GLAM Profil: John Ang - Glam Malaysia
GLAM Profil, John Ang 04

GLAM Profil: John Ang

Menjunjung seni tekstil Kepulauan Nusantara ini, John Ang, 66, merupakan seorang pengumpul, pendidik juga penggiat seni yang mendedikasikan sepenuh dirinya untuk memulihara seni tekstil Melayu. Turut menggalas peranan sebagai pengarah buat Samyama yakni perikatan yang dikemudi sendiri di dalam menghimpun dan merunding barangan antik juga kristal dari bumi Cina. Berselubung sama seni warisan tekstil Nusantara dari songket, tenunan ikat limar, ikat loseng, tekat, telepuk, batik serta ikat celup kain pelangi.

pengarah kreatif AIZAT AIDID pengarang rencana ZUHAIRIE SAHROM gambar BIBO ASWAN dibantu oleh SAUFI NADZRI

Melangkahkan kaki memasuki ruang kediamannya, dua instalasi persalinan baju kebaya yang sudah berusia lebih beratusan tahun membaluti indah tubuh boneka pakaian menyambut kedatangan GLAM ke kondominium mewahnya di Mont Kiara. Diproduksi di Jepun buat pasaran masyarakat Melayu Nusantara kala itu, fabrik tenunan sutera yang bermotifkan flora asal negara matahari terbit itu masih di dalam kondisi yang baik. Sepanjang laluan ke ruang tamu, kami disajikan juga dengan lembaran tekstil dan foto-foto lama keluarga John Ang lengkap berbaju tradisional Melayu yang terpampang pada dinding. Disamping itu, jejaka yang berwarganegara Amerika ini bijak memadukan segenap ruang rumahnya dengan objek antik yang sudah dikumpul dari usia mudanya. Antaranya, tembikar Cina, kristal dan batu-batu mineral yang jarang ditemui, ukiran kayu Melayu serta aksesori yang melengkapkan busana tradisional seperti tengkolok, keris juga barangan kemas yang diperbuat dari emas antik bertatahkan intan yang dicanai kasar.

GLAM Profil, John Ang 01

MENJULANG WARISAN NUSANTARA

Sampai di ruang tamu, rak buku setinggi syiling mencecah ke lantai menjadi dinding aksen. Sekali gus, berfungsi untuk memuatkan ribuan bahan bacaan dari sejarah bumi China, Nusantara dan pelbagai macam lagi. Namun, lirikan mata penulis tertumpu pada lembaran tekstil telepuk yang begitu asing bagi kami semua yang berhimpun dirumahnya. “Saya bukan lah warganegara tempatan dan kerana loghat pertuturan saya seperti dari Kota Singa, pada setiap permulaan perkenalan pasti ada yang meneka saya berasal dari Singapura. Akan tetapi sebenarnya saya memegang pasport asal Amerika kerana dilahirkan di Chicago. Namun, kedua orang tua saya merupakan warga Singapura,” cerita John Ang berkongsi sedikit latar belakangnya.

See also
Senarai Lengkap Pemenang Oscar 2024

Tambahnya lagi, “Sewaktu mereka muda dahulu, keduanya selesa sekali melancong lalu menemukan ramai kenalan dari serata dunia. Mereka tidak sama sekali seperti kebanyakan ibu bapa berbangsa Cina di Singapura, kerana kedua orang tua saya acap kali mendambakan pengembaraan. Demikian, kami sekeluarga berpindah randah menetap di kuarters universiti yang merupakan tempat ibu mengajar serta mendidik. Sejak dari kecil saya sudah didedahkan untuk bergaul dengan komuniti yang berpunya berbilang bangsa dari pelbagai negara. Makanya, saya lebih senang menyatakan saya adalah warga sedunia sekiranya mahu memperkenalkan diri secara ringkas. Tanpa mengira bangsa mahupun latar belakang identiti, nescaya semuanya bakal aman bila kita senantiasa menerapkan sikap bertoleransi dengan menjauhi kecenderungan memfokus pada diri sendiri tanpa menghiraukan orang sekeliling. Kerana hakikatnya kepentingan bersama lebih penting dari kepentingan peribadi di dalam memelihara budaya juga keharmonian sejagat.”

