Cool Dad: Que Haidar Serta Cahaya Matanya

GLAM Junior

Cool Dad: Que Haidar Serta Cahaya Matanya

868

QueHaidar2
 
Sesi fotografi khas GLAM Junior menampilkan Que Haidar bersama anak-anaknya, Qalif Khan, Tengku Ratu Haidar dan Tengku Cleopatra.
 
Pengalaman manis bergelar seorang bapa?
Setiap hari adalah sesuatu yang baru dan melihat mereka membesar dan belajar perkataan cukup bermakna. Tuntutan kerjaya ada kala membuatkan saya rindu pada telatah mereka. Saya geram apabila terlepas momen yang indah bersama mereka.
 
Perasaan kala pertama kali menyambut kelahiran?
Perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Setiap kali menatap wajah anak-anak, terpancar personaliti isteri dan saya dalam satu jasad yang sempurna. Saya tidak pernah sukakan kanak-kanak tetapi selepas berkahwin dan memiliki cahaya mata sendiri, segala-galanya berubah. Saya belajar untuk menukar lampin, mandikan bayi dan pakaikan pakaian untuk mereka.
 
Bagaimana anda membentuk disiplin si kecil?
Dalam soal disiplin, Linda lebih tegas daripada saya. Mungkin ia adalah satu perkara yang normal dalam keluarga, salah seorang perlu bersikap kontra. Saya lebih bersikap soft spoken dan kami saling melengkapi di antara satu sama lain. Bekerja umpama satu pasukan dan menjadi teman baik kepada anak-anak.
 
Persamaan watak si kecil dengan anda?
Cleopatra seorang yang garang seperti saya… Haha! Berbanding Ratu yang sama personaliti dengan Linda. Kegemarannya berlakon, menari dan menyanyi sama seperti ibunya. Pernah dalam masa sehari hampir 16 pasang baju ditukarnya dan beraksi di hadapan cermin.
 
Bila si kecil besar kelak…
Setakat ini saya melihat Ratu lebih menonjol perwatakannya. Dengan kebolehan semula jadinya yang gemar menari, menyanyi dan berlakon, saya dan Linda yakin jika diberikan peluang, bakat Ratu boleh digilap. Sebagai ibu bapa, kami sentiasa memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi, mendaftarnya ke sekolah tarian balet dan mempelajari muzik seperti piano.
 
Pengorbanan terbesar sebagai bapa?
Menjadi bapa bukanlah sesuatu yang hadir dalam sekelip mata. Setelah memiliki cahaya mata sendiri, baru saya sedar bahawa pengorbanan yang dilakukan untuk keluarga hadir dalam pelbagai cara.
 
QueHaidar2
 
Telatah si kecil yang paling menambat hati?
Apabila saya pulang daripada outstation dan disambut oleh anak-anak. Rasa penat dan letih hilang kala anak-anak datang dan peluk serta berbual-bual dengan saya. Hilang rasa rindu! Ratu sentiasa pandai mengambil hati saya dengan berpakaian cantik manakala Cleo pula gemar bermain masak-masak dan menyediakan roti dan minuman olok-olok.
 
Anda cerewet mengenai…
Nyamuk! Kala bercuti atau keluar bersiar-siar Linda akan pastikan destinasi yang kami pergi itu bebas daripada gigitan nyamuk. Jika hari bersekolah, masa tidur dan kerja rumah adalah perkara yang penting untuk diutamakan.
 
Nasihat untuk anak?
Sebagai seorang bapa, saya sentiasa mengharapkan yang terbaik buat anak-anak dan berharap mereka menjadi manusia yang baik dalam apa sahaja pekerjaan yang dilakukan.
 
Peranan anda sewaktu isteri berbadan dua?
Sentiasa memastikan segala keperluan isteri dipenuhi dan sewaktu Linda melahirkan Cleo, saya banyak berulang-alik ke hospital. Memandangkan Linda tidak boleh mengambil ubat penahan sakit, maka dia perlu berehat dan di situlah peranan saya hadir. Saya faham keadaannya yang menahan sakit dan terpaksa diiring bersama jika mahu ke tandas. Selain itu, keperluan anak-anak yang juga turut diutamakan.
 
Perkara yang paling ditakuti sebagai bapa?
Internet dan bagaimana cara anak-anak menggunakannya. Begitu juga dengan pergaulan. Jika mereka tersalah bergaul, banyak masalah yang akan timbul.
 
 

Your email address will not be published. Required fields are marked *