Datin X: Derita Datin Cantik, Dua Kali Kahwin Datuk, Dua Kali Juga Di cerai - Glam Malaysia

Datin X: Derita Datin Cantik, Dua Kali Kahwin Datuk, Dua Kali Juga Di cerai

Suasana studio fotografi gempak gempita dengan kesibukan masing-masing. Tuan punya studio bersama krunya sedang menyiapkan sudut fotografi mengikut kehendak editor dan pengarah seni majalah tersohor itu. Latar belakang sekadar putih tetapi efek lampu mesti tepat agar hasilnya tampak cantik di skrin komputer. Belakang tabir pula editor fesyen dan pembantunya sedang menyusun pakaian berjenama Chanel. Aksesori mewah pula didatangkan khas pegawai serantau dan pengawal peribadi mereka. Sepatu tersusun dari hujung meja ke hujung meja. Meja solek pula tersusun dengan alat solek Nars. Jurumekap sedang siap sedia mahu menjalankan tugasnya. Hanya menantikan tuan punya badan datang. Sayangnya jam 11 masih belum sampai. Temu janji sepatutnya sejam lalu. Tak mengapalah. Kita berkehendakkan dia kenalah tunggu. Bukan senang mendapatkan tarikh lapang Datin Laura. Orangnya cantik, tinggi lampai, hidung mancung, bibir penuh, mata bundar dan rambut lebat segar. Kira Datin Laura menjadi penanda aras kecantikan yang diingini setiap wanita.

 

“Assalamualaikum semua. Maaf! Lambat!” Suara lunak Datin Laura memenuhi studio. Hari ini dia ditemani Sofy sepupunya merangkap pembantu peribadi. Sofy sebelah tangan menjinjing pakaian, sebelah lagi menarik bagasi jenama LV. Datin Laura sungguh cantik walaupun tidak bersolek. Rambutnya disanggul menyerlahkan lehernya yang jinjang. Ringkas sahaja penampilan Datin Laura, berseluar denim Guess dan blaus sutera satin merah jambu pucat Dior. Sepatu semestinya Christian Louboutin. Memang orang kita sedang kemaruk dengan jenama itu. Datin Laura bersalam dengan semua orang di studio sebelum melangkah masuk ke kamar dandanan. Kaca mata juga daripada Dior menutup hampir separuh wajahnya. Gaya hebat seorang Datin muda generasi baru. Sememangnya Datin Laura sudah tahu apa hendak buat sekiranya ada sesi fotografi seperti ini. Dia perlu membawa bekalan pakaian asas dan sepatu. Manalah tahu ada pakaian menjolok mata boleh dia kenakan tube atau legging. Kalau-kalau sepatu tidak muat paling tidak dia ada sediakan sendiri. Tidaklah menyusahkan badan editorial di majalah itu. Apalah salahnya bekerjasama memudahkan kerja, cepat sikit dapat balik. “Datin! Apa khabar?” Kemudian dia duduk di kerusi sedia untuk di solek. Jurumekap menegurnya ramah tamah. Sudah beberapa kali mereka bersua. Datin Laura memang suka dengan hasil kerja Benny. Kala Datin Laura membuka kaca matanya, Benny terdiam. Namun dia buat-buat muka selamba dan cuba berlagak biasa. Editor yang datang menyapa juga perasan akan hal itu. Namun, dia pantas menegur Datin dan memberi taklimat pada Benny wajah yang mahu dijelmakan hari itu. Beberapa tear sheet ditunjuk sebagai rujukan.

 

