya ke studio dengan jaket kulit berserta kasut but.
 
Jenama pereka tempatan kegemarannya ialah Pearly Wong kerana gaya Rubini yang berunsur edgy dan stylish sepadan dengan koleksi rekaan milik pereka ini. Pilihannya untuk jenama antarabangsa, sudah tentu Topshop yang begitu memahami gaya anak muda selain daripada jenama mewah Givenchy, Versace, Prada dan banyak lagi. “Dalam setiap koleksi mereka, pasti ada satu helaian yang mengunci lirik mata saya.”
 
Fesyen di Malaysia sangat mengujakan dirinya. “Percayalah, rakyat Malaysia ini semuanya sangat pandai bergaya. Selera fesyen kami tidak disekat oleh cuaca negara ini. Orang sering menganggap kita hanya boleh menggayakan koleksi musim panas, oh tidak sama sekali ya…”
 
“Tambahan pula, kita kini banyak menganjurkan minggu pertunjukan fesyen. Jika lima tahun yang lalu, pasti saya tidak tahu tentang ini. Sekarang apabila sudah menjejakkan kaki, baru saya tahu dan mengenali industri fesyen ini. Fesyen Malaysia sedang berada di landasan yang betul dan saya berharap suatu hari nanti, label tempatan akan mendapat tempat di pasaran dunia,” sambung Rubini.
 
Melihat kepada gayanya, dia memilih Kate Moss sebagai idola dan inspirasi kala berfesyen. “Kate Moss tidaklah terlalu tinggi dan saya juga tidak tinggi. Jadi, dia ibarat motivasi saya untuk berjaya dalam bidang ini. Bagaimana dia membawa dirinya, tekun bekerja sehingga dia dianggap ikon fesyen dengan gayanya yang tersendiri. Itu sudah cukup memadai untuk saya mengikut jejak langkahnya. Bukan mengikut gaya hidupnya ya. Kita ambil yang baik-baik sahaja dan tinggalkan contoh yang tidak baik,” ujar Rubini berseloroh.
 
Begitu mementingkan aspek kerohanian diri dan mengenggamnya sebagai falsafah hidup. “Bila bicara soal kerohanian, saya tekankan tentang kemuliaan hati. Jika anda punya elemen itu di dalam diri, maka hidup anda akan sempurna. Memberi semula kepada yang lebih memerlukan adalah salah satu kunci hidup saya. Walaupun tidak mampu memberi banyak, namun saya cukup bahagia jika dapat membantu orang yang lebih memerlukan,” kata Rubini.
 
Sebelum mengakhiri bicara, Rubini berharap agar suatu hari nanti dirinya akan berjaya di dalam bidang yang diceburinya kini dan mahu lebih dikenali di negara sendiri selain ingin menguruskan sedikit badan untuk mencuba layar high fashion.
 
Teks & Penyelaras AMIRA AZMAN
Pembantu Penyelaras ZUHAIRIE SAHROM
Penata Gaya AIZAT AIDID
Arahan Seni ZULKIFLI SULAIMAN
Pembantu Arahan Seni ASHURA HAKIM
Gambar AARON LEE/LENSWORK PRODUCTION
Solekan SYED FAIZAL MENGGUNAKAN MAKE UP FOREVER
Dandanan ALEA ISMAIL DAN RICK LEE DARIPADA CURLERS AND TRIMMERS MENGGUNAKAN REDKEN MALAYSIA
 
*Artikel ini disiarkan dalam GLAM edisi September 2015
 
 

See also
Anggun Dengan Sifat Keibuan, Ini 10 Fakta Menarik Tentang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah