Most GLAM 2018: Whulandary Herman

Most GLAM 2018: Whulandary Herman

JAKARTA TO MALAYSIA BACK AND FORTH, WHULANDARY HERMAN SERONOK BEKERJA ANTARA DUA NEGARA DEMI KARIER FESYEN.

 

Gambar Chuan Looi

GLAM merupakan majalah pertama yang menyapa Whulandary Herman, 29, Miss Universe Indonesia 2013 ini menghiasi ruangan majalah sebaik dia berpindah ke Malaysia dari negara seberang. Sikap dedikasinya dalam bekerja membuatkan dia sudah beberapa kali disunting mengisi halaman GLAM. Dan hari ini tuah menyambar dirinya apabila dia dilamar menjadi cover. She is definitely the IT girl in town currently! “I have so many beautiful things that happen this year to cherish my life,” ujarnya sewaktu duduk bersembang dengannya.

 

Saat hadir, dia mengenakan baju santai dan wajahnya segar walaupun tanpa secalit mekap. Dia dilihat romantis bersama suami, Nik Ibrahim, yang menghantarnya ke studio. Seperti biasa dia membiaskan aura energetik kepada semua kru pada hari itu. Sesekali kami semua terhibur mendengar dia bertutur dalam bahasa Indonesia. Whulan ternyata teruja menyarungkan semua set persalinan daripada Louis Vuitton. Dan pastinya figura cantik ini menggayakan setiap busana dengan penuh stail!

 

KARIER FESYEN & BEKERJA DI KACA TV Sebelum bergelar Miss Universe pada 2013, ratu cantik ini sudah menceburi dunia peragaan sejak 2002 lagi. Di Indonesia dia juga banyak memberi kursus kepada peragawati-peragawati yang masih hijau dalam bidang ini. Segala teknik berjalan dan pose di pentas runway akan di beri tunjuk ajar. Pengalaman sebagai peragawati telah membawanya ke seantero negara. Berjaya melewati pentas runway di New York adalah pengalaman indah yang disimpan kemas dalam sanubarinya. Daripada situ dia belajar etika bekerja dengan lebih profesional. Beijing dan Shanghai juga antara kota metropolitan yang menempa namanya sebagai model. Dek kerana selalu merantau ke negara orang atas tuntutan kerja, Whulan senang menyesuaikan diri dalam sesebuah negara itu. Jadi setelah bernikah dengan suami, dia tidak ada masalah menetap di Malaysia.

See also
Gaun Perkahwinan Ratu Elizabeth II Direplikakan

 

Whulan sempat berkongsi sifat peribadinya yang tidak selalu keluar bersosial melainkan atas tuntutan kerja. “Saya seorang yang apabila selesai kerja, langsung pulang ke rumah. Tidak sambung berjimba after party. I love my private life at home. Jadi saya tidak punya ramai teman di sini. Tetapi selebriti di Malaysia semuanya peramah. Saya kadang-kadang tidak begitu mengenali mereka, tetapi setelah pulang ke rumah dan google nama mereka dan melihat Instagram barulah saya tahu mereka sangat terkenal,” sambung Whulan yang senang berteman dengan Scha Al Yahya, Awal Ashaari, Anzalna, Carey Eng, Amira Khan dan ramai lagi juga teman karib satu negara yang kini menetap di Malaysia juga yakni Laudya Cynthia Bella.

 

Mengimbas kenangannya beberapa bulan lalu untuk KLFW (Kuala Lumpur Fashion Week 2018) Whulan amat bersyukur diberi kesempatan untuk sama-sama meriahkan minggu fesyen di Kuala Lumpur. Katanya ia adalah satu platform untuk karier fesyennya di Malaysia. Whulan akur Malaysia baru enam tahun mempunyai acara fesyen tahunan ini berbanding di Indonesia yang sudah berlangsung 13 tahun. Whulan akui dia agak terkejut awalnya apabila lokasi pertunjukan fesyen di dalam pusat membeli-belah. Dia juga berasa agak kekok apabila sewaktu rehearsal lagu tidak dimainkan dan hanya pada waktu fashion show sebenar baru lagu dimainkan. Menurut Whulan kebiasaannya dia akan rehearsal dengan muzik untuk mendapat feel menggayakan baju daripada pereka. “KLFW adalah salah satu pintu bagi saya melebarkan karier modelling di sini. Kini saya teruja dan ternanti-nanti untuk menyarungkan persalinan tradisional Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya”. Jika di Indonesia akan diperuntukkan satu hari khusus untuk mementaskan koleksi-koleksi adibusana tradisional kami. Dan saya percaya jika Malaysia mengetengahkan baju kebangsaan pasti akan lebih menarik kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum,” kata Whulan lagi yang melahirkan rasa seronok dapat bekerja dengan Datuk Rizalman Ibrahim salah seorang pereka fesyen yang disegani di tanah air.

