fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
GLAM Hijab: 5 Jenama Tudung Lokal Perlu Ada Dalam Wardrobe Anda
Hijab Ikon: Tasnim Shah Definisi Hijabi Moden Bergaya
Hijab Ikon: Khainina Khalil Simbol Fesyen Moden Wanita Gen-Z
Hijab Ikon: Sofia Arissa Jadi Suara Wanita Moden
GLAM Hijab: Neelofa
Home > GLAM Hijab > Hijab Ikon: Bella Dally Memilih Ketenangan

Hijab Ikon: Bella Dally Memilih Ketenangan

Nabilah Ali Dally atau lebih mesra dikenali sebagai Bella Dally yang merupakan seorang pelakon, model dan pengacara kini memilih kehidupan yang lebih tenang. Privasi yang dikecapinya telah membuka makna baharu tentang hijab.

Nama Bella Dally cukup sinonim dengan keanggunan yang tidak pernah pudar, hadir dengan aura manis yang mengiringi setiap perjalanan dan penampilannya. Perah menghiasi kaca televisyen menerusi naskhah seperti Adella Sofea dan Gila-Gila Remaja 2, Bella Dally menjadi antara wajah yang tidak asing dalam dunia hiburan tempatan. Namun kini, Bella memilih untuk melalui fasa kehidupan yang lebih privasi, jauh daripada gemerlapan dunia hiburan yang pernah menjadi sebahagian besar perjalanan dirinya. Seiring dengan perubahan itu, perjalanan hijab Bella juga tampak berkembang ke arah yang lebih peribadi dan bermakna. Genap 12 tahun berhijab, Bella menyaksikan pelbagai perubahan yang mewarnai perjalanan hidupnya, khususnya sejak memilih untuk melangkah dalam rentak yang lebih tenang. GLAM berkesempatan menemu bual Bella Dally dan menyelusuri perjalanan dirinya sebagai seorang hijabi yang kini melangkah dalam lembaran kehidupan yang baharu.

Ketenangan Yang Membuka Ruang Penemuan Diri 

Hijab Ikon: Bella Dally Memilih Ketenangan

Wanita kelahiran Sabah ini sudah berada di dalam industri hiburan tempatan sejak tahun 2009. Dunia hiburan yang sarat dengan gemerlapan karpet merah ini sering bergerak seiring dengan kehidupan yang tidak pernah lepas daripada perhatian umum. Namun, Bella Dally kini melangkah dengan pilihan untuk menjalani kehidupan yang lebih tertutup. Menurutnya, keputusan ini diambil kerana satu perubahaan keutamaan. Setelah bertahun-tahun menelusuri landskap dunia hiburan, Bella telah melangkah melalui pelbagai fasa yang membentuk perjalanan dirinya, lalu melihat kehidupan daripada lensa yang berbeza. Dalam keheningan yang dipilih, privasi menjadi ruang yang paling berharga iaitu tempat untuk Bella mengenali potensi diri dengan lebih jujur, serta meniti setiap langkah ke hadapan dengan harapan meraih keberkatan dalam perjalanan hidupnya.

Hijab Ikon: Bella Dally Memilih Ketenangan

Bella turut berkongsi bahawa perjalanan hijab miliknya adalah satu proses yang sangat bertahap untuk dirinya sampai ke tahap pemakaian yang lebih sempurna hari ini. Bagi dirinya, setiap wanita mempunyai garisan masa, pengorbanan, dan kisah mereka tersendiri dalam menyarungkan hijab. Dalam fasa kehidupannya yang lebih privasi, hijab menjadi pelindung buat Bella yang menenangkan jiwa. Ia menghubungkan dirinya dengan Allah dan mengingatkan tentang identiti sebagai seorang Muslimah dalam setiap langkah kehidupan. Disebalik setiap helaian yang disarungkan, Bella merasakan rasa selamat, selesa dan terlindung. Namun, dalam dunia yang sering menilai penampilan luaran, Bella memilih untuk memastikan perjalanan hijabnya tidak dibatasi oleh persepsi orang lain, dengan berpaut teguh pada paksi utama mengapa dirinya memilih jalan ini. Di sudut hati yang paling dalam, ia berakar daripada niat peribadi untuk terus berkembang, sekaligus mencari versi diri yang lebih baik dari hari ke hari.

