GLAM Profil: Gillian Hung - Glam Malaysia
GLAM Profil, Gillian Hung 03

GLAM Profil: Gillian Hung

Kata kunci yang diucapkan oleh dua legenda fesyen ini dan akan tetap mengisi akal mereka dalam merodong samudera fesyen. Sudah lebih dua dekad mereka memperkasakan fesyen lokal, jadi… what’s next?

Gillian Hung bersama-sama GLAM, membicarakan tentang pola era semasa dan memandang ke hadapan.

pengarang rencana & penata gaya ZUHAIRIE SAHROM arahan seni AMIIRUL ARIFIN penulis ARDI IDEWANI gambar ROBIN YONG/ONE3FOUR STUDIO solekan KF BONG dandanan JUNO KO

“Tanggungjawab saya adalah untuk menyediakan satu platform yang mampu membangunkan nama. Platform yang menyatukan insan-insan kreatif dalam lapangan fesyen lokal – seni reka fesyen, seni kecantikan dan seni rambut – agar menjadi satu unit. Pabila mereka dewasa kelak, mereka bersedia menawan arena fesyen. Mana tahu, mungkin platform ini juga mampu mendorong mereka untuk mengukir nama sehingga ke peringkat glokal?” Kata Gillian Hung atau lebih senang dikenali sebagai Mama G.

Bersenjatakan 1001 pengalaman serta mengumpul sebakul ilmu fesyen, tiada apa yang keluar dari mulut Mama G yang kedengaran meraban. Mama G ikhlas dalam percubaannya untuk mengetengahkan bakat-bakat fesyen – terutama sekali bakat-bakat muda – dan apa yang bermain dalam kotak fikirnya adalah untuk menyuburkan industri. Dia mengepal erat prinsip untuk tidak menoktahi tanggungjawabnya itu, kendatipun bila dia sudah berusia 100 tahun nanti. “I’m unstoppable. Dari dulu lagi saya mempunyai misi dan menajamkan niat untuk terus membantu bakat-bakat muda. Saya tidak mahu mereka kehilangan arah. Keterlibatan saya ini adalah untuk memantapkan mereka,” tegas Mama G.

GLAM Profil, Gillian Hung 02

CINCIN, SUBANG STUD DAN JAM DARI HIMPUNAN PANTHÈRE DE CARTIER SALING MENGIMBANGI PESONA HEBAT MASTERMIND GEN & HUNG INI.

Umpama pekerja rencam, Mama G sudah merangkul berbagai-bagai tugas. Pernah menjadi presiden untuk MODA (yakni Malaysian Official Designer Association), pengarah rekaan serta pengarah fesyen untuk Parkson, menjadi penasihat untuk organisasi-organisasi fesyen, menjadi juri untuk bermacam-macam pertandingan… she has done it all. Mama G tidak mahu segala apa yang dia ada itu terkurung lama, disimpan seorang diri. Bagi Mama G, sebaiknya dia kongsi ilmu tersebut. “Tak guna meleweh pabila sudah mengutip pelbagai ilmu di dada. Kongsikan dengan anak-anak muda kerana mereka adalah legasi yang akan terus mengharmonikan industri fesyen!” Kata Mama G.

I’M UNSTOPPABLE. DARI DULU LAGI SAYA MEMPUNYAI MISI DAN MENAJAMKAN NIAT UNTUK TERUS MEMBANTU BAKAT-BAKAT MUDA. SAYA TIDAK MAHU MEREKA KEHILANGAN ARAH. KETERLIBATAN SAYA INI ADALAH UNTUK MEMANTAPKAN MEREKA — Gillian Hung

Bak kata orang, kalau senang, biar sama-sama senang. Bercanggah dengan perkataan senang, Mama G bercerita yang dia pernah merasa hidup susah. Mengenang zaman mudanya, Mama G teringat kembali bagaimana dan apa yang membuka hati, lalu merangsang akalnya untuk menjadi seseorang dalam industri fesyen. “Saya dahulu satu sekolah dengan Dato Michelle Yeoh. Ketika itu saya sering melihat Dato Michelle aktif menari dan berlakon di atas pentas. Dan perkara itu menginspirasi diri saya untuk mahu sama-sama terlibat dalam bidang seni. Tetapi, saya memilih fesyen,” jelas Gillian.

GLAM Profil, Gillian Hung 01

GILLIAN TAMPIL MEMAKAI KOT BULU TANPA LENGAN DAN DRESS DARI LABELNYA SENDIRI SAMBIL MENGGAYAKAN HIMPUNAN IKONIK PANTHÈRE DE CARTIER DALAM KEMASAN EMAS PUTIH BERTATAHKAN BERLIAN.

Seperti yang dikatakan oleh Mama G sendiri tentang hidup susah, masa zaman remajanya dahulu, dia hanya akan dapat dua helai pakaian dalam setahun. “Saya akan membaharui pakaian-pakaian saya itu. Contohnya skirt dijadikan seluar, saya tukar bahagian detailings, potong sana, potong sini. Jadi, daripada situ, saya umpama sentiasa ada ‘pakaian baharu’. Mundar laju ke masa sekarang, apa yang pernah saya hasilkan itu adalah sustainable fashion, bukan?” jelas Mama G.

See also
Mimpikita Kini Bukan Lagi Sekadar "Mimpi"

Kini sudah mencecah usia lebih 50 tahun, Mama G takkan beranjak dari dunia fesyen. Kerana dia masih mahu ‘melunaskan’ misi serta visinya itu. “Saya berpegang pada kata kunci perseverance. Kecekalan hati yang sentiasa menjentik diri bahawa perjalanan dan perjuangan saya belum lagi selesai. Sehingga menghasilkan ganjaran.”

Baca lanjut dalam GLAM September 2022.

Pautan Berkenaan: GLAM Profil: Melinda Looi