See also
10 Tip Kembara Cantik

 

Whulan berpegang dengan pepatah ‘less is more’ dalam helaian hariannya. Untuk ke majlis malam dia selesa dengan hugging dress daripada Herve Leger. Tas tangan Dior sering bertakhta di hatinya dan dia sempat berseloroh kerana tidak perlu membeli tas Dior Saddle keluaran terbaru kerana memiliki kolesi vintaj Dior Saddle milik ibunya yang dibeli 16 tahun lalu. Selain Dior, jenama Miu Miu juga adalah kesukaannya. “Kalau mahu berbelanja, saya lebih senang belanja di Eropah. Saya sering ke Milan dan Perancis untuk berburu barangan fesyen,” ujarnya lagi yang berteman baik dengan Miss Universe 2012, Olivia Culpo.

Mungkin ramai yang tidak tahu Whulandary juga berkecimpung dalam dunia layar perak di Indonesia. Oktober ini dia terbang ke Jakarta untuk penggambaran filem terbarunya. Tetapi judulnya masih dirahsiakan lagi. “Saya sebenarnya teringin mahu belakon dalam filem Malaysia, tetapi halangan utama saya adalah bahasa kerana saya belum lagi fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. Pun begitu Alhamdulillah saya mendapat tawaran sebagai hos untuk rancangan Cantik Nusantara di saluran Astro Awani bermula Oktober ini.”

 

Siapa sangka wanita cantik dan berkerjaya sepertinya juga baru sahaja menerima ijazah Sarjana Muda pada tahun ini dalam bidang undang-undang? Whulan berhasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang hingga ke peringkat Sarjana. “Alhamdullillah seperti yang saya kata tadi, tahun ini amat bermakna kepada saya, saya berkahwin, mulakan karier di Malaysia, tawaran kerja yang menderu-deru dan yang paling seronok saya dapat menggengam ijazah dalam jurusan undang-undang pada tahun ini juga.”

See also
Fenty Beauty Oleh Rihanna Bakal Menjadi Kenyataan — Update!

 

NO HANDPHONE DURING THE WEEKEND Whulan yang baru beberapa bulan mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan Nik Ibrahim yang menjawat jawatan Associate Director, Investments di perusahaan Ekuinas, Malaysia ini sedang menikmati momen- momen manis sebagai suami isteri. Biarpun kerjanya sibuk, dia pasti mencari waktu lapang untuk bersama dengan suaminya. Whulan sangat bersyukur kerana pada awal perkenalan lagi suaminya boleh menerima tuntutan kerjanya yang sibuk kerana suaminya sendiri juga sibuk dengan kerja. Jadi apabila berjumpa ia adalah waktu yang benar-benar bemakna. “Suami sering menyokong apa jua yang saya lakukan. Dia amat memahami yang saya juga punya cita-cita untuk berjaya dalam kerjaya.”

 

Whulan berkongsi peraturan dalam perkahwinanya yakni kedua-duanya tidak dibenarkan bermain dengan telefon bimbit pada hujung minggu, “Peraturan ini tercetus apabila kami berbulan madu di Bali dan waktu itu line telefon langsung tidak ada, jadi kami duduk berjam-jam berbual dengan gelak ketawa. Ternyata perasaan itu indah sekali kerana sebelum ini kami berdua sering ralit dengan telefon. Kaedah ini lebih bagus dan kita dapat lebih fokus kepada pasangan,” ujar Whulan dan sebelum pulang dia sempat memberitahu yang dia dan suami bersedia untuk memiliki zuriat dan akan terus berdoa kepada yang Maha Esa.

1 of 2
Use your ← → (arrow) keys to browse