fb_pixel

Loading media...

Unable to load content
Bual Cantik Bersama Yang Mulia Che Puan Sarimah Ibrahim
Selebriti Paling Cantik di Grammys 2023
GLAM Reviu: Terapi Tubuh Hebat Untuk Berat Badan Ideal Kekal Lebih Lama
5 Produk Kecantikan Edisi Terhad Sempena Tahun Baru Cina 2024
Transformasi Gaya Rambut Selebriti Sepanjang 2020
Home > Cantik > 3 Perkara Perlu Tahu Sebelum Beli Makanan Tambahan Suplemen

3 Perkara Perlu Tahu Sebelum Beli Makanan Tambahan Suplemen

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, suplemen atau makanan tambahan menjadi semakin popular.

Iklan di media sosial sering menampilkan testimoni dan janji manis kononnya satu kapsul boleh memberi tenaga, kulit berseri, malah membantu menurunkan berat badan. Namun, hakikatnya tidak semua produk di pasaran selamat atau sesuai untuk semua orang. Sebelum anda membuat keputusan untuk membeli, penting untuk memahami tiga perkara utama ini agar anda tidak tersilap langkah dalam menjaga kesihatan.

1. Kenalpasti keperluan tubuh

Tidak semua individu memerlukan suplemen. Tubuh manusia sebenarnya mampu mendapat hampir semua zat penting daripada diet yang seimbang dan gaya hidup sihat. Namun, ada kalanya sesetengah orang seperti wanita hamil, warga emas, atau individu dengan kekurangan nutrisi tertentu. Contohnya, mereka yang jarang terdedah kepada cahaya matahari mungkin kekurangan vitamin D, manakala individu yang tidak makan daging boleh mengalami kekurangan zat besi atau vitamin B12.

Sebelum membeli sebarang suplemen, sebaiknya lakukan pemeriksaan darah atau berunding dengan doktor atau pakar pemakanan. Ini kerana pengambilan vitamin atau mineral tanpa keperluan boleh mendatangkan kesan sampingan. Sebagai contoh, lebihan vitamin A boleh menyebabkan kerosakan hati, manakala pengambilan zat besi berlebihan boleh mengganggu fungsi buah pinggang. Pendek kata, lebih banyak tidak semestinya lebih baik.

2. Semak label, bahan kandungan dan kelulusan KKM

Suplemen yang dijual di pasaran datang dalam pelbagai bentuk sama ada serbuk, kapsul, minuman, atau tablet. Apa pun bentuknya, pastikan anda membaca label dengan teliti. Produk yang sah dan selamat perlu mempunyai nombor kelulusan daripada National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Jika labelnya samar atau tiada nombor rujukan, elakkan.

Selain itu, perhatikan senarai bahan aktif dan dos harian yang disyorkan. Elakkan produk yang menggunakan istilah kabur seperti “formulasi rahsia” atau “bahan semula jadi eksklusif” tanpa penjelasan saintifik. Jika produk mendakwa mampu menyembuhkan penyakit kronik dengan cepat, itu tanda amaran besar. Suplemen bukan ubat, ia tidak berfungsi untuk menyembuh, tetapi sekadar membantu menambah nutrien yang mungkin kurang dalam diet harian.

3. Suplemen bukan pengganti gaya hidup sihat

Ramai yang tersilap dengan menyangka bahawa dengan mengambil suplemen, mereka tidak perlu menjaga pemakanan atau bersenam. Ini merupakan salah tanggapan paling besar. Tiada pil ajaib yang boleh menggantikan khasiat sebenar daripada makanan segar, tidur yang cukup, dan gaya hidup aktif.

Suplemen seharusnya dilihat sebagai pelengkap, bukan pengganti. Jika anda masih makan secara tidak sihat, tidak cukup tidur dan jarang bersenam, pengambilan suplemen tidak akan memberi kesan jangka panjang yang positif. Malah, ia boleh menyebabkan pembaziran wang atau lebih teruk gangguan kepada keseimbangan tubuh.

Artikel Berkaitan: 5 Suplemen Vitamin Yang Tidak Sesuai Diambil Bersama Kopi