Gigi Cantik, Gusi Sihat!

Gigi Cantik, Gusi Sihat!

TeethGambar: Ingimage

 
Tip penjagaan gigi si kecil dari Ketua Jabatan Pergigian Pediatrik Hospital Kuala Lumpur dan Ketua Kepakaran Pergigian Pergigian Pediatrik Kementerian Kesihatan Malaysia, Hjh Dr Noraini Yunus.
 
Seawal mana patut saya mula menggosok gigi anak dan bagaimana cara terbaik untuk anak kecil?
Sebaik- baiknya, anak-anak kecil diperkenalkan kepada penjagaan gigi seawal tumbuhnya gigi pertama – sekitar umur 6 hingga 7 bulan. Pada umur ini, bersihkan giginya dengan mengelap dengan kain kasa atau tuala kecil. Bila lebih banyak gigi tumbuh, kira-kira lapan batang di bahagian hadapan (empat di atas, empat di bawah) gunakan pula berus gigi yang kecil dan lembut. Bibir atas anak perlu diangkat semasa membersihkan mulut dan giginya, lift the lip, untuk membuang plak yang selalu terkumpul di bahagian sempadan gigi dan gusi. Jadikan aktiviti memberus gigi ini sesuatu yang menyeronokkan.
 
Saya pernah terbaca yang fluorida tidak selamat digunakan oleh anak kecil. Adakah ini benar dan apa pengganti bagi fluorida?
Fluorida telah terbukti sebagai bahan yang boleh menguatkan permukaan gigi dari serangan asid, punca kerosakan gigi. Penggunaan ubat gigi berfluorida memang terbukti boleh mengurangkan kejadian karies. Walau bagaimanapun, pengambilan berlebihan bahan ini semasa pembentukan gigi (tooth formation) boleh menyebabkan keadaan dipanggil fluorosis, di mana permukaan gigi boleh kelihatan berbelak-belak putih, kekuningan atau perang. Oleh itu, ibu-ibu atau penjaga mesti mengawasi anak-anak kecil semasa penggunaan ubat gigi berfluorida ini supaya mereka tidak menelannya secara berlebihan.
 
Pada umur berapa tahun boleh saya pakaikan pendakap gigi untuk anak saya?
Secara amnya, pendakap gigi untuk rawatan membetulkan kedudukan gigi yang tidak teratur dipasang apabila kesemua gigi susu seseorang kanak-kanak itu telah digantikan dengan gigi kekal, sekitar umur 12 hingga 13 tahun. Bagaimana pun, dalam keadaan-keadaan tertentu, pendakap gigi boleh-tanggal (removable appliance) dipasangkan lebih awal dari umur tersebut untuk membetulkan kedudukan sebatang atau dua batang gigi yang tersasar.
 
Umur anak saya sudah memasuki tujuh tahun namun ada gigi susunya yang belum patah. Dikhuatiri ia mengganggu tumbesaran gigi kekalnya. Apa yang patut saya lakukan?
Secara lazimnya, gigi susu akan tanggal sendiri (exfoliate) apabila tiba waktunya. Sekiranya gigi kekal telah tumbuh sebelum gigi susunya tanggal, ini mungkin menyebabkan keadaan gigi berlapis peringkat awal. Ibu bapa dinasihatkan supaya membawa anak berjumpa doktor gigi supaya doktor dapat membuat pemeriksaan pergigian untuk memastikan langkah seterusnya yang patut diambil.
 
Apa yang boleh saya lakukan jika anak saya berdegil tidak mahu menggosok giginya?
Selalunya kanak-kanak kecil suka meniru gaya orang dewasa yang di’puja’nya ataupun yang dianggap sebagai hero. Oleh itu cuba jadikan ahli keluarga seperti ibu, bapa dan adik beradik lain sebagai role model, dan jadikan memberus gigi itu suatu aktiviti keluarga yang menyeronokkan baginya. Puji anak puan selepas dia memberus giginya kerana penekanan positif selalunya membuatkan anak-anak kecil lebih bersemangat.
 
Hampir kesemua gigi susu anak saya rosak akibat terlalu banyak makan makanan manis. Adakah gigi kekalnya akan tumbuh dalam keadaan yang sama?
Kerosakan gigi terjadi akibat tindak balas bakteria terhadap makanan manis yang menghasilkan asid, seterusnya melarutkan permukaan gigi dan menyebabkan terjadinya kaviti. Gigi kekal anak puan tidak mungkin rosak sekiranya pengambilan makanan manis ini dikawal dan dihadkan kekerapan pengambilannya. Selain itu, anak puan juga patut digalakkan memberus giginya sekurang-kurangnya dua kali sehari terutama sebelum tidur. Anak puan juga hendaklah menggunakan ubat gigi berfluorida supaya ketahanan permukaan gigi terhadap serangan asid boleh dipertingkatkan.
 
Bagaimana cara mengelakkan gigi anak saya dari menjadi jongang?
Sikap anak-anak yang sentiasa menghisap puting atau jari boleh mempengaruhi tumbesaran tulang rahangnya, seterusnya mungkin mengakibatkan giginya jongang. Untuk mengelakkan keadaan jongang ini, anak puan perlu menghentikan tabiat menghisap puting atau jarinya.
 
Bagaimana dapat saya pastikan yang gigi anak saya kekal bersih dan sihat semasa dia membesar selain daripada memberus gigi dua kali sehari?
Memberus gigi itu penting untuk mengeluarkan plak yang melekat di permukaan gigi selain bertujuan membuang sisa-sisa makanan. Selain itu, anak-anak yang masih menyusu perlu diberi minum air kosong selepas menyusu untuk membersihkan permukaan gigi dari lebihan susu, supaya dapat mencegah tindak balas bakteria dalam mulut.
 
 

See also
Satu Butik, Pampangan Semesta Rolex