Dreaming Is Here
Siapa terduga akan kemunculan legenda muzik Debbie Harry di acara Coach? Coach membawa fesyen ‘Downtown Chic’ bervolum hebat ke pentas Musim Luruh/Sejuk 2020. Mengeluarkan himpunan yang sarat dengan berjiwa pemberontak, disimbah jati diri Coach yang kekal berpegang kepada perihal ‘cool Americana’.
47th Street Warehouse, New York City menjadi alamat kepada acara fesyen Coach yang akan mempersembahkan koleksi Musim Luruh/Sejuk 2020. Suasana dingin pada hari acara yang sejuknya terus ke tulang, pun begitu landskap dan kekuatan seni bina yang pelbagai di sekitar lokasi acara punya karakter tersendiri.
Tidak dikelilingi bangunan-bangunan pencakar langit New York, malah deretan kilang dan bengkel-bengkel kereta yang mengelilingi sekitar lokasi acara. Segalanya terlihat sederhana. Ada kaitannya dengan rekaan yang bakal dipentaskan.
Tepat jam 1.30 petang, tetamu penting mula turun dari kenderaan masing-masing untuk turut bersama mendekati koleksi musim baru olahan Stuart Vevers, Pengarah Kreatif Coach yang saban musim menerbitkan keterujaan. Antara tetamu yang terawal ialah Quincy Brown, Lolo Zouai, Dree Hemingway, Rafferty Law, Koki dan termasuklah bintang fesyen Malaysia, Yuna. Wajah kempen Coach, Michael B. Jordan ada sama di acara Coach. Duduk di front row sambil diapit Megan Thee Stallion dan model, Paloma Elsesser.
Lensa kamera jurugambar yang hadir tidak terhenti, terus merakam kelibat para tetamu yang rata-ratanya hadir dalam persalinan Coach, atau melengkapi penggayaan dengan aksesori Coach. Di dalam arena pertunjukan berkonsep loft, semua orang sibuk bergambar bertujuan untuk merakam kenangan manis.
Siluet di pentas Coach musim luruh/sejuk 2020 lebih dinamik, tidak kompleks serta mengembus perihal downtown chic. Tiap rekaan wanita terbukti meramu dengan cedokan stail maskulin, ada elemen rugged, tetapi lamunan fabrik lembut dan percikan warna pastel menimbul rasa romantik pula.
Budaya fesyen downtown New York sekali lagi megharumi Coach di pentas peragaan musim luruh 2020. Seni utilitarian turut memaut pada rekaan musim ini, lalu mencipta karakter yang lebih maskulin selari dengan inspirasi Coach yang baru iaitu ‘the modern woman’. Jiwa muda memekat dalam rentetan fikiran Stuart sehingga dia menjadikannya sebagai pangsi ilham utama.
Elemen lembut dan feminin masih dikekalkan, melalui pengayaan serta penggunaan material untuk mencipta elemen dramatik dan penuh sensual. Pemakaian aksesori kecil seperti stoking berona, topi beanie sebagai hiasan kepala, boxy bag pelbagai warna, tali pinggang halus, sniker, meraikan budaya kuat orang New York yang menetap di kawasan downtown.
Himpunan musim ini turut mengangkat keunggulan seni Jean-Michel Basquit, yang mengeluarkan himpunan rangkaian helaian sarat dengan ilustrasi seni karya beliau. Tenaga dan kuasa seni Basquit diterjemah dengan cemerlangnya pada beberapa rekaan utama, seperti jaket dan kemeja-T.
Seni mewah turut menjadi nadi utama di Coach, misalnya kot-kot tebal dilengkapi bulu shearling, mengambil aspek lama dan baru, yang mengharumi citra 80-an terbina kuat dalam corak fesyen musim ini. Dan ia bertambah rancak bila band muzik The Coathangers memainkan muzik punk rock yang menggarap single-single hit kumpulan Blondie. Mereka diletakkan di kedudukan tengah pentas. Acara dihangatkan lagi dengan kejutan kemunculan lagenda muzik, Debbie Harry sewaktu finale Coach bermula. Debbie Harry sempat menyambung persembahan muzik dengan menyanyi beberapa rangkap lagu ikonik, Dreaming.
Kreativiti Coach musim ini, mencampurkan ledakan fesyen 80-an, penuh bertenaga, ada sedikit biasan estetika pop, menegaskan rangkaian Coach musim luruh 2020 antara yang cemerlang rekaannya sewaktu perlangsungan Minggu Fesyen New York pada Februari lepas. Segalanya yang dipersembahkan dalam ruang acara, menyampaikan idea fesyen Coach yang baru dengan lebih jelas.
SIAPA YANG HADIR?