Privasi, Keindahan Yang Menenangkan Jiwa

Hijab Ikon: Bella Dally Memilih Ketenangan

Bella turut berkongsi bahawa suatu ketika dahulu, setiap langkahnya seakan perlu berada di bawah pandangan umum. Namun kini, beliau lebih menghargai ruang untuk melakukan sesuatu dengan ikhlas dan lahir daripada keinginan diri sendiri tanpa tekanan untuk sentiasa diperhatikan. Privasi ini menjadi sebuah ketenangan yang berharga, apabila sebahagian kisah hidupnya hanya menjadi miliknya dan keluarga. Namun, setiap perubahan tidak pernah terlepas daripada cabaran tersendiri. Bagi Bella, cabaran itu hadir dalam bentuk kesunyian. Dahulu, ketika sering menjadi tumpuan, beliau perlu memastikan dirinya kekal relevan dan sentiasa berada dalam pandangan umum agar tidak tenggelam dalam arus industri. Namun apabila melangkah ke fasa yang lebih privisi, cabarannya berubah iaitu proses membiasakan diri dengan sunyi tanpa sorotan umum. Seiring waktu, kesunyian itu menjadi ruang baharu yang lebih mendamaikan.

Fasa ini turut menjadi ruang buat Bella untuk bermuhasabah dan kembali meneliti diri sendiri. Dalam menjauh daripada kesibukan dunia luar, jiwanya terasa lebih lapang dan rendah hati lantas membuka ruang untuk perlahan-lahan memperbaiki diri serta melihat setiap aturan hidup dengan lebih jelas dan penuh rasa syukur. Jika Bella boleh berpesan kepada dirinya yang dahulu, hijab akan terus disarungkan dengan rasa bangga kerana dari situlah terbentang jalan yang membuka pintu rezeki dan peluang yang lebih luas. Namun, dalam keindahan itu, hijab tetap harus difahami bukan hanya pada luaran, tetapi juga pada hati dan peribadi. Dalam perjalanan hidup, ada saatnya sesuatu perlu dilepaskan. Dan pengorbanan itu bukanlah sebuah pengakhiran, tetapi permulaan kepada fasa baharu yang lebih bermakna.

Lembaran Fasa Baharu

Fasa ini menjadikan Bella lebih selektif dalam setiap pilihan, sama ada projek, kolaborasi mahupun perkongsian kepada umum agar ia selari dengan nilai peribadi yang dipegang hari ini. Ia bukan soal menjauh atau memilih, tetapi tentang meluruskan niat dengan lebih jernih. Bagi Bella, memahami apa yang benar-benar diingini dan memegang nilai diri adalah penting, kerana akhirnya segalanya kembali kepada tujuan hidup yang sebenar. Namun, tidak dapat dinafikan Bella tetap merindui para peminatnya. Setiap kali berpeluang berinteraksi di media sosial, ia membawa satu rasa yang istimewa. Bagi Bella, beliau percaya setiap daripada kita masih memikul tanggungjawab untuk menyebarkan kebaikan kepada masyarakat. Di sebalik fasa ini, Bella kini mempunyai lebih ruang untuk keluarga dan, yang paling penting, menjaga kesihatan diri. Bella belajar untuk lebih menyayangi dirinya sendiri, dengan rutin harian yang lebih teratur dan rehat yang mencukupi. Berbanding dahulu yang sentiasa berkejaran dengan masa, kini hidup dapat dinikmati dengan rentak yang lebih perlahan dan berkualiti. Masa bersama keluarga, bersenam, memasak dan tidur awal adalah antara perkara sederhana ini menjadi sesuatu yang paling berharga, dan paling disyukuri dalam kehidupannya hari ini.

Artikel berkaitan: Hijab Ikon: Sofia Arissa Jadi Suara Wanita Moden