Butik 30 Montaigne, Menghimpunkan Semula Aspirasi Dior - Glam Malaysia
30 Montaigne, Menghimpunkan Semula Aspirasi Dior 01

Butik 30 Montaigne, Menghimpunkan Semula Aspirasi Dior

Setelah dua tahun menjalani renovasi, Dior menyingkap tabir perkenalan baharu buat butik pertamanya 30 Montaigne nan ikonik. Lengkap dengan laman privat buat pemuja barang kemas mewah, restoran, galeri pameran, serta kamar persinggahan eksklusif.

gambar ADRIEN DIRAND, KRISTEN PELOU, PAUL COCKSEDGE, GUY LIMONE UNTUK DIOR

30 Montaigne, Menghimpunkan Semula Aspirasi Dior 02

Menjalani renovasi meluas yang berlangsung selama lebih daripada dua tahun, rumah fesyen powerhouse asal Paris ini membuka semula gerbang butik ikonik pertamanya di 30 Avenue Montaigne pada 6 Mac lalu. Mencitrakan alam semesta ala-Dior, di mana pertembungan spirit serta sejarah Dior ini dipelihara buat menjangkau lebih ramai pemujanya di seluruh dunia. Selama 75 tahun, hôtel particulier atau bangunan rumah bandar legenda ini telah mempertontonkan himpunan demi himpunan. Menjangkau lebih daripada 10,000 meter persegi, ia menjadi indikasi sebenar buat gaya keanggunan Paris. Secara tidak langsung, memartabatkan adibusana Perancis.

Perencana di sebalik projek pembinaan ini adalah arkitek Amerika, Peter Marino, yang mengolahkan lebih daripada 100 bahan daripada kayu oak berkemasan cerused, beralih kepada hiasan tekstur stuko rona putih serta sutera yang disulam khas. Marino turut menghidupkan segenap ruang butik 30 Montaigne dengan karya seni asli. Termasuk apungan instalasi seni olahan Paul Cocksedge di ruang masuk berbumbung kubah dan arca bunga mawar setinggi 26 kaki garapan Isa Genzken; yang mengambil lokasi di tengah-tengah butik.

See also
GLAM FIRST: DIOR Spring/Summer 2022

Di persimpangan gaya neo-klasik berbalas garis konstruksi kontemporari nan polos, butik 30 Montaigne meraikan kepelbagaian savoir-faire, art de vivre, gastronomi dan budaya. Ia turut meraikan keseimbangan harmoni antara keberanian, kecemerlangan dan kebijaksanaan. Anjurannya terlihat sehingga ke bingkai jendelanya yang menghimpunkan pelestarian luar biasa. Termasuk ruang butik yang mempesonakan, meliputi asas nadi Dior – dari toile de Jouy sehingga cannage lantas diselingi dengan karya seni dan beberapa ciptaan eksklusif. Terpahat sama, sudut yang didedikasikan sepenuhnya buat kecantikan, wangian dan kesejahteraan.

La Galerie Dior pula mendakap penghormatan kepada kerjaya pertama Christian Dior sebagai pemilik galeri. Diperbesarkan oleh naratif sinografi oleh Nathalie Crinière, mendedahkan arkib berharga Maison ini daripada himpunan adibusananya kepada pampangan wangian. Pengunjung turut dapat menuruti kecemerlangan Dior dalam memartabatkan seni ketukangan barang kemas mewahnya buat pertama kalinya di butik ini. Kunjungan ke Le Restaurant Monsieur Dior dan La Pâtisserie Dior, diselitkan buat meraikan kreativiti gastronomi citra chef Perancis Jean Imbert. Tambah lagi, lokasinya diserikan dengan taman laksana pereka landskap Peter Wirtz bersama Peter Marino. Terakhir sekali, La Suite Dior, membiaskan hospitaliti klasik à la française, menawarkan kunci buat penginapan malam penuh eksklusif di 30 Montaigne.

See also
5 Aplikasi Meditasi Untuk Ketenangan Diri Sepanjang PKP

Pautan berkaitan: Gucci Melengkapi Rutin Harian