Bayu Baharu Scha Alyahya - Glam Malaysia
Bayu Baharu Scha Alyahya

Bayu Baharu Scha Alyahya

1 of 2
Use your ← → (arrow) keys to browse

Pengarah kreatif: Aizat Aidid, Pengarang fesyen: Johan Kassim, Pengarah seni: Amirul Ariffin, Solekan: Khir Khalid, Dandanan: Ckay Liaw, Gambar: Chee Wei, Teks: Marini Mat Zain

Enggan berganjak, primadona Scha Alyahya akan kembali beraksi di layar perak dan kaca TV. Disamping itu, wanita ikon fesyen itu juga sedang merancang membina empayar perniagaannya sendiri. Tidak tunggu lama, segala-galanya dirancang terlaksana dalam tempoh dua tahun mendatang. Peralihan besar dalam hidupnya sedang diperhalusi terperinci.

Bayu Baharu Scha Alyahya

Pada awal kemunculan, ramai mengenali Scha Alyahya menerusi drama bersiri Awan Dania. Namun, mata saya menangkap lakonan bersahajanya dalam telefilem Sweet Lola. Ketika itu, sisi sudut lain di dalam diri Scha mula menyerlah. Dia sangat ‘fashionista’.

“Saya meminati fesyen,” ujarnya memulakan perbualan. Sehingga ke hari ini undangan ke acara fesyen bertaraf antarabangsa tidak pernah putus. Terbaharu, dia turut menghadiri acara Diorivera di Desaru Johor.

“Saya kagum dengan susun atur dilakukan pihak penganjur. Tidak sangka sama sekali menyaksikan Diorivera di Desaru Johor bergaya seperti itu. Selalunya kita hanya menyaksikan ‘set up’ seumpamanya berlaku di luar negara sahaja. Syabas!”

Semestinya ramai merindukan kembalinya Scha Alyahya beraksi di depan kamera. Ketika ditanya tidakkah dia rindu pada dunia lakonan? Menurut Scha, sejak bergelar isteri dan ibu kepada dua anak, dia agak memilih watak.

“Susunan jadual terlalu banyak untuk saya ‘travel’ kerana undangan fesyen antarabangsa. Saya juga sibuk dengan tugasan ‘endorsement’ dan hujung tahun barulah berpeluang masuk set penggambaran semula. Ada projek filem dan pengacaraan yang saya tidak boleh kongsi lebih terperinci kerana kedua- duanya masih di dalam rundingan,” ujarnya yang tidak sabar menantikan tayangan filem, naskhah kerjanya di bawah pengaran Osman Ali.

See also
Pelancaran TOD'S Timeless Icon di Tokyo

Scha menegaskan dia ingin kembali tetapi lebih mengutamakan keluarga. Berada di peringkat usia sekarang, dia perlu memilih, apa boleh dibuat dan apa yang tidak. Namun hujung tahun pastinya dia akan sibuk dengan penggambaran. Hanya itu yang digambarkan kepada penulis.

Namun, semangat anak seni masih membara. Andai mampu mengubah industri, apakah perkara pertama yang mahu ditukarnya? Soal saya dan Scha pantas menjawab. “Saya hormati garis panduan drama dan filem di negara kita. Tatasusila negara kita perlu dipelihara.”

Menurut Scha, kalau boleh karya anak seni tidak dilimitasikan agar kreativiti pengkarya lebih berkembang. Ternyata ‘platform’ OTT seperti di Netflix, Viu dan Disney Channel lebih terbuka. Namun Scha tidak menolak peningkatan yang baik dalam karya-karya tempatan hari ini.

Mungkinkah Scha Alyahya akan masuk ke dunia produksi sebagai penerbit? Namun dia menolak kemungkinan itu kerana minatnya terhadap fesyen lebih mendalam. Justeru itu Scha kini sedang merangka label fesyennya sendiri. Itu adalah impian yang masih belum tercapai.

“Saya bersedia untuk menzahirkan impian itu di tahun depan. Bukan hal yang mudah untuk keluarkan label sendiri. Semuanya perlu dirancang teliti. Saya mahu menghasilkan bukan sahaja pakaian wanita, tetapi juga koleksi kanak-kanak. Mungkin juga barang rumah yang lebih lestari. Doakan perancangan saya itu sukses,” ujar Scha memberikan tempoh dua tahun untuk dirinya berjaya. Namun lakonan tidak mungkin ditinggalkan. Cuma, dia perlu bijak membahagi-bahagikan masa.

