Genggaman Elegan Bersama Clutch Bag Pilihan GLAM
Clutch bag pilihan GLAM adalah Bottega Veneta Andiamo Clutch, Loewe Mini Flamenco clutch, Versace Vivian Nappa Clutch, Jacquemus – The Rond Carré clutch, Nazifi Nasri Symmetrical Pochette Suede, Cult Gaia Amara Clutch dan Saoi Nara Clutch.
Walaupun bersaiz kecil, clutch bag menjadi pilihan utama buat wanita yang menginginkan penampilan penuh keanggunan. Daripada acara gala, majlis perkahwinan sehinggalah makan malam eksklusif, beg tangan ini menjadi pernyataan gaya yang sofistikated dan klasik. Kini, rekaan clutch bag hadir dalam pelbagai bentuk, material serta perincian unik yang mampu menjadi statement piece buat anda. Sama ada tampil minimalis dengan rona klasik atau memilih rekaan penuh perincian glamor, setiap item membawa aura tersendiri. Di dalam genggaman elegan itu, tersembunyi daya tarikan sebuah aksesori kecil yang mampu mencipta impak besar. GLAM kongsikan beberapa clutch bag yang boleh melengkapkan gaya elegan anda untuk pelbagai acara.
Ini Deretan Clutch Bag Pilihan GLAM!
Bottega Veneta – Andiamo Clutch


Bottega Veneta yang sinonim dengan rekaan anyaman ini sudah tentu mempunyai pilihan clutch bag buat anda. Menampilkan rekaan top handle clutch daripada material suede lembut dengan teknik anyaman ikonik Intrecciato, Andiamo Clutch disempurnakan dengan penutup simpulan metalik yang menjadi identiti tersendiri. Bahagian dalamnya dilengkapi 6 slot kad serta 1 ruang tambahan untuk menyimpan barangan kecil dengan lebih teratur. Dihiasi lapisan dalaman kulit kambing yang eksklusif, rekaan ini hadir dalam pelbagai rona seperti Deep Mahogany bersama kemasan perkakasan berona brass untuk sentuhan akhir yang elegan. Dihasilkan sepenuhnya di Itali, clutch bag ini menyatukan kehalusan seni pertukangan dengan gaya moden yang klasik.
Loewe – Mini Flamenco clutch


Mini Flamenco Clutch daripada Loewe memiliki siluet lembut dan berstruktur santai dengan rekaan cinched closure serta tali serut bermotif simpulan ikonik yang menjadi identiti bersejarahnya. Versi mini ini dihasilkan daripada kulit nappa calfskin yang memberikan kemasan halus. Boleh digayakan sebagai beg bahu, silang badan atau dibawa dengan tangan mengikut gaya pilihan, ia dilengkapi tali boleh tanggal dan boleh laras untuk keselesaan maksimum. Disempurnakan dengan penutup magnetik, lapisan dalaman suede serta kemasan logo Loewe berukiran emas atau perak, clutch bag ini menyerlahkan gaya moden yang minimalis namun boleh dijadikan pernyataan gaya bersama pilihan warna yang ceria seperti Sunset Orange atau Warm Desert.
Versace – Vivian Nappa Clutch


Vivian Nappa Clutch daripada Versace ini menyerlahkan pesona Versace melalui rekaan yang diperbuat daripada kulit nappa lembut dengan kemasan kulit anak lembu serta tepi yang dilukis tangan, menampilkan sentuhan seni pertukangan yang eksklusif. Rekaan ini disempurnakan dengan tali bahu rantai yang boleh ditanggalkan, membolehkan ia digayakan mengikut estetika pilihan anda. Dihiasi dengan perkakasan ikonik Medusa dan logo Versace berkemasan heat-stamped, clutch ini dilengkapi dengan rekaan lipatan hadapan (fold-over flap) serta penutup twist-lock yang menambahkan elemen mewah. Bahagian dalamnya pula menawarkan 2 ruang utama dan satu poket berzip untuk menyimpan keperluan harian dengan lebih rapi. Dihasilkan daripada 100% kulit kambing pada bahagian luar dan lapisan dalaman, bersama kemasan kulit anak lembu, rekaan ini mencerminkan estetika Versace yang berani dan glamor.
Jacquemus – The Rond Carré clutch