“Abang! Saya kira Datin moody hari ini. Mata dia bengkak-bengkak. Risau saya,” bisik editor majalah yang dipanggil Nur itu. “Tak apa. Kita cuba lakukan yang terbaik. Pandai-pandailah masing-masing jaga hati dia. Biar emosi dia bertukar ceria,” balas jurugambar Daud. Pengarah seni, Zack menggapai kumpulan kerjanya dan member pesan agar sebaik mungkin menuruti kemahuan Datin Laura. Usah memaksa dia memakai apa dia tak suka. Alahai entah apalah masalah wanita secantik Datin Laura. Ingat orang cantik tak berdepan dengan musibah ke? Mustahil! Selagi kita bergelar manusia pasti tidak lari daripada himpitan masalah dunia. Cantik, kurang cantik atau buruk mana sekalipun semua sama. Bahagia tidak memilih rupa paras. Tapi kasihan Datin Laura kerana dahulu pun dia memiliki masalah serupa, si jelitawan yang tidak bahagia. Datin Laura pernah berkahwin namun ditinggalkan suami juga seorang Datuk demi wanita lain. Entah apa kesilapan dilakukan. Rasa-rasanya dia sudah sedaya menjadi isteri paling setia. Rajin berbakti pada suami dan menjalani rutin isteri seperti biasa. Namun pengabdian dirinya itu belum dapat memuaskan hati lelaki bergelar suami. Datuk Sofian memang terkenal dengan mata keranjang. Entah bodoh apa Datin Laura menerima sahaja lamaran Datuk. Dua tahun juga mereka berkahwin. Setelah itu Datin Laura terkenal kerana sering hadir di acara-acara rasmi golongan elit. Kecantikannya menjadi tumpuan ramai termasuk media. Banyak undangan dengan hati terbuka dia terima. Menjadi tetamu dalam ruangan-ruangan Majalah dan muka depan. Alam rumah tangga mereka semakin dingin dirasakan. Datuk Sofi an semakin sibuk dengan urusan entah apa-apa. Alasannya mahu menambah kekayaan demi isteri tercinta. Namun bukan itu matlamat hidup Datin Laura kerana dia biasa hidup bersederhana. Memang dia dilahirkan bukan dalam golongan bangsawan atau hartawan. Pertemuan tidak sengaja dengan Datuk Sofi an pun kerana kerjanya sebagai setiausaha. Kerana kemaruk dengan wanita montok, Datin Laura ditinggalkan terkontang kanting. Mujur mereka belum dikurniakan zuriat. Ketika itu usianya baru menginjak 28 tahun. Luka di hati lantas terubat dengan kehadiran si kacak Datuk Kifly. Apabila mendengar Datin Laura sudah kembali bujang, dia masuk jarum. Sememangnya banyaklah orang besar menunggu peluang sahaja. Mereka sudah lama mengidamkan wanita cantik itu. Datuk Sofian itu bodoh, begitulah gelaran diberikan mereka. Nampaknya dalam ramai-ramai, Datuk Kifly yang langkah kaki kanan. Sebelum berkahwin memang Datuk Kifly punya sifat amarah melampau. Dia cepat sahaja naik angin tetapi cepat pula sejuk dan memohon kemaafan. Setahun juga mereka bercinta sebelum membina masjid. Datin Laura kini 29 tahun. Setahun lagi masuk tiga siri dah.

See also
Ekstrak Ginseng Rahsia Kulit Tegang

 

Walaupun masih dilanda fobia dengan perkahwinan pertama, Datin Laura menerima jodoh keduanya dengan Datuk Kifly. Sememangnya dia tidak mampu menolak rasa cinta membara. Pernikahan mereka mendapat liputan meluas. Apa tidaknya mereka pasangan tercantik di kalangan VIP. Seorang cantik jelita, seorang lagi kacak bergaya. “Jum tukar baju,” tegur editor fesyen, Fika sekali gus menghentikan lamunan Datin Laura. Sepanjang dia disolek Benny, fikirannya melayang-layang mengenang nasib badan. Kisah hidup dirinya ditimbal balas kerana mencari kekurangan diri. Apakah dia seorang wanita cantik membosankan lelaki? Apakah dirinya tidak pandai melayan suami? Apakah dia kekasih hanya menyakitkan hati? Mengapa dirinya sentiasa disayangi pada awal perhubungan tetapi akhirnya dipersia-siakan cinta?

 

Datin Laura didorong ke sudut studio untuk sesi fotografi hari itu. Dia diminta memberi aksi seperti ditunjukkan. Seperti dimahukan editorial untuk muka depan majalah mereka. Sekelip mata Datin Laura menghayatinya. Apa jua masalah tidak mengganggu gugat kerjanya hari itu. “Superb!” itulah yang terkeluar di bibir jurugambar Daud. Setelah dua baju selesai tinggal satu persalinan lagi. Kali ini wajah perlu diberi solekan berbeza mengikut kehendak editor. Sekali lagi Datin Laura duduk tegak menadah muka di kerusi meja solek. Seperti tadinya dia diam seribu bahasa. Tak ada seorangpun berani bersuara dan menghampiri Datin Laura kecuali Sofy. Minuman disediakan Sofy, dia sekadar angguk tanda terima kasih. Lamunannya kembali terbang tinggi entah ke mana. Wajah suami tergambar di fi kirannya. Entah mengapa setelah berkahwin, ego Datuk Kifly semakin menebal. Setiap kali tercetus pergaduhan tiada lagi kemaafan dihulurkan. Walaupun dia banyak mengalah, kalau dahulu mereka sama-sama minta keampunan. Kini seolah-olah kuasa suami lebih tinggi darjatnya. Ada-ada sahaja perbuatannya tidak memuaskan hati.

