GLAM Exposé: Menantu Hantu; Bermusuh Dengan Mertua Dan Mengongkong Pasangan - Glam Malaysia

GLAM Exposé: Menantu Hantu; Bermusuh Dengan Mertua Dan Mengongkong Pasangan

Selalu kita disogok dengan kisah menantu teraniaya oleh ibu mertua yang garang, atau ibu mertua yang tidak mahu melepaskan anaknya. Selalulah si menantu ini menjaja cerita keluh resahnya kena berhadapan dengan ibu mertua. Ia bukan kisah baru, memang ada pasangan yang diuji dengan kemelut antara menantu dan mertua yang tidak berkesudahan. Ada menantu memendam perasaan melihat karenah mertua, tidak kurang juga mertua yang panas hati dengan perangai menantu. Saya terpanggil untuk membongkar isu ‘Menantu Hantu’ ini kerana sejak akhir-akhir ini ramai pula yang mengadu dengan saya kisah menantu mereka. Selalu kes ibu mertua brutal, ini sisi menantu pula. Macam-macam ragam.

Kalau difikir-fikirkan kita memang sudah dididk dari kecil untuk menghormati orang tua, tetapi sayangnya masyarakat hari ini ramai yang biadap apabila dengan orang tua. Menantu pilihan selalunya dikaitkan dengan sifat-sifat yang sejuk mata memandang dan tentu sekali ringan tulang. Kelompok ini kebiasaannya terdiri daripada golongan wanita yang mempunyai ciri serta sifat ‘perempuan Melayu terakhir’. Pandai mengambil hati suami dan keluarga mertua, pandai selok-belok di dapur, ringan tulang membantu kerja-kerja rumahtangga dan penyabar. Tetapi hari ini, dunia sudah moden, perempuan hari ini banyak yang berkerjaya tinggi. Kriteria Datin ini untuk menjadi menantu pilihannya mestilah cantik rupa parasnya, berkerjaya tinggi, daripada keluarga ternama.

Nah, sebelum ini si anak teruna terpikat dengan gadis kerani di pejabatnya. Menjerit Datin, katanya jangan malukan keturunan mereka daripada golongan ada ada itu. Maka cinta yang terjalin itu putuslah kerana Datin tidak merestui perhubungan mereka. Seperti yang diimpi-impikan Datin, si anak teruna tunggalnya ini berkahwin dengan calon pilihannya yakni anak kepada seorang Tan Sri. Sudah berkerjaya besar dan anak Tan Sri tentunya menantu si Datin ini spoiled brat. Datin yang mahu menantu tinggal bersamanya untuk berkongsi kasih. Tetapi lain yang diharap, lain pula jadinya. Balik kerja si menantu campak saja sepatu tinggi Louboutinnya. Datin yang mahu berbual-bual dengannya pun dilayan acuh tidak acuh sahaja, mungkin penat seharian kerja. Menantu suka berkurung dalam bilik sahaja. Dapur rumah tidak pernah jejak. Tak dapatlah Datin nak merasa air tangan menantu. Sesekali terkedu Datin mendengar suara menantunya nyaring menengking anaknya yang kedengaran dari luar bilik.

See also
GLAM November 2015

Datin yang tidak tahan dengan menantunya itu, mengadu pada teman-temannya. Dia berharap anak dan menantunya mahu pindah keluar dari rumah daripada tinggal bersamanya. Mungkin kalau Datin restu hubungan dengan kerani itu, Datin dapat rasa kasih sayang seorang menantu. Menantu jenis pegang penyapu pun payah ini semakin ramai di pasaran. Mungkin disebabkan faktor wanita hari ini yang bekerjaya, cuti hujung minggu hanya ingin digunakan untuk berehat dan berehat. Sekali sekala pulang ke rumah mertua, hanya bermain telefon bimbit sahaja. Tidaklah mahu bertanya khabar pada mertuanya. Datin yang satu ini, orangnya ramah, suka memasak dan sangat penyayang. Dia hanya ada satu anak sahaja. Itulah buah hati pengarang jantungnya.

Sebelum anak tunggalnya (lelaki) berkahwin dengan menantunya sekarang, dia berkenan sangat dengan si menantu ini. Berbudi bahasa, suka terseyum dan ringan mulut. Tetapi segala-galanya berubah selepas mereka bernikah. Si menantu seperti ‘queen control’ suami harus mengikuti segala kehendaknya. Si anak pun baru dapat bini… maka berlebih-lebih lah sayang isteri sehingga mengabaikan ibunya. Cerita Datin sambil menangis, sudah menjadi kebiasaan walaupun sebelum kahwin anaknya yang tinggal sebumbung dengan dia, tetap akan menelefonnya setiap hari. Sekarang sudahlah dia tidak menelefon Datin, berkali-kali Datin menelefonnya tidak berjawab. Datin telefon menantu pun tidak berjawab. Luluh hati Datin, dan sekarang menantunya hamil, harapan Datin dia dapat berkongsi kasih dengan cucunya. Harap-harap tercapailah impian Datin. Anak Puan Sri ini, sejak dilahirkan lagi sudah dilayan seperti puteri raja.