Diusia menjengah empat puluh tahun, Scha Alyahya melangkah lebih matang dalam merancang masa depannya. Ujar Scha, menginjak ke usia matang dia lebih tenang dan positif. Ketara perubahan. Baru kini dia mengerti perubahan layanan ibu bapa dahulu dan sekarang. Itulah erti kematangan sebenar.

See also
RAJA JESRINA ARSHAD

Kini dia pula bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Lara Alana dan Lyla Amina. Siapa sangka, dia juga menempuh pengalaman seperti ibu-ibu lain, buat kerja rumah sendiri seperti mandikan anak, suap makan dan kemas baju. Mungkin personaliti Scha yang tidak boleh duduk diam membuatkan dia lebih berdikari. Biarpun ada pembantu rumah tetapi dia tidak menyerahkan seratus peratus
kerja kepadanya.

“Rutin Scha bangun pagi, pergi gim dan balik buat kerja rumah. Kalau ada masa saya keluar dengan kawan-kawan. Sekali atau dua kali seminggu memadai untuk keluar berkongsi kisah. Perlu ada ruang untuk diri sendiri sebab bagi Scha adalah penting untuk sentiasa memeriksa kesihatan mental juga,” tambahnya.

Rata-rata sekarang orang terkesan dan ramai mengalami tekanan. Scha mengambil langkah untuk sentiasa memeriksa ahli keluarga dan rakan terdekat. Kadang-kadang mereka nampak gembira namun di dalam hati siapalah tahu. Paling dekat, Scha bermula dengan Lara Alana.

“Saya perlu tahu perkembangan Lara Alana di sekolah. Pendekatan saya adalah dengan banyak berbual-bual seperti seorang kawan. Diharapkan orang ramai juga melakukan benda sama. Jika anda bermasalah, cari orang terdekat untuk meluahkan.”

Buang stigma, malu hendak berkongsi rasa. Takut dinilai orang. Kesihatan mental ini boleh dihadapi semua orang. Kita yang tahu, kita yang rasa. Perlu ada kesedaran bermula dari rumah. Scha sering berpesan kepada Lara Alana, jangan sesekali melabel bentuk fizikal orang. Dia berharap anak-anak orang lain juga tidak melakukan buli.

See also
Ini Kisah Fesyen Gaya Era Regency Dalam Siri Ketiga Bridgerton

Saya mengalih perbualan serius tadi kepada lebih ringan. Saya meminta Scha untuk huraikan dirinya dalam enam patah perkataan. “Saya sangat ‘hyper’, tenang, tersusun, suka makan, seimbang dan suka muzik. Awal Ashaari pula ‘hands on’, ‘easy going’, pelindung, penyayang dan sensitive orangnya.” ujarnya ketawa kecil.

Scha Alyahya dan Awal Ashaari adalah pasangan yang berjaya menepis buat mulut netizen dengan berhemah. Menurut Scha, kerjayanya bermula ketika media sosial belum wujud. Pengalaman menempuh transisi zaman sebelum digital banyak mengajarnya. Boleh dikatakan dia mahir mahu mengelak. Perlu ingat, hanya kita yang tahu kebenaran. Pedulikan orang luar yang konon serba
tahu.

“Permainan netizen kadang-kadang terlalu kasar. Tak perlu nak melawan kecuali kalau ada pernyataan yang melanggar batasan. Saya lebih senang menjaga peminat. Mereka banyak menyokong dan saya hargai sangat. Sebab itu saya hanya fokus kepada komen-komen positif sahaja,” ujarnya lagi.

Sebagai seorang selebriti, Scha Alyahya sentiasa menjaga keterampilan. Namun, dia seorang individu paling ringkas. Dia diburu jenama antarabangsa. Sering dimewahkan dengan produk-produk pelbagai. Sisi diri sebenar Scha, dia sebenarnya seorang yang sangat ringkas. Bersolek tebal pun hanya ketika menghadiri acara besar.

Pastinya kehadiran Scha Alyahya masih didambakan. Kembalinya Scha di gelanggang seni sememangnya dinanti-nantikan. Saya pasti ramai merindui lakonannya di layar perak atau di kaca TV. Ramai juga yang dinanti-nantikan pilihan gayanya ketika tampil di acara-acara fesyen. Itulah ‘unstoppable’ Scha Alyahya.