GLAM Profil, John Ang 02

“Saya pulang ke Singapura dan menamatkan pengajian pra-universiti. Kemudian sekitar 1974, kembali ke Amerika untuk melanjutkan pengajian di Universiti Michigan yang mana saya beroleh sijil Bachelor of Arts (BA) dan Master of Arts (MA) dalam jurusan Sejarah Seni Asia. Jurusan ini tidak ada di Malaysia, kebanyakkan hanya menawarkan jurusan asas seni seperti Tekstil, Seramik dan sebagainya. Jarang sekali jurusan Sejarah Seni. Kebanyakkan orang atau graduasi bidang seni tahu mengenai seni tetapi tidak semua arif memperincikan tentang sejarah dalam seni mereka. Disebabkan itu, saya tampil menghulurkan kontribusi buat menolong para artis dari perspektif sejarah. Lebih-lebih lagi sejarah mengenai tekstil, dalam pada masa yang sama saya berusaha menemukan tekstil warisan Nusantara yang kian pupus. Saya berpindah ke Malaysia hanya empat tahun yang lalu. Mengapa saya membuat keputusan untuk menetap di sini sepenuh masa adalah kerana memasang cita-cita serta usaha buat menekuni lebih banyak kajian tentang seni tekstil Melayu Nusantara. Apabila berada di sini (Malaysia), sudah pastinya membawa saya lebih dekat dengan perincian sumber yang diingini,” tutur pengumpul yang dahulunya mengemudi galeri seni dengan memasarkan barang antik di Taiwan.

See also
Kembara Fesyen: Thanuja Ananthan

Saat menemubual John, pandangan mata penulis terdorong mengamati tekat timbul benang emas yang digantung memisahkan gerbang ruang balkoni tertutupnya. Patung wayang kulit serta himpunan tembikar antik yang bertimbun memenuhi segenap ruang itu. Diserikan lagi dengan dua persalinan busana tradisional Nusantara yang dikurasi sepenuhnya oleh John. “Tekstil Indonesia dan Malaysia pastinya punya perbezaan. Namun, kebanyakan tekstil Indonesia didokumentasikan lalu boleh diakses menerusi buku dan di Malaysia pula adalah sebaliknya. Saya memegang azam untuk menjadi perintis menerbitkan naskah bacaan tekstil Malaysia, baik dalam versi media cetak mahupun elektronik. Saya kini mengumpulkan banyak rujukan mengenai tekstil Malaysia dan saya dapati seni tekstil negara ini sangat mengagumkan.”

AS A COLLECTOR, YOUR EYES HAVE TO BE VERY SHARP TO PINPOINT THE RARE THINGS THAT NO ONES, OTHER PEOPLE DON’T SEE. BIDANG INI SANGAT MENARIK KERANA IA MEMBAWA SAYA KE SERATA DUNIA UNTUK MELIHAT SENI TEKSTIL NUSANTARA — JOHN ANG

GLAM Profil, John Ang 03

“Baru- baru ini, saya menemui corak Melayu Champa di Vietnam dan Kemboja. Ia persis seperti garapan orang Melayu Minangkabau. Tetapi timbul persoalan bagaimana ia boleh berada di luar Malaya, memandangkan Melayu Minangkabau dan Champa barangkali begitu jauh. Jadi saya menghubungi rakan di Champa untuk datang ke Malaysia. Kami bertemu di Pasar Seni bagi membincangkan perkara itu. Kebetulan, saat itu saya menyarungkan baju-t yang punya lakaran Silat Harimau. Lalu, ia mengingatkan kembali memori saya menonton pertandingan silat Minangkabau; di mana ia mengamalkan Silat Harimau Champa. Segala persoalan terjawab bila saya mengetahui bahawa orang Champa mengajar orang Minangkabau tentang Silat Harimau. Dalam masa yang sama, tercipta satu hubungan yang berkaitan dengan sejarah tekstil antara Melayu Champa dan Minangkabau. Saya juga menjumpai satu buku menceritakan tentang satu perkampungan Cina yang mengamalkan bahasa Hokkien di selatan Vietnam. Sejarah tersemai rapi apabila saya berjaya menghubungkan titik sejarah seperti orang Bugis, orang Melayu dan sebagainya menerusi perkahwinan campur, perdagangan dan sebagainya.”

See also
Priyanka Chopra Jonas Diarah Keluar Dari Salun

Baca lanjut dalam GLAM Mei 2022

Pautan Berkenaan: An Affair with Timekeepers