Evolusi Seni Klasik Dalam Dunia Fesyen Moden

Evolusi Seni Klasik Dalam Dunia Fesyen Moden

Seni tidak lagi terbatas di ruang galeri. Ia ada di mana-mana. Berkurun dahulu ia hanya dinikmati di ruangan tertutup. Kini ia diterjermah dalam pelbagai persepsi, meresap ke salah satu industri terbesar dunia hari ini- dunia fesyen.

teks SITI SYAHIDAH KARIM BUX grafik AMIRUL ARIFIN

Tanyalah tokoh atau pakar dari ceruk dunia mana pun. Tiada siapa mampu menafikan keakraban seni dan dunia fesyen. Dua elemen penting ini bagai ‘aur dengan tebing’, sukar untuk dipisahkan. Di sebalik setiap ekspresi, ada kisah untuk diceritakan dan mesej yang ingin disampaikan. Sejak berabad lama seni dan fesyen menyumbang kepada dunia sartorial dengan memberi inspirasi warna, stail serta cetakan. Dan hari ini, tiada lagi garis sempadan antara keduanya. Seni tidak hanya terhad di atas kanvas malah meluas ke rumah-rumah fesyen.

Sama juga halnya dengan fesyen. Dari pentas peragaan, ia kini dipamer dan menghiasi ruang kaca muzium terkemuka. Satu contoh, pameran Garmenting: Costume as Contemporary Art yang berlangsung di Muzium Seni dan Rekaan New York City tahun lalu. Pengunjung meneroka titik pertemuan antara seni dan fesyen melalui karya 35 artis kontemporari. Ia diiktiraf sebagai pameran global pertama yang mendedikasi pakaian sebagai medium seni visual. Bayangkan melihat ajnas koleksi pakaian terkini bukan di pentas fesyen, tetapi di muzium. Bukankah mengagumkan? Dari gaun, kot, jubah hingga celana, apa yang tidak dipamer di situ hanyalah perekanya. Ini menjadi bukti, muzium tidak lagi sekadar mempamer pakaian bersejarah. Ia rumah untuk rekaan moden juga.

Dari pentas peragaan ke muzium, bagaimana pula inspirasi dari ruang pamer ke rumah fesyen terkemuka? Kolaborasi seni dan dunia fesyen yang masyhur sejak dua dekad lalu kini berada di kemuncak. Hari ini tidak terhitung betapa ramai pereka yang mengambil ilham daripada seni klasik dan menterjemahnya ke dalam rekaan moden. Namun, ia sebenarnya bukan fenomena baru. Lahirnya ia sejak beratus tahun dahulu.

From Canvas To Catwalk

Dalam sejarah, fesyen diinspirasikan oleh pakaian yang dilihat pertama kali pada lukisan klasik. Jan Van Eyck, Jean-Honore Fragonard dan James Tissot memotretkan variasi persalinan wanita dalam karya terkenal mereka – The Arnolfini Portrait (1434), The Swing (1767) dan July: Specimen of a Portrait (1878). Inilah yang mempengaruhi trend fesyen pada abad-abad seterusnya. Pereka moden juga tidak terlepas daripada godaan ini. Karya klasik unik dan luar biasa memberi aspirasi sekali gus mencetus kreativiti mereka untuk menjelmakan koleksi fesyen memukau mata.

See also
Kolaborasi Anya Hindmarch dan Malaysia Airlines Berhad

Tahukah anda antara sumber inspirasi sejarah seni yang menjadi kegemaran para pereka? Karya Hieronymus Bosch. Artis Belanda ini terkenal dengan hasil seni yang mencerminkan kod moral zaman pertengahan. The Garden of Earthly Delights yang dihasilkan pada abad ke-15 memberi ilham kepada ramai pereka, daripada Raf Simons hingga Alexander McQueen. Begitu juga dengan Gucci. Untuk kempen ‘Gucci Hallucination’ Musim Bunga/Panas 2018, artis Sepanyol Ignasi Monreal diberi tanggungjawab mencipta animasi digital daripada karya klasik. Salah satu pilihannya? Lukisan tiga serangkai ini.