Tambah dia seorang sahaja perempuan dalam keluarga. Majlis kahwinnya gilang gemilang. Menelan jutaan ringgit. Khabarnya bunga segar sahaja sudah habis satu juta. Tetapi rupa-rupanya menantu Puan Sri seorang yang bengis. Pantang salah sikit sudah tentu kekuatan vokalnya mencapai tahap paling nyaring. Menantu jenis ini hanya cakap dia sahaja yang betul. Dia enggan mendengar apatah lagi menerima nasihat. Buang-buanglah angin di dalam badan tu ya. Katanya si menantu naik tangan pada anaknya. Puan Sri suruh bercerai tetapi si anak degil, katanya sayang. Puan Sri dan Tan Sri cuba menasihati menantu pun tak jalan, habisnya mereka ditengking. Puan Sri takut mahu masuk campur, takut anaknya di pelangkung di rumah nanti. Buat masa ini, hanya doa saja mampu dia titipkan buat anaknya. Ini lagi kisah fiil menantu hantu. Di hadapan mertua dialah yang terbaik.

See also
Eminem Senaraikan Kediaman Agam Pada $2 juta!

Di kalangan ipar juga dialah contoh. Tetapi dalam diam dia mencungkil rahsia keluarga suami dan memburuk-burukkannya di hadapan keluarganya. Dia bermentuakan keluarga kaya pula, dialah tukang hasut suami untuk merebut harta sehingga keluarga berpecah belah. Jaga-jaga, sepandaipandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Bila tembelang sudah pecah, tiada apa yang bisa mengembalikan keakraban hubungan dengan mertua dan ipar duai. Teman sepejabatnya yang mendengar stratergi wanita ini naik seram. Kerana harta dia sanggup lakukan apa-apa sahaja. Kata temannya, dia berniat jahat nak jumpa bomoh, mahu sihirkan mertuanya. Ya Tuhan takutnya ada manusia seperti ini. Apabila bertuhankan duit, semuanya ditolak tepi. Kisah cerita wanita ini, saya yang mendengar pun turut berasa simpati, anak menantunya sama-sama kurang ajar dengannya. Katanya, menantunya suka bakar-bakar anaknya agar membencinya. Kadang-kadang cerita yang tidak ada, di ada-adakan. Banyak fitnah yang dilemparkan kepadanya, sampaikan si anak boleh menengking ibu yang kandungkan dia selama sembilan bulan.

Besar sungguh darjat isteri sehingga anak sendiri boleh menghina ibu. Setiap kali dimarahi anaknya gugur air matanya di hadapan anak, tetapi si anak seperti tidak ada langsung perasaan simpati pada ibunya. Pernah sekali sewaktu dimarahi anaknya, dia melihat menantunya tersenyum puas. Wanita ini tidak lagi mahu menumpang rumah agam milik anaknya kerana tidak sanggup dengan perbuatan menantunya. Dia kini lebih tenang tinggal dengan adiknya di kampung. Menumpang kasih dengan anak-anak sedara. Dulu Datin ini selalu bencikan ibu mertuanya. Dia anti sangat dengan ibu mertuanya, suaminya adalah hak milik mutlaknya. Dia selalu cakap dia lebih kenal suami dari ibu mertua kenal anaknya. Suami nak bagi duit pada ibu sendiri pun kena sorok-sorok. Takut bini marah. Begitulah dasyatnya Datin control Datuk. Dunia ini apa sahaja kita buat, sekarang Tuhan bayar cash. Datin yang sangat gembira anaknya sudah berkahwin, kini berduka kerana anaknya dikawal rapat dengan menantunya. Menangis dia menceritakan sikapnya pada ibu mertuanya dahulu. Katanya dia sempat meminta maaf pada ibu mertuanya atas segala salah silapnya pada ibu mertua. Hubungan baik dia dengan mertua tidak lama kerana dua bulan selepas itu ibu mertuanya sudah menemui ajal.

See also
Karpet Merah Hollywood Film Awards 2015

Datin redha apa yang berlaku pada dirinya adalah balasan daripada perbuatannya sendiri. Dia berharap menantunya dapat menerimanya sebagai ibu kandungnya sendiri. Lagi kisah mengenai anak beranak ini nak cakap menantu pun tidak, ibu mertua pun boleh tahan gangster. Kalau di kenduri pun tengah ramai-ramai orang pun boleh bertekak. Tidak malu gamaknya, orang melihat mereka terjerit terpekik. Isunya si menantu beli tas tangan Chanel baru dan si ibu mertua cemburu. Kisah kecil macam tu sahaja boleh jadi kes jerit menjerit. Mereka bersaing antara satu sama lain. Yang si ibu mertua ini marah sungguh si menantu habiskan duit anaknya. Si menantu sibuk mencanang perangai mertua pada ipar duai. Dia mahu ipar duai sama-sama membenci si ibu mertua. Sebagai menantu sulung, patut dialah mainkan peranan untuk jaga silaturrahim sesama keluarga. Tetapi dia menghasut dan mengadu domba pula.

Hidup ini berputar, saya percaya jika hari ini kita berbuat baik pada orang, nescaya pada masa akan datang kita akan dibalas dengan kebaikkan. Begitu juga sebaliknya. Jadi apabila kita mahu berbuat jahat atau melukai hati seseorang fikirlah masak-masak. Kalau tidak terjadi pada kita mungkin balasannya dapat pada keturunan kita. Isu menantu hantu ini, tidakkah kita terfikir yang satu hari anak-anak kita juga akan bernikah, dan mahukah kita pasangan anak-anak kita tidak menghormati atau mengetepikan kita? Tentu sekali tidak. Anggaplah mertua seperti ibu bapa kita sendiri. Semailah perasaan hormat dan sayang pada mereka.