See also
GLAM Exposé: Menantu Hantu; Bermusuh Dengan Mertua Dan Mengongkong Pasangan

 

“Kau tak kuasa nak jaga aku kan? Kau memang suka layan kawan-kawan dari aku,” marah Datuk Kifl y tidak beradab lagi. Setiap hari memang Datin Laura menyiapkan makan pakai Datuk. Tetapi sesekali Datin Laura tidak sempat pulang kerana urusan temu janji contohnya seperti sesi fotografi , dia dimarahi sewenang-wenangnya. Bahasa sudah kasar, suara juga memetir. Semakin lama semakin tinggi. Datin Laura banyak diam, sekadar menjawab dalam hati. Bukan selalu dia terlambat. Malah dia telahpun meminta izin. Kala lambat dia cepat-cepat beritahu Datuk, jadi apa masalahnya? Kemudian tiga harilah Datuk Kifl y memberikan silent treatment. Mereka tinggal sebumbung namun tidak bertegur sapa. Datin Laura malas hendak melayan kerenah Datuk. Itu pun jadi masalah kerana dikatakan kurang peka dengan keperluan suami. Serba salah dia dibuatnya. Apa dia tahu, segala tingkahnya tidak kena dan segala kata-kata lahir di bibir seolah-olah racun berbisa bagi Datuk Kifly. Sudah tak mampu dibawa berbincang lagi.

 

“Laura!” lembut sahaja Sofy memanggil. Sekali lagi dia diberi persalinan cantik Chanel. Tiba di set dia sedaya upaya memberi aksi terbaik sekali lagi. Lagu-lagu berkumandang menaikkan semangat. Ke kiri dan ke kanan badannya dihayunkan. Gaun ditubuh kelihatan sangat cantik. Tiba-tiba sebuah lagu When I Was Your Man nyanyian Bruno Mars berkumandang. Hiba di hati Datin Laura tak tertahan lagi. Ya, dia sering ditinggalkan lelaki dicintai tanpa sebarang alasan. Sebab itu dia mencari-cari apakah kekurangan diri? Tiada siapa pula mahu memberikan jawapan. Dia mencari kebahagiaan dalam payung cinta Datuk Kifly tetapi sama sahaja nasibnya kini. Setelah menghilang selama seminggu, semalam Datuk Kifl y pulang membawa letusan berita menghiris hati. Sebab itu dia bengkakbengkak mata hari ini. Apalah malangnya nasib dia terjatuh hati pada orang yang salah lalu berjodoh dengan mereka ini. Semua orang di studio panik mendengar tangisan Datin Laura. Editor segera bergegas memeluk Datin. Sofy mencari tisu lalu menghulurkan kepadanya. Daud juga bergegas mendapatkan Nur dan Datin Laura.

See also
Tips Untuk Rambut Anda Daripada Instagram

 

“Kita rehat dulu ya?” pujuk Daud. “Tak apa.Kita teruskan. Maafkan saya. Panggil Benny untuk betulkan solekan,” ujar Datin Laura lembut. “Tak apa. Jangan lap. Kita teruskan dengan emosi begini. Datin tetap cantik,” pujuk Daud lalu berlalu mendapatkan kamera.

 

Setelah berpuas hati, sesi foto diberhentikan. Cukup! Mereka enggan mendera Datin lama-lama di situ. Biarlah dia pulang menenangkan fikiran. Namun, Datin dipelawa menjamah makan petang yang disediakan. Mahu pula Datin Laura bersama-sama duduk makan. Dia kelihatan lebih tenang. Solekan telah dibuang dan kembali menyarung pakaian asal. Kaca mata dibiarkan di atas kepala.

 

“Are you okay? Tak apa kita buat interview lain kali ya,” soal Nur berbahasa basi. “Saya akan bercerai lagi sekali.” Semua yang ada di situ terdiam seribu bahasa. Nur segera merapati Datin Laura memeluk tanda simpati. Sofy turut terdiam seribu bahasa walaupun dia sudah tahu perkara itu dari awal. Dia menelah mungkin Datuk Kifly sudah bertemu orang lain. Khabarnya seorang artis jelitawan. Entahlah tetapi berita itu tak pernah berani dia sampaikan kepada Datin Laura. Walaupun dia pembantu peribadi tetapi soal peribadi biarlah diselesaikan majikannya sendiri. Tak usah masuk campur. “Saya sudah beritahu ibu, saya takkan berkahwin lagi.” Datin Laura tenang menuturkannya. Biarlah dia mahu melepaskan berat beban di bahu kepada mereka. Semalam Datuk Kifl y pulang dan mencarinya di kamar. Dia sempat bertanyakan makan minum Datuk. Tetapi Datuk sibuk membungkus pakaiannya.

 

“Rasanya kita dah tak serasi lagi. Kita bercerai sahaja,” ujar Datuk Kifly semudah itu. Datin Laura pada ketika itu sudah malas mahu memujuk rayu. Hanya duduk di sofa menundukkan kepala. Hujung mata sesekali memerhati suami sedang mengemas. Kemudian lelaki itu keluar tanpa pesan. Padahal esok adalah hari lahirnya ke-29. Tiada langsung ucapan sebagai tanda penghargaan. Hari ini juga tiada tanda-tanda dia akan menerima ucapan itu. Benci benar suami pada dirinya. Apalah salahnya. Begitu rupanya nasib Datin cantik jelita ini. Kepulangan Datin Laura dipandang sepi semua orang. Masing-masing turut merasakan emosi Datin.

 

Seperti yang diceritakan kepada ANNA FREDA