Menggabungkan fesyen serta seni halus bersejarah dan kontemporari, karya klasik itu dihidupkan semula dalam versi moden. Selain Monreal, ‘taman nikmat duniawi’ Bosch juga berjaya menawan hati pengarah kreatif Valentino, Pierpaolo Piccioli. Bersama pereka Zandra Rhodes, dia mentafsir semula The Garden of Earthly Delights untuk koleksi Musim Bunga/Panas 2017 dalam palet rona hijau, coklat, merah jambu dan ungu.

Satu lagi inspirasi yang menjadi kegemaran pereka moden adalah lukisan zaman Renaissance. Ia mengalami kebangkitan semula dalam trend dunia fesyen beberapa tahun lalu, selepas penganjuran Met Gala 2018 bertema ‘Heavenly Bodies’. Pereka mula mencipta rekaan dan siluet berani berilhamkan lukisan Itali abad ke-15 dan 16. Gaun sifon dan taffeta, lengan Juliet, cetakan sarat bunga serta kolar ropol Shakespeare. Bagaimanapun sebelum era ini menjadi kegilaan, Piccioli, Dolce & Gabbana dan Marie Grazia Chiuri telah pun bereksperimen beberapa tahun sebelumnya. Menghasilkan koleksi haute couture legenda yang mengangkat fesyen mewah ke tahap lebih tinggi.

Potret Elizabeth I yang masyhur dengan gelaran ‘Virgin Queen’ turut menjadi sumber inspirasi. Antara ikon dunia fesyen terhebat dalam sejarah, permaisuri itu terkenal dengan gaun bersulam mewah sarat mutiara, kerongsang berhias dan perincian permata jarang ditemui. Siluet dramatiknya mencetus kreativiti ramai pereka haute couture termasuk Valentino dan Vivienne Westwood. Potret wanita zaman Victoria pada abad ke-19 juga mengilhamkan koleksi Musim Bunga/Panas 2019 Erdem. Persalinan formal dan sopan ditampilkan bersama kolar tinggi dengan lebih banyak hiasan reben, renda serta ropol.

See also
Nada Cinta Beyonce Dalam Video Muzik Baru

Selain potret, lukisan tanpa satu bayang manusia seperti geometri dan pemandangan turut mendapat tempat di hati pereka moden. Karya geometri Composition With Red, Green And Blue (1921) Piet Mondrian antara contoh terbaik fesyen membentuk seni. Ia menjadi ilham rangkaian beg Hermes pada 1930-an dan koleksi gaun koktel Musim Luruh 1965 Yves Saint Laurent yang menjadi sebutan pencinta fesyen. Selain itu The Great Wave Off Kanagawa (1831) karya Katsushika Hokusai. Visual ombak biru-putih dijelmakan semula pereka Rusia, Alena Akhmadulina pada helaian Musim Bunga/Panas 2016. Arca wanita juga menjadi rujukan pereka seperti Madeleine Vionnet bagi menterjemah sejarah kuno dalam koleksinya dari 1910-an hingga 1940-an. Bagi menyerlahkan lekuk tubuh si pemakai, dia menggunakan fabrik lembut seperti krep sutera dan jersi, memimik ukiran pakaian pada arca klasik.

Kolaborasi Pereka Dunia Fesyen & Artis Abad Ke-20

Selama berabad-abad pereka fesyen mengambil inspirasi daripada seni. Beberapa dekad kebelakangan ini menyaksikan mereka bekerjasama dengan artis kegemaran bagi mencipta koleksi terkini. Antaranya tokoh tersohor yang mengetengahkan paduan seni dan fesyen pada abad ke-20, Elsa Schiaparelli. Gabungan karakter eksentrik dan bakat luar biasa pereka Itali ini mencetuskan banyak rekaan terkenal. Salah satunya ‘lobster dress’. Kolaborasi bersama rakan baiknya Salvador Dali, artis di sebalik karya masyhur The Persistence of Memory. Menariknya tentang gaun tahun 1937 ini, ia menampilkan siluet udang galah lukisan Dali pada fabrik organza sutera Schiaparelli.