The Rond Carré clutch daripada jenama mewah Jacquemus ini menjadi pilihan GLAM kerana rekaan lipatan unik menggunakan teknik embossed-leather patchwork yang memberikan tekstur tersendiri pada keseluruhan siluetnya. Diserikan dengan kemasan kulit kambing pada bahagian tepi, clutch bag ini direka untuk digulung terbuka bagi memudahkan akses ke ruang dalaman. Menampilkan perincian penutup berbentuk bulatan metalik perak besar dan kemasan segi empat berona emas, rekaan ini dilengkapi penutup magnetik yang praktikal serta poket kad dalaman untuk menyimpan keperluan kecil. Dilengkapi logo dan perkakasan metalik emas, bahagian dalamnya pula disaluti sepenuhnya dengan fabrik kapas, menggabungkan elemen moden, fungsi dan estetika mewah dalam satu siluet. Antara pilihan yang ditawarkan dalam koleksi ini adalah bercorak stripe untuk pernyataan gaya santai, berona metalik, bercorak checkered dan banyak lagi.
Nazifi Nasri – Symmetrical Pochette Suede


Jenama tempatan Malaysia ini turut menyajikan pilihan clutch bag buat penampilan yang minimalis tetapi kekal bergaya. Symmetrical Pochette Suede daripada Nazifi Nasri kini dalam kemasan suede yang memberikan sentuhan lebih elegan pada siluet ikoniknya. Rekaan klasik yang tidak lapuk dek zaman ini boleh digayakan dalam 3 cara berbeza, sama ada sebagai clutch, crossbody atau beg bahu, sekaligus menjadikannya pilihan versatil untuk pelbagai acara dan gaya. Rekaannya yang unik namun ringkas mampu menjadi statement piece buat keseluruhan penataan gaya anda. Beg tangan ini turut dilengkapi bersama satu ruang utama untuk menyimpan keperluan harian dengan kemas. Lebih menarik, ia dihasilkan secara buatan tangan di Malaysia.
Cult Gaia – Amara Clutch


Cult Gaia sememangnya sinonim dengan himpunan clutch bag yang unik dan berunsur artistik. Buat anda yang menggemari siluet elegan dengan sentuhan rekaan yang pastinya meraih perhatian, Amara Clutch merupakan pilihan yang sukar untuk dilepaskan. Beg tangan ini diserikan dengan akrilik bercorak marmar serta pemegang atas berona emas, sekaligus menyatukan estetika artistik dengan kemewahan kotemporari. Meskipun bersaiz kompak, ruang dalamannya cukup luas untuk memuatkan sebuah telefon bimbit serta keperluan penting lain yang bersaiz kecil. Pilihan clutch bag ini adalah sempurna buat anda yang ingin menghadiri acara gala istimewa atau majlis berprestij.
Saoi – Nara Clutch


Mengambil inspirasi daripada keanggunan klasik, Nara Clutch daripada jenama tempatan Saoi memadukan estetika klasik bersama praktikaliti. Siluetnya yang berstruktur diperbuat daripada fabrik baldu premium bersama lapisan dalaman suede, sekaligus menjadikannya sebuah aksesori yang sesuai digayakan untuk pelbagai suasana, daripada majlis formal hingga ke makan malam eksklusif. Clutch bag ini diperkenalkan dalam 6 pilihan rona versatil iaitu Black Olive, Green Olive, Dove, Pink Salt, Tuscan Brown, Rustic Brown dan Cottage Rose. Setiap satunya menyerlahkan gaya yang elegan serta tidak lapuk dek zaman. Rekaan top handle clutch dengan mekanisme kancing metalik vintaj disempurnakan dengan logo signature berukir serta satu ruang dalaman berzip untuk menyimpan barangan peribadi.
Artikel berkaitan: Besar, Praktikal Dan Chic, Ini 7 Tas Tangan Carry All Yang Wajar Dimiliki