Gabungan geliga dua seniman ini mencuri perhatian dunia. Gaun unik dan berinovasi, siapa sahaja tidak tergoda mahu menyarungnya? Ia akhirnya dipakai Wallis Simpson, sosialit Amerika dan isteri Raja Edward VIII untuk penggambaran bersama Vogue. Walaupun mencetus detik ikonik dalam dunia fesyen, ‘lobster dress’ tidak menjadi sebahagian koleksi vintaj digemari dalam almari wanita hari ini. Sebaliknya ia menemui ruang sendiri di Muzium Seni Philadelphia.

See also
Sekumpulan Bintang Terhebat Hiasi Kempen BOSS Musim Luruh 2022

Jalinan kerjasama antara pereka fesyen dan artis kontemporari semakin galak sejak dua puluh tahun lalu. Pada 2003, monogram ikonik LV digabungkan dengan motif psikedelik dan palet warna-warni untuk kolaborasi Takashi Murakami x Louis Vuitton. Marc Jacobs, pereka artistik rumah fesyen Perancis itu menggambarkannya sebagai satu persilangan terbaik dalam sejarah fesyen dan seni. Bakat unik Murakami turut mencuri perhatian Crocs, Vans, Uniqlo dan Supreme.

Alexander McQueen mengambil langkah serupa sedekad kemudian melalui kolaborasi bersama Damien Hirst yang terkenal dengan karya bertema kematian. Berkongsi estetika sama, Alexander McQueen x Damien Hirst menterjemah semula motif tengkorak popular jenama itu menerusi 30 rekaan edisi terhad. Artis lain yang turut mempengaruhi industri fesyen moden termasuk Kelly Beeman untuk jenama mewah Elie Saab dan Tory Burch serta Yoshitomo Nara buat Stella McCartney.

“Art Is Art. Fashion Is Fashion.” – Karl Lagerfeld

Melihat jelmaan koleksi memukau di pentas peragaan, sukar untuk menidakkan pengaruh seni terhadap dunia fesyen kontemporari. Lagipun, bukankah fesyen itu sendiri adalah seni yang dipakai? Namun, bukan semua orang bersetuju. “Seni adalah seni. Fesyen adalah fesyen.” Begitulah pandangan peribadi Karl Lagerfeld. Sepanjang tujuh dekad kerjaya prolifiknya, pereka tersohor Jerman ini tegas dengan pendirian bahawa dua elemen tersebut tidak berkait. Bagaimanapun, dapat dilihat dengan jelas bagaimana koleksi fesyennya diinspirasi daripada pelbagai sumber seni halus.

Salah satunya gaun malam organza sutera berperincian manik kaca dan kristal, rekaannya buat Chanel untuk Musim Bunga/Panas 1984. Helaian putih bermotif bunga biru itu mengambil inspirasi daripada pasu bunga porselin Jepun dalam lukisan The Daughters of Edward Darley Boit (1882) karya John Singer Sargent. Malah Lagerfeld sendiri mendedahkan kepada Women’s Wear Daily pada Januari 1984, motif ilham pasu porselin biru- putih diceduk terus daripada karya Sargent. Jelas membuktikan hubungan penting antara seni dan fesyen.

Dalam 100 tahun mendatang, fesyen tentunya akan terus berevolusi dan memecah sempadan kreativiti seiring kemajuan teknologi dan perubahan trend. Namun yang pasti, seni akan terus menjadi inspirasi pereka dari generasi ke generasi.